Kashmir Pakistan India Menurut Presiden Pas
KASHMIR adalah satu wilayah di Barat Laut Benua India. Sehingga pertengahan abad ke-19, istilah Kashmir merujuk kepada kawasan lembah di banjaran Himalaya Besar.Hari ini Kashmir mencetuskan pertikaian yang ditadbir oleh tiga negara iaitu; India menguasai Jammu dan Kashmir (Lembah Kashmir, Jammu dan Ladakh), Pakistan mentadbir Gilgit-Baltistan dan wilayah Azad Kashmir, dan China menguasai di Aksai Chin dan kawasan Trans-Karakoram. Maka Kashmir mengundang krisis tiga penjuru tersebut.Pada alaf pertama, wilayah Kashmir penting bagi agama Hindu dan kemudiannya Buddha hingga ke beberapa abad. Pada tahun 1349, Shah Mir menjadi pemerintah Islam yang pertama di Kashmir dengan nama Salatin-i-Kashmir atau Dinasti Swati. Raja-raja Islam memerintah Kashmir, termasuk Mughal yang memerintah dari tahun 1526 hingga 1751. Kemudian Empayar Durrani Afghanistan memerintah dari tahun 1747 hingga 1820.Selepas itu, Sikh di bawah Ranjit Singh menguasai Kashmir. Pada tahun 1846, di bawah Perjanjian Amritsar, Dogras di bawah Gulab Singh menjadi pemerintah baharu yang dikuasai oleh British sehingga 1947.Konflik Kashmir 1947-1948
Penduduknya adalah 77 peratus Muslim dan berkongsi sempadan dengan Pakistan. Apabila Benua India diberi kemerdekaan oleh penjajah British yang membahagikan Pakistan kepada Islam dan India kepada Hindu, Maharaja merayu kepada Lord Mountbatten untuk mendapatkan bantuan. Gabenor Jeneral British bersetuju dengan syarat bahawa pemerintah menyertai India, maka berlakulah pertembungan dengan rakyat majoriti Muslim.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudiannya dijemput menyelesaikan pertikaian. Misi PBB menegaskan bahawa pendapat rakyat Kashmir mesti diambil kira. Manakala India menegaskan bahawa referendum tidak boleh dijalankan sehingga semua negeri dibersihkan, kemuncaknya mencetuskan peperangan di antara Pakistan dan India.Pada hari-hari terakhir tahun 1948, gencatan senjata telah dipersetujui di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun pungutan suara yang dituntut oleh PBB tidak pernah dijalankan. Hubungan antara India dan Pakistan tetap memburuk dan pernah membawa kepada tiga peperangan kerana Kashmir pada tahun 1947, 1965 dan 1999. India mengawal Jammu dan Kashmir, manakala Pakistan menguasai satu pertiga daripada rantau iaitu kawasan Utara dinamakan Azad Kashmir.Rantau Timur Kashmir juga terlibat dalam pertikaian sempadan. Abad ke-20, perjanjian sempadan ditandatangani antara Great Britain, Afghanistan dan Rusia ke atas sempadan utara Kashmir tetapi China tidak pernah merestui perjanjian ini. Kedudukan rasmi China tidak berubah dengan Komunis mengambil alih pada tahun 1949. Menjelang pertengahan tahun 1950-an, tentera China telah memasuki bahagian Utara-Timur Ladakh. Pada 1956-1957, China menyiapkan jalan tentera melalui kawasan Chin Aksai ke Xinjiang dan Barat Tibet. Pertempuran sempadan antara China dengan India berakhir pada Oktober 1962.Rantau ini dibahagikan kepada tiga negara. Pakistan menguasai Azad Kashmir, India mengawal Jammu dan Kashmir dan Ladakh, dan China menguasai bahagian Timur Laut (Aksai Chin dan Trans-Karakoram).India menguasai majoriti Glasier Siachen termasuk kawasan Ridge Saltoro Pas, manakala Pakistan sebahagian Barat Daya Ridge Saltoro. India mengawal 101.338 km persegi (39.127 batu persegi) wilayah yang dipertikaikan, Pakistan 85.846 km persegi (33.145 batu persegi) dan China, baki 37.555 km persegi (14.500 batu persegi).Perang Indo-Pakistan tahun 1947, Pakistan menguasai satu pertiga Kashmir dan India satu setengah, dengan garis pemisah dikawal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ). Perang Indo-Pakistan tahun 1965 menemui jalan buntu dan gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dirundingkan.Sepatutnya keputusan PBB supaya diadakan pungutan suara secara demokratik dilaksanakan bagi menangani krisis yang berpanjangan ini. Malangnya dunia yang dikatakan moden ini sentiasa tidak berpihak kepada umat Islam di mana-mana sahaja, menjadikan umat Islam terus dijadikan mangsa kezaliman yang tidak dibela oleh masyarakat antarabangsa seperti juga di Palestin, Rohingya, Uyghur dan lain-lain.Kita mengharapkan kerjasama Pertubuhan Negara Umat Islam (OIC) berfungsi bagi membela nasib umat Islam di tengah masyarakat antarabangsa secara adil dan menghormati konsep hak asasi manusia yang meninggalkan era kolonialisme. Namun umat Islam menjadi laksana sampah sarap dan buih yang tidak bermaya dihanyutkan arus diskriminasi yang terus menerus.“Islam Memimpin”ABDUL HADI AWANGPresiden PAS Bertarikh: 28 Jamadil Akhir 1440 / 5 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 5/3/2019
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2019/03/kashmir-pakistan-india-menurut-presiden.html