Jangan Tertipu Hujah Agama Golongan Antivaksin Pakar Perubatan
MALAYSIA GAZETTE                                                                                                                                                                                              

Hujah  agama, yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang  perubatan dan penjual produk-produk alternatif, mengenai keburukan  vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin  untuk kesihatan anak-anak mereka, kata seorang pakar perubatan kesihatan  awam. 
        KUALA LUMPUR – Hujah agama, yang diguna pakai golongan  profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk-produk  alternatif, mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa  menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak-anak mereka, kata  seorang pakar perubatan kesihatan awam.
 Prof Madya Dr Malina Osman dari Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi  Perubatan Universiti Putra Malaysia berkata, ibu bapa yang termakan  hujah kedua-dua golongan itu tidak lain hanya akan menyukarkan tugas  kerajaan menangani kes penyakit kerintangan vaksin yang direkod  meningkat saban tahun.
 “Ramai ibu bapa tertipu dengan hujah antivaksin oleh golongan  berpendidikan namun bukan daripada bidang perubatan, mereka ini datang  dari kepelbagaian latar belakang pengetahuan yang ditimba di luar dan  dalam negara menyebabkan fakta-fakta kritikal berkaitan isu perubatan  disalah tafsir (contohnya data berkaitan statistik dan inferen sesuatu  penyelidikan) membuatkan masyarakat memandang vaksin membawa keburukan.
 “Ini termasuklah hujah dipakai golongan penjual tidak bertauliah yang  mempopularkan produk alternatif vaksin di pasaran, dan tak dinafikan di  situ wujud unsur-unsur perniagaan yang mengutamakan keuntungan  disandarkan atas nama kesihatan. Jika kita tengok di sebuah negara jiran  sebelum ini, wujud sindiket penjualan vaksin palsu, jadi kita perlu  ambil iktibar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
 Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor  Hisham Abdullah yang berkata wujud kumpulan dan individu yang  menggunakan pelbagai platform termasuk media sosial untuk menyebarkan  berita palsu mengenai keburukan vaksin terhadap orang ramai, seperti  yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, baru-baru ini.
 Tambah Dr Malina, golongan antivaksin cenderung menggunakan hujah  agama seperti isu penggunaan bahan tidak halal, sedangkan isu berkenaan  telah lama diatasi menggunakan teknik kejuruteraan sel yang menghasilkan  vaksin tanpa penglibatan haiwan yang haram di sisi syarak.
 “Mereka cenderung mengklasifikasikan sebahagian besar bahan digunakan  dalam vaksin berasal daripada bahan bertoksik dan haiwan yang haram di  sisi syarak, walhal anggapan itu tanpa asas bukti penyelidikan yang  kukuh.
 “Kesemua vaksin yang dihasilkan perlu melalui sistem penghasilan yang  ketat serta didokumenkan setiap proses, dos dan kesan sampingannya.  Ujian klinikal melibatkan ribuan responden dari pelbagai kawasan  geografi dan ia terbukti menghasilkan antibodi melawan penyakit  berbahaya dengan izin Tuhan,” katanya.
 Tambah beliau, pendekatan terhadap perubatan bagi penganut beragama  Islam perlulah menepati kaedah ditetapkan syarak antaranya mendahulukan  kepentingan nyawa, yang penggunaan vaksin terbukti mampu melawan  penyakit berbahaya seperti campak, batuk kokol dan tetanus atau penyakit  kejang urat.— BERNAMA     
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/jangan-tertipu-hujah-agama-golongan.html