Kek Majerin Yang Sangat Nostalgia
Kek ini sangat nostalgia kepada zaman remaja sewaktu dibangku persekolahan saya dulu. Zaman dulu kalau buat kek memang menggunakan majerin. Kadang kadang sambil memutar majerin dengan gula, sempat lagi colek makan lebihan majerin dengan gula di senduk.
Ingat lagi sewaktu abang sulong saya belajar di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim Johor Bahru, kalau dia tak balik beraya, arwah Bonda akan meminta kak Nik Senor untuk menyediakan kek. Kek kemudian dimasukkan dalam tin kecil dan dipos. Masa tu, terliurnya tak terkata. Dapat lah makan yang lebihan kek yang dipotong tepi tepi untuk memuatkan tin.
Selain kek kampung seperti ini, saya suka kek yang dilepa dengan icing menggunakan krimwell dan mentega. Boleh klik di SINI dan di SINI. Hmm sangat nostalgia. Masa saya kawin, kek perkahwinan kami dilepa dengan krimwell. Mana mana kek kalau nak cantik, mesti dipotong selepas dah sejuk, baru potongan kemas dan cantik. Kek saya hari ini, memang tak berapa cantik lah sebab dipotong ketika masih panas. Kek ini juga lebih moist selepas sehari.
Entah kenapa saya dah tersilap setting oven maklum oven saya memang dah hilang penunjuk suhu. Jadi main agak agak sahaja. Bila di test dengan cake tester, rasa macam dah masak tapi kek masih lagi bergoyang goyang di bahagian tengah.
Bila saya keluarkan dari oven, barulah perasan yang keliling kek macam dah terlebih masak. Tapi apa pun saya memang suka kek yang atas dan bawah garing. Cuma bila garing, kek akan kurang moist. Itu sebab kek kena secukup masak, terus keluarkan dari oven. Tak boleh berlama lama.
Saya pulak, memang dah tak sabar nak mengeluarkannya dari loyang. Sebabnya kerana saya dah kepenatan. Sebab kek masih panas dan melekat, akhirnya kek melekat dan pecah. Aduhaii, itulah kita tak boleh membuat satu satu pekerjaan dalam keadaan badan penat.
Alhamdulillah saya sangat puashati dengan hasil dan kejadian kek ini. Memenuhi selera saya dan dapat mengubati rindu kepada kek di zaman zaman di kampung dulu. Membuatnya pun sangat cepat, jadi tunggu apa lagi. Jom pakat buat, boleh tahan 2-3 hari.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba...
Kek Majerin Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:1 cawan gula halus - kurangkan ke ¾ cawan, jika tak suka manis1 cawan majerin Planta
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
3 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit pewarna yang disukai
Cara cara:Pukul gula dengan majerin sehingga menjadi kembang dan berwarna keputihan.
Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil diputar rata. Kemudian masukkan tepung yang diayak dengan baking powder. Masukkan esen vanila.
Kacau rata sehingga sebati. Ceduk keluar beberapa senduk adunan dan diwarnakan dengan warna pilihan.
Tuang adunan warna asal dengan adunan berwarna secara berselang seli ke dalam loyang saiz 9''x5''x3''. Akhir sekali, dilorekkan dengan menggunakan chopstick.
Bakar pada suhu 180°C selama 40 minit atau sehingga masak.
Setelah sejuk, kek bolehlah dipotong dan dihidangkan panas panas. Nota: saya lebih suka makan kek yang telah sejuk. Baru terasa majerinnya.
Nota:Masa depan, saya akan kurangkan gula ke ¾ cawan sahaja.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.aziekitchen.com/2019/10/kek-majerin-yang-sangat-nostalgia.html