Kami Bertindak Ikut Undang Undang Sprm Beritahu Ahmad Maslan
    Adam Abu Bakar

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan  pengiraan jumlah nilai yang perlu dikembalikan oleh penerima notis  kompuan yang didakwa menerima dana 1MDB dibuat mengikut undang-undang.
 Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, pengiraan itu  sudah dijelaskan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan  Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
 “Kita mengikut undang-undang, bukannya suka-suka. Apa yang dikatakan  Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya adalah apa yang mengikut  undang-undang.
 “Kalau ada yang pertikaikan cara pengiraan itu, terpulang,  setahu kita, tidak ada silap pengiraan,” katanya dalam sidang media di  Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Azam berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pontian Ahmad  Maslan yang mempertikai jumlah dana yang diterima dan jumlah wang  dituntut SPRM.
 Sebelum ini, SPRM bertindak mengeluarkan notis kompaun terhadap 80  individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.
 Latheefa, berkata notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan  Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
 Seramai sembilan individu termasuk adik Najib Razak, Nazir, juga  bekas pengerusi Kumpulan CIMB, Ahmad dan bekas pengerusi Felda Shahrir  Samad, di samping 43 entiti politik dan 23 syarikat disenaraikan  menerima sehingga RM420 juta daripada 1MDB.
 Menyentuh mengenai perkembangan terkini kompaun berkenaan, seramai  10% penerima memberi persetujuan untuk membayar semula dana tersebut.
 “40% menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang  terhadap SPRM, 45% hantar surat untuk membuat rayuan manakala tiga  individu tidak mahu menerima serahan notis kompaun berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan SPRM sudah menubuhkan  sebuah pasukan khas bagi mengesan aset milik 1MDB di seluruh dunia.
 “Pasukan ini akan mengesan aset dan mengenal pasti penyiasat di setiap negara untuk bekerjasama dalam usaha ini,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/kami-bertindak-ikut-undang-undang-sprm.html