Kelas Totiq 3 Hari Pertama
Syukur ke hadrat ilahi, akhirnya dengan izin Allah, saya yang tiada ilmu aliran agama ini diizinkan untuk bertalaqqi di dalam kelas tadabbur al Quran. Sejak tahun 2017-2018 seingat saya, saya menjadi penjual al Quran terjemahan di bawah syarikat Sahabat Enuur dan Al Qolam Malaysia. Dan kemudian, Sahabat Enuur memperkenalkan Al Quran terjemahan versi tagging.
Pernah ya sahabat saya pasti, pernah atau sudahpun memiliki al Quran tagging ini.
Masa inilah saya diperkenalkan dengan perkataan "tadabbur".
Tujuan tagging ini pada al Quran terjemahan adalah untuk menarik minat orang Islam di Malaysia untuk membaca ayat-ayat al Quran. Mengetahui maknanya, membaca tafsir selain kita mengaji huruf semata-mata.
Tetapi setakat itu sahajalah, saya jual, kongsikan kelebihan tagging ini dan masih lagi tiada kekuatan atau panggilan untuk mendalami proses tadabbur.
PKP merupakan kemuncak pengenalan apakah itu Tadabbur Quran.
Saya mula nampak kelas-kelas bagi tujuan memahami ayat al Quran, belajar dari surah ke surah, ayat ke ayat dan Enuur sendiri mula membuka kelas tadabbur. Masya Allah, masih lagi saya tidak berada dalam kelompok mereka yang bertadabbur namun pada masa ini, saya sudah mula membaca terjemahan secara istiqomah dan masih hanya sekadar membaca dan mengambil peringatan dan pengajaran secara sendiri.
Pada awal tahun 2024, jika tidak silap, saya mendengar dari rakan tentang program TOTIQ, rupanya ada kelas khusus untuk kita belajar teknik memahami al Quran dengan sangat mendalam.
Subhanallah, jika nak kata tentang yakin ke tidak, saya hampir nak berhenti kelas ini kerana masalah kewangan. Sudahlah saya masuk di bawah tajaan rumah SASU, tajaan sepenuhnya ya. Allah dah bagi jalan dah ni, tetapi saya ada masalah kewangan dan tidak mampu untuk teruskan, Allah maha Baik, maha Kaya, Allah tetap beri peluang, pihak SASU kata;
"Puan, teruskanlah mengaji di TOTIQ, kursus ini telahpun dibayar sepenuhnya untuk puan"
Saya tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu, sebak dan pecah dada ni, jadi saya berjanji akan belajar sehabis baik walaupun masih ada banyak kerisauan tentang kelas TOTIQ yang akan datang.
Semoga Allah makbulkan doa saya, diberikan kekuatan, kerajinan dan kesungguhan untuk belajar memahami ayat kalam Allah ini dengan sedaya upaya, sehabis baik dan dapat menyampaikan pula kepada orang lain dengan ilmu yang betul.
Namun, kerana kita sedang dalam perjalanan mengkaji dan belajar ilmu Allah, ustaz dan ustazah pun kata, "serahkanlah segala urusan kepada Allah, tahulah Allah mengaturkannya"
Inilah HINT paling besar, jika saya masih tidak ambil peluang untuk belajar, adakah Allah akan sisihkan saya nanti?
Ya Allah, takutnya saya memikirkan segala peluang telah Allah berikan, siapalah saya untuk menolak dan membuat ingkar kepada Nya.
Hari Pertama Kelas Online TOTIQ Batch 3
Bermulalah kelas TOTIQ secara online melalui platform Zoom, tanggal 5 Ogos 2024. Tenaga pengajar adalah Ustaz Harfiz Bin Hamzah pada jam 9 pagi dan Coach Jamil Wahab; 10.40 pagi sehingga habis kelas jam 12.00 tengah hari.
Tenaga ustaz mengajar sangat luar biasa dan bahasanya banyak kali membuat diri saya terkesan bahawa kita manusia makhluk yang tiada ilmu pengetahuan, tiada daya dan upaya melainkan dari Allah semata-mata dan sangatlah rugi kita tidak mengaji al Quran hingga ke tahap tertinggi yakni memahami dan mengambil iktibar dari kalam Allah ini sebagai panduan hidup di dunia bagi bekalan kita di akhirat kelak.
Saya kongsikan beberapa ayat dari Ustaz Harfiz;
al-Quran itu perlu di imani dengan sebetul-betulnya
fokus kepada al-Quran, barokah al-Quran
Allah memuliakan mereka yang bersama dengan al-Quran
Kenapa kita perlu belajar ilmu tadabbur Quran?
jawapan kepada belajar tadabbur al Quran
Mendekatkan diri kepada Allah swt kerana cinta kepada Allah swt
Ibarat ditendang dan ditampar terus ke pipi saya, mengaku hamba Allah, mencintai Allah tetapi tidak tahu makna ayat-ayat Al Quran apatah lagi memberi masa untuk membaca terjemahan?
Usia saya sudah hampir 39 tahun, tahun ini. Betapa sombongnya saya dengan Allah SWT.
Betapa saya rasa sudah tahu akan cara hidup Islam tetapi terlalu sedikitnya ilmu yang konon saya rasa saya ada.
Bagaimana pula dengan anak-anak saya kelak jika saya masih terus bersifat sebegini?
Hari pertama dalam kelas TOTIQ, saya dihenyak-henyak dengan pelbagai soalan, kesedihan dengan diri sendiri dan malu kepada Allah, mengaku dan mengucap syahadah tetapi tidak tahu dan faham maksud dan ayat kitab Allah
Allahu akbar!
