Kenapa Penyelesaian Saman Pecat Apandi Jadi Rahsia Dr M
malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 17, 2023 4:30 PM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad "bingung" dengan keputusan Putrajaya untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian saman dengan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung pampasan bagi pemecatannya itu
“Saya bingung dengan keputusan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman untuk menjadikan tuntutan pampasan oleh Apandi itu sebagai rahsia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dr Mahathir merujuk kepada terma-terma penyelesaian berhubung kes saman ke atas dirinya dan kerajaan yang dimaklumkan telah dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Apandi, bekas peguam negara semasa kerajaan Najib Razak, telah membuat tuntutannya secara terbuka. Malah dia menyatakan jumlah yang dituntutnya itu iaitu sebanyak RM2.23 juta.
“Tetapi pampasan yang dibayar oleh kerajaan dijadikan rahsia. Kenapa? Saya ada sebab untuk mengetahuinya kerana saya rasa dia tidak layak diberi sebarang pampasan,” kata Mahathir.Pada 14 Februari lalu, Azalina dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, bahawa kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.
Azalina memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada Mohamed Apandi apabila kerajaan menyelesaikan kes saman itu.
Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.
Apandi pada 13 Okt 2020, memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.
Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015 memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
[Baca berita penuh]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/02/kenapa-penyelesaian-saman-pecat-apandi.html