Kedah Fashion Week 2025 1 3 Ogos 2025 Bertemakan Berlian Di Aman Central Alor Setar
Keunggulan Kedah Fashion Week 2025 Sinari Ulang Tahun ke-10 Aman Central. Dahulu hanyalah satu visi yang tampak berani dan mungkin mustahil, kini Aman Central berdiri megah di tengah-tengah Alor Setar, melakar transformasi luar biasa yang menghidupkan semula sebuah kota.

Detik 10 Tahun Penuh GemerlapanDi atas tanah yang dahulunya sepi dan terbiar, lahirlah destinasi gaya hidup paling berpengaruh di utara tanah air, bukan sekadar pusat beli-belah, tetapi nadi yang merancakkan ekonomi tempatan, menyatukan komuniti dan memugar semangat kemodenan. Sepuluh tahun perjalanan ini telah memperlihatkan bagaimana Aman Central bukan hanya menjadi mercu tanda fizikal, malah simbol harapan yang menyatukan jenama antarabangsa, menyokong cita-cita usahawan kecil, dan melahirkan semula semangat bandar melalui kehadiran hotel butik, galeri seni serta pentas budaya yang sentiasa hidup.

Tahun ke-10 ini menjadi titik penting yang mengangkat kekuatan sebuah impian, daya tahan dan semangat kolektif sebagai penggerak perubahan. Sambutan ulang tahun kali ini diserikan melalui pentas gemilang Kedah Fashion Week (KFW) 2025 yang bakal berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos, membawa tema “Berlian” — simbol sinar, kekuatan dan keabadian. Seperti proses pembentukan berlian yang lahir daripada tekanan dan masa, Aman Central dan KFW juga berkembang dari benih impian menjadi platform seni dan fesyen yang paling dinantikan di rantau ini. KFW kini bukan sekadar acara tahunan, ia telah menjadi sebuah gerakan budaya yang memperkasa identiti kreatif utara tanah air, membina ruang ekspresi tanpa batas dan menyemarakkan semangat anak muda untuk berani bermimpi.
Teras Komuniti Yang Membina“Apa yang menjadikan Aman Central istimewa bukan sekadar bangunannya, tetapi kisah-kisah yang tercipta di dalamnya,” kata Grace Ho, Pengarah Belleview Group. “Sejak hari pertama, hasrat kami adalah untuk mewujudkan satu ruang yang menyatukan masyarakat, tempat budaya dipeluk mesra, kreativiti diraikan dan denyut nadi bandar ini terus berdegup dengan penuh semangat. Melihat bagaimana Aman Central membina rasa bangga dalam hati warga Kedah, dan menjadi pentas untuk komuniti berkongsi kisah serta impian mereka, amat mengharukan dan memberi makna yang mendalam kepada kami

Sejak melangkah masuk ke dunia runcit dan gaya hidup pada tahun 2015, Aman Central telah menjadi nadi baharu yang menyuntik semangat segar Alor Setar. Dalam tempoh yang singkat, pusat ini bukan sekadar menerima jutaan pengunjung, malah turut mencorakkan transformasi bandar dengan membawa masuk jenama antarabangsa, merancakkan pertumbuhan perniagaan tempatan, dan menyuburkan ekosistem pelancongan budaya yang semakin rancak. Ia menjadi pentas utama kepada pelbagai idea kreatif dan cetusan bakat dari Utara Malaysia, menjadikan kota ini lebih terbuka kepada arus moden tanpa mengabaikan nilai warisan. Antara pencapaian paling bererti ialah pelancaran Kedah Fashion Week pada tahun 2016, sebuah inisiatif berani yang kini berdiri sebagai salah satu acara fesyen terkemuka di Malaysia, diraikan kerana keberanian, gaya dan keasliannya yang unik.
Kebangkitan Kedah Fashion WeekPertumbuhan Kedah Fashion Week (KFW) merupakan refleksi indah kepada evolusi Alor Setar sendiri, sebuah bandar yang kini semakin menyerlah sebagai nadi baharu budaya dan kreativiti utara tanah air. Tahun demi tahun, KFW menjadi ruang pertemuan dua dunia antara nama-nama besar dalam industri dan bakat-bakat baru merangkumi pereka, artis, media dan peminat fesyen dari dalam dan luar negara. Di sinilah impian diberi peluang untuk berkembang, seperti kisah Lokalteez, jenama dari Pulau Pinang yang mula diperkenalkan di KFW 2023 sebelum berkembang membuka butik tetap di Aman Central.
KFW kini menjadi ekosistem dinamik yang memupuk kreativiti, membuka ruang komersial dan menjadikan pentas fesyen sebagai landasan kejayaan sebenar buat generasi baharu industri gaya hidup tanah air.
