K Jaan Komited Perkasa Ekonomi 500 000 Pekebun Kecil Risda
Bernama
Kerajaan  komited dalam memastikan Program Pembangunan Kemajuan Pekebun Kecil  Perusahaan Getah (Risda) mampu mengangkat ekonomi 500,000 pekebun kecil  di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abd Latiff  Ahmad.
Beliau berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya  meluluskan peruntukan bagi Program Pembangunan Risda berjumlah RM461  juta untuk tahun ini.
“Antara program utama yang dilaksanakan  adalah pembangunan kawasan tanam semula dengan peruntukan RM261 juta,  peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil RM38.2 juta dan  pembangunan semula hasil baru dengan peruntukan RM20 juta,” katanya  dalam kenyataan semalam.
Abd Latiff berkata Risda turut meneruskan  program mempelbagaikan pendapatan dengan menyalurkan bantuan  keusahawanan kepada pekebun kecil melalui aktiviti ekonomi tambahan  dengan peruntukan RM50.3 juta.
“Program  agromakanan seperti ternakan, tanaman jangka pendek dan panjang turut  dilaksanakan untuk memberi sumber pendapatan kedua kepada pekebun  kecil,” katanya.
Dr Abd Latiff berkata bantuan khas Hari Raya  Aidilfitri 2020 Covid-19 bernilai RM300 turut diberi secara one-off   kepada 291,904 pekebun kecil Risda yang terjejas pendapatan akibat  penularan wabak itu.
Risda juga membuat bayaran dividen sebanyak  RM42.7 juta kepada 31,436 orang pekebun kecil yang layak dan sebanyak  RM12.8 juta daripada jumlah itu dibayar kepada 16,080 peserta Rancangan  Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) dan RM29.9 juta dibayar kepada 15,356  orang peserta Tanam Semula Komersial (TSK).
Selain itu, Risda juga  menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh 2019 berjumlah RM164.7 juta dan  bantuan yang sama akan disalurkan kepada 274,639 orang pekebun kecil  pada tahun ini.
Sementara itu, Abd Latiff turut mengumumkan  pelantikan Ketua Pengarah Risda yang baru  Abdullah Zainal @ Deraman  yang berkuat kuasa Rabu, menggantikan Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan  Mohamad yang menamatkan kontrak perkhidmatannya esok.-Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/kjaan-komited-perkasa-ekonomi-500000.html