Keluarga Reda Hasrat Ayah Meninggal Dunia Di Makkah Termakbul
Allahyarham Hamzah Mohamad, 80.FOTO: Sinar Harian.
KELUARGA seorang pesara guru di sini
reda selepas ketua keluarga itu menghembuskan nafas terakhirnya dalam
kapal terbang ketika penerbangan menunaikan ibadah itu, Khamis lalu.
Anak pesara terbabit, Ahmad Nasir, 56, berkata, beliau reda kerana
bapanya, Hamzah Mohamad, 80, pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal
dunia di Makkah setiap kali berangkat menunaikan haji.
“Setiap tahun arwah mengucapkan kata-kata sama menyebabkan kami sudah
lali tetapi tidak sangka tahun ini kata-kata arwah itu menjadi
kenyataan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Ahmad Nasir berkata, bapanya juga tidak membawa persiapan lain selain
sehelai baju Melayu dan pakaian ihram serta pelbagai buku agama
termasuk yang berkaitan dengan ibadah haji.
“(Ayah) seolah-olah tahu yang dia akan meninggal dunia di sana,”
katanya yang bersyukur kerana ALLAH SWT memakbulkan hajat ayahnya untuk
meninggal dunia di tanah suci dan reda dengan pemergian itu.
Allahyarham Hamzah dilaporkan meninggal dunia di tempat duduk dalam
penerbangan MH8170 akibat sesak nafas pada jam 1.50 tengah hari waktu
Jeddah (jam 7.30 malam waktu tempatan) kira-kira satu jam untuk tiba di
Jeddah.
Ahmad Nasir berkata, sebagai anak, dia dan empat lagi adik-beradiknya
mengakui mereka tidak dapat untuk menyembunyikan perasaan sedih dan
terkejut dengan pemergian ketua keluarga itu.
“Memang kami terkejut dan bagaikan tidak percaya bila adik ipar
telefon memberitahu ayah sudah tiada. Malam sebelum ke KLIA, adik
menghantar rakaman video dia mengurut ayah yang mendakwa lenguh urat.
“Ketika itu, keadaannya sihat dan kami sempat berbual mesra serta
menasihatkan dia supaya banyak rehat selain adik turut membelikan kerusi
roda untuk digunakan ayah ketika berada di Makkah,” katanya.
Jenazah Allahyarham Hamzah disembahyangkan di Masjid Althinyan,
Jeddah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makbarah Alsalihiyyah, Jeddah
jam 6 pagi waktu Jeddah (12 tengah hari waktu Malaysia).
Dalam pada itu, Ahmad Nasir yang menetap di Taman Samudera di Bukit Tok Beng itu turut bercadang untuk menziarahi kubur arwah ayahnya dalam masa terdekat bersama ahli keluarga yang lain.- Sinar Harian.
MSTAR
The post Keluarga reda, hasrat ayah meninggal dunia di Makkah termakbul appeared first on Media Serius.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediaserius.my/keluarga-reda-hasrat-ayah-meninggal-dunia-di-makkah-termakbul/