Keluarga Atu Zero Bantu Ringankan Beban Pengurusan Jenazah Penduduk Kudat
Keluarga Atu Zero bantu keluarga yang tidak mampu menguruskan jenazah di kampung halaman Atu di Kudat, Sabah.
Aktif usahakan program pengurusan jenazah di Kudat, Sabah, pelawak Atu Zero, 29, bersyukur inisiatif sejak 2019 itu terus memberi manfaat kepada penduduk di sekitar daerah berkenaan.
Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif berkata, sebolehnya dia berharap usaha itu akan terus meringankan beban penduduk yang berdepan pelbagai isu menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.
“Inisiatif itu kami mulakan kerana ramai penduduk di sana berdepan masalah apabila kematian ahli keluarga. Kami mahu bantu mereka menguruskan tuntutan waris dari hospital sehinggalah ke proses pengebumian.
“Ini kerana, ramai penduduk tidak berkemampuan membiaya kos pengurusan jenazah. Tidak ketinggalan, mereka berdepan isu mengenai dokumentasi sah sekali gus menyukarkan lagi keadaan mereka.
“Memasuki tahun ketiga jalankan inisiatif itu (pengurusan jenazah), kami juga sebolehnya bantu menguruskan proses itu untuk penduduk di daerah terdekat juga. Mana yang kami boleh sampai di luar Kudat, kami pergi bantu,” katanya.
ATU bersama isteri dan anak-anak. Atu mengakui inisiatif itu sememangnya ada cabaran tersendiri juga terutama dana. Ini kerana mereka bergantung kepada wang simpanan sendiri serta sumbangan ikhlas daripada pelbagai pihak.
Bagaimanapun, dia bersyukur ia bukan menjadi halangan besar untuk mereka teruskannya. Menurut Atu, mereka mahukan inisiatif terbabit dilakukan untuk jangka masa panjang.
“Daripada segi dana itu memang ada sedikit cabaran. Ini kerana wang yang digunakan dalam proses pengurusan jenazah itu memang kami sendiri iktiharkan termasuk pembelian perkakas penting.
“Syukur, sumbangan itu sentiasa masuk meskipun ada penderma yang tidak dedahkan identiti mereka. Keikhlasan mereka jugalah yang sentiasa memastikan dana kami cukup dalam program ini” katanya.
Dalam pada itu, Atu juga berhasrat mahu membeli caravan bagi tujuan pengurusan jenazah lebih sistematik di sana. Ini kerana, pasukannya di Kudat kerap berdepan isu terbabit.
Atu tidak bekerja atau ditawarkan membuat persembahan sejak dua bulan lalu berikutan penularan pandemik COVID-19. “Pasukan pengurus kami di sana ada kira-kira lapan orang dan dipimpin Imam Nazri. Mereka cuma bergantung kepada van terpakai yang kami beli sebelum ini.
“Justeru, mereka berdepan isu termasuk ruang memandikan jenazah berikutan tiada tempat khas, selain jarak jauh untuk dibawa ke kubur. Disebabkan itu, sekarang kami berharap dapat membeli caravan yang siap boleh uruskan jenazah sepenuhnya di dalam saja,” katanya. – HMetro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2021/08/keluarga-atu-zero-bantu-ringankan-beban.html