Kekecewaan Penyokong Sri Pahang Fc Melihat Situasi Semasa Kem Pasukan Amat Di Fahami
KUANTAN - Kekecewaan penyokong melihat situasi semasa di kem pasukan adalah difahami. Tanpa mata dan tanpa jaringan dalam tiga perlawanan terakhir, penyokong mengharapkan aksi lebih dari luar biasa apabila melayan kunjungan Kedah Darul Aman dalam perlawanan berikutnya dalam misi untuk kekal beraksi dalam Liga Super 2022.
Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelak kekalahan terbaru di tangan Johor Darul Takzim minggu lalu, mengambil kira kita bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim dengan hanya 17 pemain dengan empat daripadanya adalah pemain Piala Presiden yang mentah pengalaman.
Begitupun di sebalik meratapi kekalahan yang dialami, ada beberapa perkara positif yang boleh kita ambil, terutama aksi pemain-pemain muda yang semakin matang dan menunjukkan keyakinan dari perlawanan demi perlawanan.
Ketiadaan lebih daripada separuh tonggak utama menyaksikan ketua jurulatih, Dollah Salleh membuat keputusan berani mempertaruhkan pemain-pemain muda dan juga simpanan di dalam kesebelasan utama dan mereka ternyata tidak mengecewakan.
Tatkala Daniel Wafiuddin terus diberi kepercayaan mengawal gawang ekoran kecederaan dialami Helmi Eliza dan Zarif Irfan, pemain muda berusia 18 tahun, Syaahir Saiful Nizam yang sebelum ini pernah diturunkan sekali sebagai pemain gantian ketika menentang KL City pula membuat penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini.
Manakala pemain berusia 22 tahun, Zazrir Naim Abdul Rani pula dihadiahkan kap sulung dalam Liga Super, mengisi posisi tengah, membentuk gandingan bersama Abubakar Yakubu.
Walaupun mereka tidak dapat menghalang pasukan dari mengalami kekalahan besar, prestasi mereka secara keseluruhan wajar dibanggakan malah Dollah Salleh turut mengakui gembira dengan sumbangan mereka.
"Mungkin dari aspek pengalaman pemain saya kerap buat kesilapan yang tidak sepatut dilakukan tapi pada babak kedua kita cuba bangkit malah mencipta beberapa peluang yang hampir mencemaskan benteng JDT.
"Apa yang dipamerkan barisan saya pada aksi itu cukup memuaskan hati dan mereka begitu bersemangat untuk beraksi sepanjang 90 minit perlawanan yang rata-ratanya pemain simpanan malah mereka tidak kekok untuk berdepan pemain JDT yang begitu berpengalaman.
"Kelibat Yakubu yang ditugaskan beraksi di posisi tengah turut memainkan peranan bagi membimbing beberapa pemain muda yang beraksi dalam perlawanan itu malah Syaahir yang berusia 18 tahun tidak kekok beraksi dalam kesebelasan utama," kata Dollah Salleh selepas perlawanan menentang JDT tempoh hari.
Sudah tentu mereka akan terus menjadi pertaruhan dalam baki perlawanan dan penting untuk kita terus positif kerana pemain-pemain muda berkualiti ini hanya akan bertambah baik apabila terus diberikan peluang dan pendedahan.
Mereka adalah masa depan Sri Pahang, yang mereka perlukan adalah sokongan dan kepercayaan daripada penyokong.
Kita telah mengharungi musim 2021 yang cukup cukar dan mencabar, ayuh kita harapkan lebih peningkatan dapat disaksikan dalam kelibat pemain-pemain muda ini bermula aksi menentang Kedah Darul Aman seterusnya menjadi teras kepada pembentukan skuad lebih mantap selepas ini. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/09/kekecewaan-penyokong-sri-pahang-fc.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)