“Kedah Fashion Week adalah lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen — ia telah menjadi pentas yang mengangkat jati diri, semangat dan cita rasa komuniti yang semakin berani mengekspresi,” kata Ken Chin, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central yang juga pengasas acara ini. “Setiap edisi membuka ruang kepada wajah-wajah baharu untuk melangkah ke hadapan, mengasah bakat, dan membina keyakinan dalam dunia kreatif. Di sinilah akar budaya tempatan disulam dengan visi masa depan, meletakkan Utara Malaysia sebagai salah satu titik penting dalam landskap fesyen dan seni negara.”

Seramai 18 pereka berkualiti tinggi bakal mempersembahkan koleksi eksklusif mereka di pentas Kedah Fashion Week (KFW) 2025, selain disertai 11 pereka berbakat dari Universiti Kuala Lumpur yang membawa semangat generasi baharu, menjadikan edisi kali ini lebih meriah. KFW tahun ini turut menerima sentuhan serantau menerusi penyertaan pereka antarabangsa, Patinya dari Thailand, sekali gus memperluas jaringan kreatif ke peringkat Asia Tenggara. Turut menghiasi pentas ialah barisan alumni ternama KFW seperti Seth and Luna, Salleh Hamid, Hasfitri Yusof, Teddie Alrashed, Naemah Khuntum, Ikmal Mukmin, Wan & Mary, Fareez Axuan, YT Lim, Asyraf Arrif dan Taufik Idros — yang akan kembali bersama pereka visionari Shanell Harun. Pentas ini juga akan memperkenalkan wajah-wajah segar seperti Isyraf Arysi, Hazizul Aziz, Helmi Hamdan, Ku Syafiq dan Liren Ho, melambangkantenaga baharu yang sedang mekar dan menggambarkan evolusi pesat landskap fesyen kreatif di utara tanah air.
Dilakar Waktu, Saat Untuk BersinarTema Berlian untuk edisi kali ini membawa simbolik sebuah dekad yang dibentuk oleh ketabahan, kreativiti dan transformasi, seperti berlian yang terbentuk indah melalui tekanan dan masa. Ia mencerminkan perjalanan Kedah yang terus berkembang dalam nafas warisan, seni dan pencarian abadi terhadap keindahan. KFW 2025 bakal mempersembahkan koleksi yang menggabungkan keberanian inovasi dan kelembutan tradisi, menzahirkan ekspresi tulen tentang kehalusan ketukangan, kekuatan identiti budaya serta komitmen terhadap rekaan yang lestari. Setiap helaian yang dipertontonkan menjadi simbol perjalanan kreatif yang tidak pernah kering ilhamnya — menjadikan tema Berlian satu pantulan indah tentang bagaimana nilai, keaslian dan masa mampu membentuk sesuatu yang begitu memukau.
“Dari masa ke masa, Kedah Fashion Week telah berkembang daripada sebuah idea yang sederhana menjadi sesuatu yang benar-benar menyentuh jiwa komuniti ini,” kata Ken Chin penuh makna. “Setiap koleksi yang dipersembahkan membawa naratif tersendiri, lahir daripada pengalaman, masa dan emosi. Seperti sebutir berlian, perjalanan ini dibentuk oleh ketahanan dan pandangan jauh. KFW 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian yang telah dilakar, malah menjadi penghormatan kepada semangat kreatif yang terus membara.
Sangat mengharukan apabila melihat bagaimana platform ini terus membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk bersinar dan membina nama dalam dunia fesyen.”
Satu persembahan istimewa bertajuk Evolut10n bakal menjadi sorotan utama bagi memperingati ulang tahun bersejarah ini, menandakan satu dekad perjalanan penuh warna dalam dunia fesyen. Dalam meraikan detik bermakna ini, rakan runcit Aman Central seperti HLA, New Era, Tomei, D’yana, Elrah Exclusive, Eco Optic, Babyshop dan Watsons akan turut menyerlahkan kreativiti mereka menerusi rekaan yang mengaburkan garis antara gaya hidup harian dan keanggunan berkualiti tinggi — mewujudkan sinergi unik yang mengangkat gaya kontemporari ke pentas yang lebih berani dan bergaya.
Merintis Wajah Baharu Ekspresi KreatifMelangkah ke hadapan, misi Aman Central terus berkembang dengan hala tuju yang jelas dan penuh makna. Inisiatif seperti Face of Aman Central yang diperkenalkan pada tahun 2024 menjadi pemangkin kepada usaha memperluas kepelbagaian dan keterangkuman dalam landskap industri kreatif. Sokongan berterusan terhadap usahawan muda serta pereka baharu pula kekal sebagai nadi kepada visi utamanya — memastikan Kedah
Fashion Week terus menjadi pentas dinamik di mana bakat baharu dapat berkembang, sambil menyemarakkan warisan kreatif rantau ini agar terus hidup dan relevan untuk generasi akan datang.
