Jheains Sahkan Tahan Anggota Hizbut Tahrir
SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesahkan membuat penahanan terhadap seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Jamaluddin Maidin Syed, 45, awal pagi tadi.
Jamaluddin ditahan pada jam 2.30 pagi ketika datang memberi keterangan di pejabat JHEAINS, di sini.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah.
berkata sebelum itu, pihaknya menyerbu rumah Jamaluddin di Bandar Seremban Selatan, pada jam 10 malam dan menahan isteri Jamaluddin berusia 46 tahun serta anak perempuannya berusia 22 tahun.
Beliau berkata, penahanan mereka dibuat selaras peruntukan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 selepas disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir.
"Penahanan mereka dibuat mengikut prosedur dan ia tidak timbul sebarang isu. Sebelum kami membuat pemeriksaan di rumah suspek, kami tunjukkan waran geledah daripada mahkamah kepada isterinya terlebih dulu kerana ketika itu Jamaluddin tiada di rumah.
"Berkenaan dakwaan tangkapan dibuat tanpa waran, ia tidak timbul kerana kesalahan disiasat mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, yang tidak memerlukan waran," katanya kepada BH, hari ini.
Polis sebelum ini membuka kertas siasatan terhadap HTM selepas menerima laporan terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.
Siasatan terperinci dilakukan pihak polis susulan doktrin fahaman kumpulan itu termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.
Ahmad Zaki berkata, selepas pemeriksaan dilakukan, isteri Jamaluddin dan anaknya dibawa ke Pejabat Penguatkuasa JHEAINS untuk siasatan lanjut, manakala Jamaluddin ditahan ketika hadir ke pejabat bagi memberi keterangan.
Beliau berkata, beberapa barang turut dirampas bagi tujuan siasatan dan digunakan di mahkamah ketika perbicaraan kelak.
"Hari ini Mahkamah Syariah membenarkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin," katanya.
Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai perkara itu dan memaklumkan penguatkuasaan yang dilakukan pihaknya mengikut Enakmen Tatacara Jenayah dan bukannya secara semberono.
Sumber berita : Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lagiberita.blogspot.com/2021/10/jheains-sahkan-tahan-anggota-hizbut.html