Kenapa Pm Tidak Dibawa Masuk Kaabah Dan Tidak Bertemu Raja Salman
Selama tiga hari, setelah hanya empat bulan menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatannya ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata sebaik sahaja Anwar pulang kelmarin, pembangkang membangkitkan tiga isu untuk menunjukkan lawatan perdana menteri dan delegasinya ke Arab Saudi gagal.
Tiga isu tersebut ialah: (i) PM disambut oleh gabenor Jeddah sahaja, (ii) tidak dibawa masuk Kaabah; (iii) tiada pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed Salman.
Bagi menyedapkan lagi cerita, mereka membandingkan kejayaan lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Anwar. Kata mereka, ketika Muhyiddin melawat Saudi, beliau dan rombongannya disambut oleh Raja Salman.
Menurut Mohammad Agus, realitinya ialah Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi hanya setelah setahun menjadi perdana menteri. Hasrat Muhyiddin untuk bertemu Raja Salman secara bersemuka pada Mac 2021 gagal apabila bertemu secara dalam talian sahaja.
"Tetapi kerana perbezaan (atau mungkin dendam) politik, lawatan Anwar digambarkan sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Mengapa begitu kecil jiwa kita menilai kejayaan atau kegagalan lawatan PM Anwar ke Saudi?
Tidakkah boleh kita melihat kejayaan PM dalam tempoh hanya tiga hari lawatannya ke Saudi?"
i. Mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Makkah.
ii. Menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.
iii. Mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai pembabitan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana.
iv. Membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama.
Anwar menerima kunjungan hormat Dr Muhammad Sulaiman Al Jasser, Presiden Islamic Development Bank (IsDB) di Jeddah, 23 Mac 2023
Dengan itu, Mohammad Agus mempersoalkan tidak berjaya lagikah lawatan Anwar dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh tiga hari lawatannya ke Saudi?
"Jika tidak berjaya lagi, saya tidak tahulah apa ukuran kejayaannya dari kaca mata pihak pembangkang.
"Adakah tidak berjaya hanya kerana tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman dan Putera Mahkota atau ada hujah lain yang lebih substantif?"
Dalam hal ini, katanya, Anwar telah menjelaskan sebabnya. Sebenarnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungannya dipanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu. Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.
Namun, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan Kabinet ada majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China Xi Jinping & Li Qiang.
Tidakkah padat jadual itu? Tidakkah membabitkan perubahan besar jika ditangguhkan kepulangan dua hari lagi? Fahamilah kekangan masa PM kita yang bekerja kuat untuk negara.
Pembangkang juga mengkritik PM kerana tidak membawa bersama menteri agama? Kunjungan ini adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan, bukannya urusan agama. Jadi apa masalahnya?
Pembangkang juga mendakwa Raja Salman dan Putera Mahkota tidak suka PM kita. Faktanya ialah mereka adalah antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Pada 25 November, Raja Salman dalam perutusan tahniahnya menzahirkan agar rakyat Malaysia terus maju jaya serta makmur. Putera Mahkota pula menzahirkan agar rakyat Malaysia terus sejahtera di bawah kepimpinan PM yang baharu.
Jadi, apa masalahnya dengan lawatan PM ke Arab Saudi setelah tidak dapat berjumpa dengan pemimpin mereka? Masalahnya ialah pemimpin pembangkang sengaja hendak memalukan PM dan bermain politik.
Bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci. Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara.
Malaysia dan Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar. Pada tahun 2022, Arab Saudi adalah destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion). Itu belum mengambil kira lagi keperluan kuota haji yang kita perlu dari Arab Saudi setiap tahun.
Jika tidak berpuas hati juga dengan hasil lawatan dan kos lawatan PM ke Arab Saudi, tanya PM sendiri di Parlimen. Setiap Selasa PM sedia menjawab.
Jangan pula tidak datang masa itu. Dari situlah, baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini.
JANGAN POLEMIKKAN LAWATAN PM KE SAUDI
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, pula menjelaskan, lawatan Anwar sangat berhasil malah memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh dalam tempoh pentadbiran yang singkat
Ia boleh dianggap sebagai sangat berhasil kerana dicapai dalam tempoh pentadbiran Anwar yang sangat singkat sebagai Perdana Menteri ke-10, iaitu baharu masuk bulan keempat.
Menurut Ahmad Farhan, ada cubaan pihak tertentu untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat.
"Saya mengambil maklum terhadap suara-suara daripada beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.
"Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini tatkala saya turut bersama dalam delegasi bersama Perdana Menteri ke sana," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, jadual perdana menteri sangat padat dan tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah selain menyaksikan beberapa pemeteraian MoU penting membabitkan lapangan perniagaan dan industri.
"Anwar turut menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam dan juga menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.
"Ingin dimaklumkan juga pihak kerajaan Arab Saudi telah meminta untuk lawatan ini dilanjutkan bagi menyusun pertemuan dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi tetapi beliau terpaksa menolak secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri selain kunjungi rasmi ke Phnom Penh, esok.
"Perdana Menteri juga akan ke Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang.
"Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini dan bersama mendukung usaha dan upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2023/03/kenapa-pm-tidak-masuk-kaabah-dan-tidak.html