Kedai Emas Hajjah Halijah Edar Bubur Lambuk Percuma
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KAKITANGAN  kedai emas Hajjah Halijah, Syakila Hussein (kiri) dan Myrah Mustaffa  (kanan) mengedarkan bubur lambuk percuma kepada orang ramai di hadapan  kedai emas tersebut di Kangar, Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIBKANGAR:  Sejak 10 tahun lalu, kedai emas Hajjah Halijah di sini tidak pernah lupa  berkongsi rezeki bersama masyarakat khususnya sepanjang Ramadan dengan  mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai di hadapan  premisnya.
Setiap hari, sepanjang tempoh sebulan umat Islam berpuasa, sebanyak  500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang melalui kawasan  kedai emas tersebut.
Keistimewaan serta kelazatan bubur lambuk itu menyaksikan setiap kali proses edaran hanya memakan masa sekitar 45 minit.
Pengurus kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri  memberitahu, bubur lambuk tersebut cukup istimewa dan merupakan resipi  daripada ibunya, Halijah Saad, 68.
Katanya, dia mengikut tradisi keluarganya yang tidak pernah  ketinggalan mengedarkan bubur lambuk secara percuma di sekitar surau  berhampiran rumah sejak 1980-an lagi.
“Sejak dahulu lagi ibu memasak sendiri dan mengedarkan bubuk lambuk ini dan kami meneruskan tradisi tersebut.
“Kami juga ingin berkongsi rezeki dengan orang ramai dengan salah  satunya adalah dengan mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada  orang ramai pada setiap hari sepanjang bulan puasa ini. Malah rutin  tersebut dilakukan sejak 10 tahun lalu.
“Selain pelanggan, orang ramai juga tidak melepaskan peluang  menikmati bubur lambuk ini. Selalunya sekitar 45 minit bubur lambuk  sudah habis diedar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, bubur lambuk tersebut diagihkan bermula pukul 5 petang oleh kakitangan di kedai emas berkenaan.
“Selain Kangar, bubur lambuk itu juga diagihkan kepada orang ramai di  Alor Setar dan Sungai Petani. Agihan bubur lambuk itu sememangnya  menjadi aktiviti setiap tahun sempena bulan Ramadan ini,” katanya.
Selain di Kangar, kedai emas Hajjah Halijah yang beroperasi sejak 29  tahun lalu juga mempunyai cawangan di Jitra, Alor Setar dan Sungai  Petani, Kedah. -UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/kedai-emas-hajjah-halijah-edar-bubur.html