K Jaan Takkan Ekstradisi Pelarian Uighur Walau Diminta China
MALAYSIAKINI
Kerajaan mengulangi pendirian untuk tidak mengekstradisi etnik Muslim Uighur yang berlindung di Malaysia walaupun terdapat permohonan dari China.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof berkata ini sejajar dengan pendirian Putrajaya untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.
"Malaysia mengamalkan dasar luar negara yang sentiasa memperjuangkan hak untuk setiap negara yang diperlukan masalah dalamannya tanpa campur tangan dari pihak luar," katanya dalam jawapan di parlimen.
Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta perdana menteri menyatakan isu Uighur, jumlah pelarian Uighur yang masuk Malaysia setiap tahun dari 2010 hingga 2020, jumlah yang diberi status pelarian oleh UNHCR dan jumlah yang diberi status pemastautin tetap Malaysia.
Mohd Redzuan berkata, isu penindasan umat Islam di seluruh dunia termasuk ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China adalah wujud dan perlu diakui oleh semua pihak.
"Namun, dalam hal pelarian Uighur, kerajaan berpendirian untuk tidak campur tangan di dalam hal ehwal dalaman Republik Rakyat China," katanya.
"Justeru, sekiranya terdapat pelarian Uighur yang melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan, Malaysia telah menetapkan supaya tidak akan mengekstradisi pelarian Uighur walaupun terdapat permohonan daripada Republik Rakyat China.
"Mereka dibenarkan untuk pergi ke negara ketiga atas sebab kerana mereka mempunyai ketakutan berasas ke atas keselamatan dirinya atau berkemungkinan berlaku penganiayaan terhadapnya, yang mana pada pertimbangan dirinya tidak akan mendapat perlindungan yang adil di negara asalnya," tambah Redzuan.
Justeru katanya, berdasarkan kepada dasar ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pelarian Uighur yang diberikan status pelarian oleh UNHCR.
"Kerajaan juga tidak memberikan status pemastautin tetap kepada mana-mana pelarian," tambahnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/kjaan-takkan-ekstradisi-pelarian-uighur.html