Kemurahan Hati Muhyiddin Calonkan Individu Dari Parti Yang Jatuhkannya
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana  Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin  Yassin pada pagi 15 Ogos 2021 sebelum menghadiri pertemuan dengan  pemimpin Bersatu.
									 							 					 						Bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mencadangkan individu  dari parti yang menjadi punca beliau meletakan jawatan Perdana Menteri  (PM) dan kerajaannya tumbang, persoalan tersebut bermain dalam fikiran  pegawai kanannya, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Namun itulah hakikatnya apabila melihat sisi jauh pada diri lelaki  ini yang tegas dengan prinsip menegakkan undang-undang dan mematuhi  Perlembagaan Persekutuan.
Menceritakan bagaimana tenang dan tegas pendirian Muhyiddin sehari  sebelum peletakan jawatan sebagai PM Malaysia, Dr Marzuki yang juga  Ketua Setiausaha Sulit kepada PM berkata beliau ke rumah Muhyiddin untuk  mengemas beberapa dokumen.
“Beliau sedang minum pagi bersama Puan Sri dan mengajak saya turut  serta. Selepas mengemas beberapa dokumen beliau memberitahu saya ramai  yang menghantar pesanan meminta beliau tidak meletak jawatan.
“Namun beliau menjawab saya telah hilang majoriti, bagaimana saya boleh kekal lagi?,” kata Dr Marzuki.
Menurut Dr Marzuki beliau juga menyetujui peletakan jawatan Muhyiddin  berdasarkan ketetapan di dalam Perlembagaan Negara apabila seseorang  itu hilang majoriti, dan itulah yang sepatutnya dilakukan.
Muhyiddin kemudian berpindah ke tajuk lain.
“Beliau bertanya kepada saya siapa yang akan menggantikannya sambil  meneruskan bahawa Perikatan Nasional mesti mempunyai calon Perdana  Menteri.
“Dalam nafas dan nada sama beliau memberitahu beliau tiada masalah  sekiranya (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) dipilih sebagai calon  Perdana Menteri,” kata Dr Marzuki.
Kenyataan itu mengejutkan beliau.
“Bagaimana lelaki ini boleh mencadangkan individu dari parti yang  baharu sahaja menjatuhkannya daripada kedudukan yang paling diinginkan  itu?,” kata Dr Marzuki yang menjelaskan beliau serta Muhyiddin berhujah  sedikit mengenai perkara itu, namun PM sudah membuat keputusan yang  beliau percaya adalah sesuatu yang betul.
Beliau berkata alasan Muhyiddin mudah dan realistik.
“Jika beliau tidak menyokong calon Perdana Menteri, tidak ada sesiapa  yang akan mendapat majoriti… dan negara akan berada dalam kemelut  politik selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
“Selepas itu apa yang ditanya kepada saya hanya sama ada tindakannya  itu berperlembagaan dan saya memberitahunya ia mengikut Perlembagaan,”  kata Dr Marzuki lagi sambil menjelaskan Muhyiddin kemudian  mengarahkannya menghubungi Ismail Sabri untuk pertemuan pada jam 11  pagi.
Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Bersatu pada jam  9 pagi dan sebelum menghadiri mesyuarat itu beliau bertanya sekali lagi  kepada Dr Marzuki sama ada tindakan untuk meletak jawatan itu adalah  mengikut Perlembagaan.
“Ketika beliau bergerak untuk menghadiri mesyuarat itu, saya kebingungan memikirkan perbualan dengan Tan Sri sebentar tadi.
“Saya hanya melihat kebenaran dan kemurahan hatinya,” kata Dr Marzuki.
Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan  Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya  sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/kemurahan-hati-muhyiddin-calonkan.html