Sungguh ya, pembaca sekalian, sahabat yang saya kasihi..
Coach Jamil Wahab berkata;
JIKA TAK MULA SEKARANG KENAL AL QURAN, NAK MULA BILA?
TERLAMBAT = TANGGUH
Jika ada peluang berada dalam komuniti yang baik, ada kelas tadabbur tidak kiralah level bagaimana sekalipun. Sertailah dengan sehabis mungkin, luangkan masa walaupun sekejap untuk bertadabbur bersama mereka yang ada ilmu ini.
Kita masih belum terlambat, maka marilah kita sama-sama usahakan dengan kemampuan diri kita untuk berinteraksi dengan kitab suci ini.
Saya ada membuat nota bagi kelas TOTIQ dan sudah saya kongsikan kepada sahabat-sahabat TOTIQ batch 3. Saya berdoa kepada Allah, agar saya dapat memberi manfaat buat seluruh warga TOTIQ melalui nota dan penulisan saya, diberikan kesihatan, diberikan fokus dan waktu untuk berbakti dan ilmu ini Allah kembalikan kepada saya agar saya dapat belajar dan menghayati setiap momen pembelajaran TOTIQ selama 4 bulan ini nanti. aamin3x ya rabbal alamin
Nanti saya kongsikan di entri lain mengenai kelas TOTIQ ini ya.
Entri kali ini saya ingin kongsikan perasaan saya, dapatan saya melalui dua hari kelas bersama TOTIQ. Saya ingin sekali dan doakan agar semua orang yang masih hidup diberikan kesempatan melihat keindahan al Quran ini.
Ustazah Dr Hanisah bawakan satu kisah yang menjentik hati saya lagi;
Kisahnya;
Datang seorang wanita kepada ustazah, "Ustazah, nanti pencen saya nak belajar al Quran!", then wanita tersebut telah pencen, dia pun daftar belajar Quran, kelasnya pada minggu hadapan. Dan nak dijadikan cerita, wanita ini meninggal dunia tanpa sempat belajar al Quran, tak sempat ya masuk kelas yang telah dia daftar pada minggu tersebut!
Allahu akbar
Pengajaran: Jangan tangguh belajar al Quran walaupun sekarang masih tiada guru, jika ada kesempatan, terus ambil peluang tersebut. kita tidak tahu bila ajal kita, alangkah takutnya jika kita diambil nyawa tanpa sempat belajar al Quran atau ubah hidup mengikut acuan Allah yang sebenar-benarnya!! 😭
Saya kongsikanlah nota-nota screenshot yang memberi kesan dan sebagai nota kepada diri sendiri, semoga dengan perkongsian ini dapat sedikit sebanyak Allah izin kita jadi semangat dan teruja untuk sertai kelas tadabbur al Quran. Tidak semestinya TOTIQ tetapi percayalah ada banyak kelas sudah ada ya untuk tadabbur ni.
Boleh baca juga, di entri ini saya ada kongsikan cara untuk kita mula tadabbur, sama ada sertai kelas atau belajar sendiri
TOTIQ - Cara Berinteraksi Dengan Al Quran
Saya nak kongsikan satu doa yang saya amalkan supaya saya dapat istiqomah berzikir, solat, mengaji dan maksud saya ni, ibadah kita kepada Allah swt. Tidak kiralah sahabat nak buat ibadah yang mana untuk rutin dan diberikan kekuatan untuk jadi rutin harian kan, cubalah baca doa ini dan bersungguh-sungguh minta pada Allah agar kita menjadi sebahagian dari golongan mereka yang sibukkan diri kepada Allah.
Semoga entri ini memberi manfaat, saya kongsikanlah sedikit gambar dari saya. Snap gambar kelas di rumah. Syukur sekarang ada banyak kelas online kan?
Alhamdulillah
Ini adalah gambar sesi kelas malam. Pada sesi ini, kami belajar terjemahan al Quran (tadabbur dan tazakkur) sebanyak 10 muka surat. Kelas malam sejam sahaja, jadi agak berat untuk belajar terjemahan sambil baca, tengok nota dan dengar penerangan dari tenaga pengajar.
Kelas siang, ini adalah gambar pada 6 Ogos 2024, ada kopi disebelah laptop ya kerana memang tidak sempat nak lari ke dapur. Jadi sediakanlah siap-siap, nak makan ke, apa jua urusan siapkan sebelum bermulanya kelas kerana 3 jam ini adalah sesi pembelajaran yang sangat "pack", saya memang menaip tanpa henti mengikut nota kelas dan menulis kembali setiap cerita atau apa yang tenaga pengajar kongsikan
Cara saya menulis nota untuk dijadikan rujukan kepada diri sendiri sebenarnya, tetapi saya tetap "share" kepada rakan-rakan TOTIQ yang lain. Kerana harapan saya agar dapat membantu dan semoga dengan ini dapat tolak diri saya terus kekal bersemangat belajar dalam kelas TOTIQ ini setiap hari. insya Allah
Emme Marina, suri rumah sepenuh masa (WAHM), memiliki M.Sc. dalam Kimia Industri. Penulis dan usahawan yang aktif, mengikuti pelbagai kursus penulisan dan bisnes. Menghasilkan beberapa buah e-book, seperti "Panduan Bisnes di Shopee." Pengalaman 12 tahun berniaga secara online. Kini aktif sebagai blogger, peniaga jam azan, al Quran digital, emas orodesign serta perunding harta perwarisan Islam. Ingin dapatkan khidmat servis dan produk jualan, bolehlah hubungi saya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.emmemarina.com/2024/08/kelas-totiq-3-hari-pertama.html