Kaedah Menegur Aurat Saudara Mara Ketika Beraya Di Kampung
Soalan:
Insyaallah tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan dan seterusnya Syawal bakal menjelma. Setiap kali Syawal tiba, saya mesti rasa serba salah setiap kali keluarga berkumpul dengan sanak-saudara ketika beraya di kampung. Ini kerana tiada yang menegur berkaitan batas aurat yang perlu dijaga di antara sesama sepupu, ipar dan biras. Apakah kaedah yang perlu saya lakukan untuk menegur dan menasihati mereka untuk menjaga aurat dan dalam masa yang sama menjaga hati golongan-golongan yang lebih berusia daripada kita?
Jawapan:
Allah SWT telah menetapkan batas aurat bagi lelaki dan perempuan. Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada. Aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausû’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)
Firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)
Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:
يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا
“Wahai Asma ! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” [Hadith Abu Daud: 4104, al-Baihaqi: 3218]
Selain itu, melihat dan memandang aurat orang lain secara sengaja juga diharamkan oleh Islam. Rasulullah SAW melarang orang yang beriman supaya tidak melihat aurat antara satu sama lain, Baginda SAW bersabda:
لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
“Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki (lainnya), dan janganlah pula seorang wanita melihat aurat wanita (lainnya). Seorang lelaki tidak boleh bersama lelaki lain dalam satu kain, dan tidak boleh pula seorang wanita bersama wanita lainnya dalam satu kain.” [Hadith Muslim: 38]
Justeru, aurat wajiblah dijaga daripada dilihat dan dipandang oleh orang lain walaupun dalam apa jua keadaan, disamping itu perlu juga untuk kita menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.
Adat masyarakat kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah dengan pulang ke kampung untuk berkumpul bersama ibu bapa, adik-beradik dan sanak-saudara. Namun apa yang menyedihkan, apabila berkumpul dan di satu bumbung yang sama, persoalan berkaitan aurat kurang dititik-beratkan.
Dalam hal saudari yang bertanya, situasi yang berlaku tersebut hendaklah dicegah dengan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” [Hadith Muslim: no.49]
Kemungkaran seperti mendedahkan aurat dengan sengaja sesama sepupu, ipar dan biras hendaklah ditegur dan diingatkan berkaitan hukumnya. Ini berdasarkan kemampuan yang ada pada saudari yang bertanya, samada mencegahnya dengan kuasa yang ada seperti kepada adik-beradik dan anak-anak saudara yang lebih muda, dan menegur dengan lisan kepada sanak-saudara yang lebih kurang sebaya umurnya.
Kesimpulan
Oleh itu, pada akhirnya kami menasihatkan dan mencadang juga beberapa kaedah lain yang difikirkan sesuai berdasarkan situasi saudari. Kaedah tersebut ialah seperti berikut:
Menyampaikan pesanan kepada ahli keluarga yang paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati dan mengambil cakna tentang hal ini.Mengasingkan tempat dan membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian, tidur atau selainnya.Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga di dalam group whatapps keluarga dan saudara-mara.Membuka topik perbualan sesama sanak-saudara berkaitan aurat serta menimbulkan kesedaran mereka untuk menjaganya.Menghadiahkan kepada saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian menutup aurat yang berjenama agar dia terdorong untuk memakainya.
Kami doakan supaya saudari mampu mengubah dan mencegahnya daripada berlaku untuk masa yang akan datang. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/04/kaedah-menegur-aurat-saudara-mara.html