Jangan Sebar Berita Palesu Patut Kau Kena Kuat Turun Bagi Penerangan
FAHMI SEBAR BERITA PALSU
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan madani membayangkan, Anwar Ibrahim mungkin tidak turun berkempen di PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) yang tarikh pengundiannya pada 11 Mei depan.
Fahmi mendakwa, sudah menjadi “tradisi” dalam beberapa siri PRK sebelum ini Perdana Menteri tidak turun berkempen.
“Berhubung bila Perdana Menteri turun di KKB saya tak tahu lagi. Saya tak berhubung dengan beliau.
“Beliau kini di luar negara. Kebiasaanya, untuk PRK dalam banyak siri sebelum ini Perdana Menteri tak turun.
Ini bukan sahaja amalan dalam pentadbiran sekarang, tetapi pentadbiran-pentadbiran sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu.
Sebenarnya fakta yang dikemukakan Fahmi dalam hal tradisi Perdana Menteri ini adalah salah dan tidak betul sama sekali.
KKB adalah PRK ketujuh yang diadakan sejak Anwar mengetuai kerajaan madani.
PRK pertama yang diadakan ialah Kuala Teregganu yang diadakan bersekali dengan PRN negeri tersebut pada Ogos 2023.
Pada 9 Ogos, Anwar dalam rangka kempen PRN turut berkempen di Kuala Terengganu dalam Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Hiliran yang turut dihadiri calon PH kawasan tersebut, Azan Ismail.
Kemudian, dalam PRK Pulai yang diadakan berikutan kematian Salahuddin Ayub, Anwar telah datang berkempen bagi calon PH, Suhaizan Kaiat pada 3 September dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani, di Taman Uda Utama, Johor Bahru.
Pada tarikh yang sama, 3 September, Anwar juga turut berceramah bagi membantu calon PH di PRK Dun Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman.
Pada PRN Dun Pelangai, Anwar tidak ketinggalan turun berkempen dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai pada 2 Oktober 2023.
Turut bersama dalam ceramah bagi membantu calon BN, Amizar Abu Adam itu ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Seterusnya pada PRK Kemaman, Anwar sekali lagi tidak memencilkan diri dengan turut datang berkempen bagi membantu calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau hadir dalam Ceramah Mega Perpaduan MADANI PRK Kemaman di Dataran Restoran Cahaya Mesra, Geliga yang turut dihadiri beberapa pemimpin kerajaan perpaduan.
Anwar hanya tidak turun berkempen pada PRK Jepak di Sarawak yang diadakan pada 4 November 2023.
Dengan itu, untuk Fahmi membayangkan bahawa Anwar mungkin tidak turun berkempen di KKB atas sandaran ia adalah tradisi PMX dan amalan Perdana Menteri-Perdana sebelum ini adalah tidak benar dan seolah-olah menyebar berita palsu.
Berita benarnya ialah PMX mempunyai tradisi turun hampir semua PRK yang diadakan sebelum ini.
Tun Mahathir Mohamad ketika berkuasa di era BN selama 22 tahun memang tidak pernah turun berkempen di mana-mana PRK dan menyerahkan mandat mengetuai jentera kempen kepada Timbalan Perdana Menteri.
Tetapi bila berkuasa buat kali kedua atas nama PH pada 2018, Tun Mahathir telah memecahkan tradisi dengan turut berkempen dalam PRK Port Dickson dan Semenyih.
Calon PH bagi PRK Port Dickson ketika itu ialah Anwar (menang), manakala Semenyih ditandingi oleh Muhammad Aiman Zainal (tewas).
Hanya Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak yang benar-benar tidak pernah turun berkempen dalam mana-mana PRK ketika mereka memegang jawatan Perdana Menteri.
Ketika Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pula, tiada PRK pernah diadakan, kecuali PRN Sabah, Melaka dan Johor.
Bagi PMX, memang tiada keperluan sebenarnya untuk beliau turun berkempen dalam PRK kerana ia sepatutnya diketuai oleh timbalannya saja.
Lagi pun, Anwar sekarang ada dua Timbalan Perdana Menteri, tak perlu pun beliau turun berkempen.
Sebaliknya, di kalangan menteri-menteri dan bagi membantu Timbalan Perdana Menteri, Fahmi selaku Menteri Komunikasi adalah yang patut paling kerap turun memberi penerangan dan berkomunikasi dengan pengundi jika ada PRK diadakan.
Namun, sebelum bercakap, pastikan fakta yang dilafazkan itu betul dan tepat, bukan komunikasi yang tak ada isi. – ShahbudinHusin 30April2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/30/fahmi-salah-fakta.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/04/jangan-sebar-berita-palesu-patut-kau.html