Kehidupan Di Jalanan Sebagai Digital Nomad
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
tahun 2020 merupakan antara tahun penting untuk persediaan ke arah aktiviti digital nomad di serata dunia yang akan dibuat dalam tempoh 2 atau 3 tahun dari sekarang. Tujuan utama hanya untuk melihat keindahan dunia dalam keadaan hidup di jalanan.
Bunyi macam gelandangan pula ya. Bukan begitu, tetapi aku merancang untuk hidup dalam caravan atau home motor untuk tempoh 6-12 bulan di serata dunia. Berhenti di tempat yang sesuai untuk beberapa hari, atau mungkin beberapa minggu sebelum meneruskan perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang seterusnya.
Sebenarnya aktiviti ini bukanlah perkara yang baru, sudah ramai yang melakukan aktiviti ini untuk tidak terkongkong dalam sebuah office melakukan kerjanya.
Dunia digital membolehkan perkara ini berlaku selagi ada capaian internet. Hidup di jalanan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dan dalam amsa yang sama, masih terus menyiapkan kerja yang perlu disiapkan.
Atas sebab itu, aku akan mengurangkan aktiviti yang melibatkan pertemuan fizikal hanya untuk mendapatkan persetujuan perniagaan semata. Semakin banyak kerja secara remote atau jarak jauh yang boleh dibuat, semakin dekat cita-cita aku untuk hidup di jalanan ini.
Persediaan awal kenderaan, fizikal dan mental
Andai ingin berada di jalanan setakat beberapa hari, ataupun seminggu dua, ianya bukanlah perkara yang terlalu sukar. Namun sekiranya ingin berada di jalanan lebih daripada 3 bulan, 6 bulan mahupun 12 bulan. Ianya bukanlah perkara yang biasa-biasa.
Namun ianya juga bukan perkara yang mustahil untuk dibuat. Salah satu perkara penting untuk disediakan adalah, mengurangkan barang-barang di rumah. Hidup dengan beberapa helaian pakaian dan peralatan kerja mudah alih seperti laptop spesifikasi tinggi.
Perkara lain yang sama penting untuk disediakan adalah kenderaan yang akan dijadikan home motor tersebut. Setakat ni ada beberapa jenis yang dimasukkan dalam senarai. Salah satunya adalah long-wheel base van. Contoh beberapa model long-wheel base van ni seperti di bawah.
mercedes spinter panel van
long-wheel base van prime
Van jenis ini lebih panjang daripada van biasa, lebih mudah untuk diubahsuai untuk memasukkan tilam dan sebagainya. Harganya pun tak terlalu mahal jika dibandingkan dengan membeli motorhome yang ready-made.
Selain itu, ada beberapa jenis kenderaan lain yang menarik perhatian seperti gambar-gambar di bawah.
mini bus atau bas pendek
lori 6 tayar
Semua pilihan kenderaan ini ada kelebihan dan kekurangannya. Andai inginkan ruang, pilihan mini bus dan lori akan menjadi lebih mudah untuk mendapatkan ruang, namun agar sukar untuk bergerak disebabkan saiznya yang besar.
Andai ingin jimatkan ruang, tetapi mudah untuk bergerak, option long-wheel base van menjadi pilihan. Dan pilihan akhir andai tak ada masa untuk bina kenderaan rumah bermotor ini sendiri, ready-made caravan akan menjadi pilihan.
Buat masa ni, tak ada pilihan jitu yang telah dibuat, hanya belajar daripada individu-individu yang telah pun berada di jalanan untuk menjadi digital nomad. Sambil menikmati keindahan alam semulajadi, sambil menyara kehidupan.
Bukan kehidupan pilihan ramai manusia, tetapi ini antara perkara yang aku cita-citakan. Berada di jalanan tanpa ada kekangan hiruk pikuk kesesakan lalulintas hanya untuk pergi ke pejabat.
Semoga dipermudahkan segalanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/kehidupan-di-jalanan-sebagai-digital-nomad/