Kebanyakan Ahli Keadilan Mula Aktif Politik Seawal Usia 18 Tahun
POSTED BY AMIR WRLR
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah menempelak tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan undi 18 kepada September 2022.
Beliau berpendapat alasan SPR juga tidak boleh diterima kerana menganggap badan pengelola pilihan raya itu seharusnya menghormati hasrat 221 ahli Parlimen sebelum yang menyokong supaya undi 18 dilaksanakan.
Malah, Nurul Izzah berpandangan kebanyakan ahli politik termasuk yang mewakili KEADILAN mula giat dalam politik seawal usia 18 tahun.
"Sebilangan besar daripada kami yang memulakan aktivisme politik pada tahun 1998 berusia lewat remaja; bersama Rafizi Ramli, Chan Ming Kai, Chang Lih Kang, Nurin Aina, Sim Tze Zin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Kesavan Subramaniam, dan ramai yang lain berumur di antara 18 hingga 21 tahun, yang seterusnya menjadi antara anggota awal Parti KEADILAN Nasional (sekarang Parti KEADILAN Rakyat) menjelang tahun 1999.
"Ramai terpaksa hadapi sistem perundangan yang menghukum serta peraturan akademik yang mencabar, sehingga kehilangan masa depan tertiari hanya kerana memilih untuk menyuarakan perbezaan pendapat politik atau bersama dengan parti pembangkang," katanya.
Disebabkan itu, rata-rata dari kalangan mereka yang akhirnya menjadi ahli Parlimen menyokong hasrat untuk memastikan semua individu berusia 21 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.
"Pada tahun 2012, Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) telah memperoleh undian Ahli Parlimen merentasi parti - bagi mendaftarkan rakyat yang berusia 21 tahun ke atas secara automatik sebagai pemilih," kata Nurul Izzah.
Namun, beliau kecewa apabila kerajaan Barisan Nasional ketika itu gagal menghormati keputusan perundangan secara keseluruhan.
Malangnya, perkara lebih kurang sama terjadi lagi pada 2021, apabila Izzah menyifatkan SPR telah menolak komitmen perundangan yang menyaksikan persetujuan kesemua Ahli Parlimen untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan pendaftaran automatik anak muda berusia 18 tahun menjelang 2021.
"Sebaliknya, tarikh September 2022 muncul sebagai garis masa baharu sekaligus menyingkirkan kewibawaan sayap legislatif dan meletakkan kelulusan parlimen hanya sebagai nota kaki, bukan keputusan yang harus dihormati.
"Selari dengan angin perubahan yang dirasakan mampu meningkatkan kemampuan kita untuk melaksanakan tindakan politik pada tahun-tahun yang tidak dapat dilupakan seperti tahun 1998-1999, begitulah juga kita harus memberi hak kepada anak-anak muda berusia 18 tahun bagi memilih dan membina masa depan bersama.
Justeru, Nurul Izzah menganggap rakyat terutamanya anak muda 18 tahun tidak boleh lagi berdiam diri dalam isu ini.
"Sudah tentu ini adalah tahun dimana kita tidak boleh bertolak ansur dengan SPR menggunakan alasan kuno seperti mekanisme pendaftaran pemilih yang mencabar bagi menunda pelaksanaan hak anak-anak muda berusia 18 tahun.
"SPR, dan semua anggota Parlimen harus menghormati dan melaksanakan komitmen perundangan yang dimeterai pada 2019 dan memastikan anak muda 18 tahun layak mengundi tahun ini," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/03/kebanyakan-ahli-keadilan-mula-aktif.html