Jika Zahid Tidak Mahu Pas Pun Tak Payahlah Terhegeh Hegeh
satuberita.my
Rencana
Pendapat
By Zulkiflee Bakar
-October 1, 2021
‘’Saya nak tanya balik, adakah Muafakat Nasional ini lagi? “Kalau kita…apa ni yang dipanggil netizen bahawa UMNO ini dikhianati..saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional”.
Itulah jawapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal semalam berapa jangkaan kerusi dan negeri yang boleh dimenangi jika Barisan Nasional (BN) bertanding bersama Muafakat Nasional.
Kenyataan dikatakan mengejutkan banyak pihak bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Pas tetapi juga UMNO, malah ada sumber memberitahu, perkara itu tidak dibincang dalam mesyuarat MT UMNO.
Persoalannya adakah kenyataan Ahmad Zahid itu atas kapasiti peribadi atau sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN? Dan adakah pendirian itu dipersetujui oleh ahli-ahli MT UMNO?
Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid mungkin atas kapasiti peribadi dan mungkin tidak terima oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain yang tetap mahu mempertahankan Muafakat Nasional. Anehnya Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut pada 14 September lalu melalui akaun telegramnya menyiarkan ucapan tahniah sempena Ulangtahun kedua Muafakat Nasioanal.
Tetapi semalam beliau juga bertanya , ‘’adakah Muafakat Nasional ini lagi’’? Jadi apa sebenarnya berlaku?
Lebih menarik Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan perbicaraan berpuluh-puluh tuduhan rasuah dan salahguna kuasa dengan bangganya menegaskan;
‘’Saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Kita fikir elok kerusi free for all. Kalau kita mahu bentuk kerajaan pun selepas parti-parti yang bertanding di seluruh negara dapat keputusan berapa kerusi diperolehi oleh parti dan ketika itu mungkin rundingan boleh dilakukan.’’
Maknanya, sudah ada tekad atau pendirian daripada Ahmad Zahid bahawa UMNO akan bertanding di semua kerusi waima milik Pas sekalipun dan ia turut mewujudkan kekeliruan kerana sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara UMNO dan Pas kini sudah mencapai tahap 70 peratus.
Jelas beliau, kata sepakat antara UMNO dan Pas dipersetujui menerusi siri mesyuarat Muafakat Nasional yang telah diadakan di antara kedua-dua parti itu sebelum ini.
Beliau berkata, menerusi persefahaman itu, formula yang telah dipersetujui sebelum ini masih lagi kekal iaitu mana-mana parti yang telah memenangi sesuatu kerusi akan kekal bertanding di kawasan yang sama pada PRU15.
Kalau begitulah kata Mohamad atau Tok Mat Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang disiarkan oleh Astro Awani pada 3 September lalu, bagaimana pula dengan kenyataan terbaru Ahmad Zahid ini? Adakah UMNO sudah membuat keputusan baru tanpa memaklumkan kepada Pas atau adakah Tok Mat Hasan pun tidak diberitahu oleh Ahmad Zahid?
Ahmad Zahid sepatutnya lebih berani untuk membuat kenyataan rasmi bagi memaklumkan apakah pendirian UMNO dalam soal hubungan dengan Pas melalui Muafakat Nasional.
Kalau betul UMNO sudah tidak mahu lagi meneruskan hubungan itu maka buat secara rasmi, bukan hanya berdegar-degar dalam wawancara sahaja.
Muafakat Nasional bukannya ditubuhkan melalui mana-mana wawancara tetapi diisytiharkan secara rasmi melalui majlis menandatangani Piagam Perpaduan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada 14 September 2019.
Justeru Ahmad Zahid perlu lebih matang atau profesional dalam berpolitik melibatkan parti lain.
Kenyataan rasmi perlu dikeluarkan melalui MT yang sebelum ini dijadikan landasan oleh Ahmad Zahid untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Tetapi penulis percaya kenyataan Ahmad Zahid bukan pendirian rasmi UMNO, sebelum inipun kita sudah dengar perkataan, ‘’kirim salam kepada Muafakat Nasional”.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional serta memperkukuhkan perpaduan ummah dengan merangkul bersama Bersatu perlu bangkit menyatakan pendirian mereka.
UMNO tidak boleh dilihat terlalu angkuh mahu bertanding secara solo dalam PRU-15 dengan keyakinan boleh menang banyak kerusi.
Tindakan bersandarkan kepada keputusan PRU-14 yang mana UMNO menang 79 kerusi adalah perkiraan yang salah dan tidak strategik sama sekali kerana senario politik kini amat berbeza.
Bagaimanapun jika Ahmad Zahid begitu yakin UMNO tidak memerlukan Pas, maka Pas pun tidak perlulah terhegeh-hegeh atau ‘’hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ untuk terus mempertahankan Muafakat Nasional.
Tambahan pula Pas kini anggota Perikatan Nasional yang turut disertai oleh sebuah lagi parti Melayu iaitu Bersatu.
Pas bukanlah parti kecil yang harus dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu bersama Ahmad Zahid dan UMNO. Pas mempunyai kekuatan dan kelebihan sendiri apatah lagi jika bergabung tenaga dengan Bersatu.
Tetapi seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, ‘’ tu dia yang kata bukan UMNO (secara rasmi), jadi Pas akan terus dengan agenda jajaran politik perpaduan ummah.’’
Maksudnya Pas akan melaksanakan agenda menyatukan ketiga-tiga parti Melayu dalam PRU-15 bagi mengelakkan perpecahan dan pertembungan yang akan merugikan keseluruhan kuasa politik orang Melayu.
Hakikatnya, kita tidak pasti sejauh manakah usaha Pas akan berjaya tetapi yang pasti UMNO tidak akan menang besar jika bertanding bersendirian!
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.
Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
SatuBerita menghargai pendapat anda.
Hantar pendapat anda ke emel,
[email protected]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/10/jika-zahid-tidak-mahu-pas-pun-tak.html