“Fasa seterusnya adalah tentang memperkukuh peranan kami sebagai pusat budaya dan kreatif di Utara Malaysia,” jelas Grace. “Aman Central akan terus menjadi ruang yang menyemai ilham, menyatukan komuniti dalam semangat kebersamaan, dan menjadi pentas bagi warisan budaya Kedah untuk bersinar megah. Di sinilah idea-idea baharu dilahirkan, semangat lokal diraikan, dan keindahan budaya dikongsi untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.”
Menjelang Kedah Fashion Week 2025, acara berprestij ini berdiri megah sebagai lambang kejayaan sedekad Aman Central dalam merentas dunia gaya, identiti dan komuniti. Ia bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi satu perayaan yang lahir daripada visi yang jelas dan semangat untuk terus mencetuskan inspirasi baharu. KFW 2025 bakal menghidupkan pentas dengan sentuhan glamor diraja dan kehadiran selebriti ternama seperti Nadeera Zaini, Hael Husaini, Amir Masdi dan Mimifly. Menambahkan lagi keistimewaan, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda, Raja Puan Muda Kedah, akan memayungi ketiga-tiga hari pertunjukan, sekaligus mengangkat martabat acara ini ke satu aras yang lebih berwibawa dan berprestij.
“KFW kini berdiri sebagai tunggak utama dalam landskap kreatif rantau ini, memacu bakat dan mencetuskan arus inspirasi,” kata Ken Chin. “Ia tidak hanya sekadar acara tahunan, tetapi sebuah gerakan yang terus berkembang, menyemai inspirasi dan terus menyatukan dan memperkasa komuniti kreatif. Saat kita meraikan detik Berlian ini, kita bukan sahaja menghormati perjalanan yang telah dilalui, tetapi turut membuka lembaran baharu yang sarat dengan potensi dan bab-bab gemilang yang bakal mencorakkan masa depan.”
Untuk maklumat lanjut mengenai Aman Central dan Kedah Fashion Week 2025, sila layari
https://www.amancentral.com.my/.
Mengenai Aman Central - Denyut Nadi Alor SetarTerletak strategik di tengah-tengah bandar Alor Setar, Aman Central merupakan mercu tanda unggul. Digambarkan sebagai tumpuan serantau di mana segalanya bersatu, ia menawarkan tempat persinggahan ideal untuk seisi keluarga.
Dengan keluasan binaan 1.25 juta kaki persegi dan kawasan boleh sewa bersih seluas 800,000 kaki persegi, Aman Central menyediakan pengalaman beli-belah lengkap untuk semua peringkat umur dan gaya hidup. Menempatkan lebih 300 kedai khas, ia menampilkan gabungan eksklusif jenama fesyen antarabangsa, jenama gaya hidup, makanan dan minuman tempatan serta global, serta salah satu pusat hiburan dalaman terbesar untuk kanak-kanak di rantau ini.
Aman Central turut menampilkan pawagam pertama yang diperakui THX dan audio tiga dimensi Dolby Atmos di Alor Setar, selain lorong boling terbesar di bandar ini, serta pelbagai salun dan pusat kesihatan. Penyewa utama termasuk Parkson, Golden Screen Cinemas, Lotus’s, Kidzooona, H&M, Padini Concept Store, The Parenthood, Nitori, Sports Direct, USC, Aman Bowl dan rangkaian makanan & minuman bukan halal pertama, HaiDiLao.
Zon Al Fresco yang meriah, dipenuhi kafe bergaya dan tempat makan santai, menawarkan lokasi ideal untuk bersantai. Pengunjung boleh menikmati pemandangan indah Aman Walk dan Menara Alor Setar dari dua tingkat ruang makan terbuka.
Terletak berhadapan Menara Alor Setar dan mudah diakses melalui persimpangan Jalan Tambang Badak dan Jalan Teluk Wanjah, Aman Central terus berkembang dengan menawarkan pengalaman baharu, perkhidmatan berkualiti dan tarikan menarik kepada pengunjung.
Sejak dibuka pada 2015, pembangunan oleh Belleview Group ini telah merangkul dua anugerah berprestij dalam tempoh dua tahun:
● 2015: Anugerah Pembangunan Runcit Paling Disyorkan – Asia Pacific Property Awards 2015-2016.
● 2017: Pemenang Reka Bentuk Seni Bina Runcit Terbaik – Property Guru Asia Property Awards Malaysia 2017.
Anugerah ini mencerminkan tahap profesionalisme dan kemampuan Belleview Group dalam menerajui industri pembangunan hartanah yang sangat kompetitif di rantau Asia Pasifik.
Aman Central, karya agung moden dengan seni bina kontemporari dan pencahayaan malam yang menawan, kekal komited untuk menjadi destinasi beli-belah dan hiburan utama di utara Semenanjung Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini dan eksklusif hanya www.amancentral.com.my.
FB www.facebook.com/AmanCentralAlorSetar | IG @amancentral |Tiktok @AmanCentralTikTok
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.iamfuzy.com/2025/07/kedah-fashion-week-2025-1-3-ogos-2025.html