Jurukimpal Kontrak Dipenjara Tiga Tahun Kendali Wang Anggota Daesh

KUALA LUMPUR – Seorang jurukimpal kontrak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang anggota kumpulan Daesh, 10 tahun lepas.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zairul Mahmud, 40, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lepas.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zairul didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta seorang pengganas, dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM10,000 dan pengeluaran sebanyak RM6,000 daripada akaun bank milik tertuduh untuk manfaat pengganas terbabit.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, antara 25 Februari 2015 hingga 8 Mei 2015, mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikendalikan itu.
Berdasarkan fakta kes, bertindak atas satu laporan polis, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di sebuah premis di Masai, Johor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.
Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui beberapa transaksi daripada akaun banknya antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015 melalui perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada seorang lelaki yang terlibat dengan kumpulan Daesh.
Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Mohd Zairul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.
“Saya menyesal dengan perbuatan saya, saya mohon hukuman ringan demi keluarga saya,” katanya.
Sumber: Bernama
The post Jurukimpal kontrak dipenjara tiga tahun kendali wang anggota Daesh appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/16/jurukimpal-kontrak-dipenjara-tiga-tahun-kendali-wang-anggota-daesh/