Kehilangan 3 Beradik Yang Aneh Dibawa Anjing Hitam Diberi Makan Oleh Nenek Misteri Yang Hanya Muncul Selepas Senja
Hanya 5 hari setelah kehilangan mereka, barulah pihak polis menemui 3 beradik ini pada pukul 5.45 petang 10 November 2004.
MASIH ingat lagi kes Acap yang hilang di Gua Tempurung pada Mac tahun 2019 yang lalu? Macam-macam teori dikaitkan dengan kehilangan Acap. Ada yang mengatakan kononnya Acap diculik makhluk yang tinggal di hutan itu. Jika berdasarkan teori itu, agaknya makhluk apa yang menghuni hutan Gua Tempurung? Bunian? Kalau bukan bunian, makhluk apa? Kisah begini mengingatkan saya kepada satu kejadian aneh yang berlaku pada penghujung tahun 2004.
Acap hilang pada Mac 2019. Begini ceritanya…
Sekitar pukul 10.30 pagi pada 6 November 2004, Baharudin Sallehuddin, 6, bersama adiknya, Budin, 5, dan Asmira, 3, dilaporkan hilang ketika bermain berhampiran pondok di ladang getah Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, Pekan, Pahang.
Pondok berdinding buluh dan beratap nipah itu dibina oleh bapa mereka.
Misterinya ialah ketiga-tiga beradik ini ditemui semula lima hari kemudian di sebuah pulau kecil yang dipenuhi belukar dan dikelilingi paya, enam kilometer dari pondok tempat kali terakhir mereka dilihat.
Apa yang berlaku kepada mereka?
Kisah yang diceritakan oleh tiga beradik ini sangat pelik. Kata Baharudin, akibat leka bermain, mereka telah berjalan hingga 1.5 kilometer dari pondok tersebut. Ketika itulah mereka terserempak dengan seorang lelaki berbadan sasa, badan dipenuhi bulu serta berambut panjang yang membawa seekor anjing hitam.
Lelaki itu mengarahkan Baharudin, Budin dan Asmira duduk di belakang anjing tersebut, lalu haiwan itu membawa mereka bersiar-siar.
Sampai di suatu tempat, anjing tersebut melompat melepasi sebatang parit selebar 10 meter yang memisahkan Felcra Mambang Seberang dengan kawasan sekitarnya.
Tiga beradik tadi terus dibawa bersiar-siar melihat kawasan kebun dan hutan, sehingga sampai di Tanjung Cempaka, Lepar, enam kilometer dari Felcra Mambang Seberang.
Lewat petang, lelaki berbadan besar dan dipenuhi bulu itu mengarahkan anjingnya berenang merentasi sebuah paya.
Tiga beradik itu dibawa anjing hitam. Sambil membawa tiga beradik tadi di atas belakangnya, anjing tersebut berenang sehinggalah sampai di sebuah pulau yang dipenuhi belukar. Sekeliling pulau itu hanyalah paya yang sedalam 1.2 meter. Baharuddin dan adik-adiknya diturunkan dari belakang anjing tersebut.
Kisah aneh ini tidak berakhir di situ…
Menjelang senja, datang seorang nenek. Sejurus nenek itu muncul, anjing hitam tadi berlari menyusup di balik pokok menerung serta lalang setinggi satu meter dan terus hilang. Begitu juga dengan lelaki berbadan besar tadi, juga hilang.
Nenek yang berbaju dan berkain batik kelabu itu memujuk tiga beradik ini supaya jangan menangis. Dia kemudian menjamu Baharuddin, Budin dan Asmira dengan buah-buahan. Antaranya epal merah dan hijau, anggur, pisang serta betik. Malam itu mereka tidur di atas busut, ditemani nyamuk dan serangga.
Dalam masa yang sama, kehilangan tiga beradik tadi dilaporkan oleh ibu bapa mereka kepada pihak polis. Operasi mencari segera dilakukan, tetapi gagal menemui tiga beradik itu.
Sepanjang hari di situ, Asmira sentiasa menangis. Dia mahu pulang, tetapi paya itu terlalu dalam. Kalau meredahnya, mereka akan lemas. Nenek itu pula hanya muncul selepas senja sambil membawa buah-buahan. Apabila siang menjelma, nenek itu hilang entah ke mana.
Hanya lima hari setelah kehilangan mereka, barulah pihak polis menemui tiga beradik ini pada pukul 5.45 petang 10 November 2004. Mereka ditemui di pulau yang dikelilingi paya tadi, tempat di mana nenek misteri itu menjamu mereka dengan buah-buahan setiap senja.
Kisah 3 beradik ini pernah disiarkan dalam Mastika. Pembaca sekalian, apa yang berlaku ini memang aneh. Akal yang waras tidak dapat menjawab persoalan bagaimana tiga beradik itu boleh sampai di pulau berkenaan.
Mustahil juga mereka boleh pergi ke tempat sejauh itu (enam kilometer) dan melintasi parit selebar 10 meter serta paya sedalam 1.2 meter, kalau tidak dibantu oleh `sesuatu.’
Apa yang lebih penting, ketiga-tiga beradik itu berjaya ditemui semula. Ini kerana banyak kes-kes aneh seperti ini, sesetengahnya tidak dijumpai. Salah satunya seperti kes Acap yang kehilangannya sehingga kini terus menjadi misteri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hantudunia.blogspot.com/2021/08/kehilangan-3-beradik-yang-aneh-dibawa.html