Kebun Bandar Kurangkan Belanja Dapur
Oleh Rosman Shamsudin
Peserta Kebun Bandar memetik daun tumbuhan herba iaitu mata itik untuk dikeringkan di Rumah Solar. NSTP/Rosman Shamsudin TANJUNG MALIM: Projek Kebun Bandar yang diusahakan oleh penduduk Proton City, dekat sini, bukan sahaja dapat mengurangkan belanja dapur isi rumah, namun turut memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk.
Kebun berkenaan diusahakan di pinggir taman perumahan bersebelahan kaki Banjaran Titiwangsa mempunyai keluasan kira-kira 0.5 hektar.
Pengarah Kebun Bandar, Abd Razak Mat Taib, 49, berkata kebun itu diwujudkan atas inisiatif penduduk bersama mahasiswa ijazah sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Proton City sekitar tahun 2017.
Katanya, seramai 30 penduduk terbabit dalam mengusahakan tanah yang dijadikan Kebun Bandar dengan menanam sayur-sayuran dan tumbuhan herba.
"Setiap peserta secara berkelompok akan diberikan kawasan atau tapak bagi bercucuk tanam dengan tanaman masing-masing.
"Biasanya, peserta akan meluangkan masa bersama di Kebun Bandar pada cuti hujung minggu dan pada hari biasa, mereka akan bergilir-gilir menyiram tanaman," katanya ketika ditemui, dekat sini.
Menariknya, Kebun Bandar ini juga mempunyai Rumah Pengeringan Solar yang dibina oleh UKM bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk tujuan pengeringan, terutama bagi tumbuhan herba.
Antara tanaman yang ditanam selain sayuran ialah bahan asas masakan seperti pokok daun kari, bunga kantan, serai, kesom dan pandan.
Sementara tumbuhan herba pula terdiri daripada pokok mahkota dewa, salam, lamundi, serai wangi dan mata itik.
Abd Razak berkata, kaedah Kebun Bandar yang diwujudkan di taman perumahan ini banyak memberi manafaat kepada isi rumah kerana mereka tidak perlu lagi membeli sayuran asas ketika memasak untuk keluarga.
Katanya, penduduk di taman perumahan ini terdiri daripada pelbagai golongan dan latar belakang yang berbeza dan dengan adanya Kebun Bandar, ia sekali gus dapat memupuk semangat kejiranan.
Sementara itu, peserta yang juga pensyarah di Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Dr Nor Nafizah Mohd Noor, berkata Kebun Bandar menjadi tempat penuntut fakulti terbabit menjalankan kajian dan penyelidikan tumbuhan herba.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/kebun-bandar-kurangkan-belanja-dapur.html