Jangan Pernah Lupakan Asmawi
DI MANA ASMAWI?
Masih ingatkah anda kepada budak lelaki bernama Asmawi B. Jalalluddin? Kisah Asmawi pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu apabila pelajar berusia 11 tahun ini hilang pada 9 Mac 2008.
Asmawi hilang dalam perjalanan pulang berdekatan rumahnya di Jalan Permai Tujuh, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kanak-kanak lelaki ini dilaporkan hilang setelah pulang bermain bersama seorang rakannya tidak jauh dari kawasan rumahnya.
Kes kehilangan Asmawi mendapat liputan meluas apatah lagi sebelum itu, keadaan sedang hangat dengan beberapa siri kehilangan kanak-kanak seperti Sharlinie, Nurin Jazlin, Nur Fateha, Mohd Haiqal, Yin dan Nisha. Ada antara mereka yang ditemui semula termasuk mayat Nurin dalam keadaan tragis. Namun dalam kes Asmawi menemui jalan buntu dan sehingga kini, Asmawi tidak pernah ditemui.
Mungkin ramai tidak tahu, Rozita bukan hanya kehilangan Asmawi seorang. Ibu ini diuji dengan kehilangan anak-anak yang dikandung dan dilahirkannya.
Sebelum kehilangan Asmawi, Rozita sudah meratapi kehilangan dua anak perempuannya sekaligus dalam satu tragedi menyayat hati.
Anak keempatnya yang dipanggil Ateh (berusia 10 tahun) dan anak keenamnya yang dipanggil Busu (berusia 6 tahun), lemas apabila dihanyutkan air deras di sebuah longkang besar tidak jauh dari rumahnya.
Dalam insiden yang berlaku pada petang dalam bulan November 1994 itu, lima sekawan telah dihanyutkan arus deras. Hanya seorang yang selamat. Empat lagi meninggal dunia kerana lemas termasuk Ateh dan Busu. Mayat kedua beradik itu hanya ditemui keesokan harinya, menyiat-nyiat hati Rozita melihat jasad anak-anaknya yang sudah kembung tidak lagi bernyawa.
Lebih kurang 2 tahun kemudian, kedukaan Rozita terubat apabila dia melahirkan seorang bayi lelaki yang dinamakan Asmawi. Namun, ibu ini masih diuji. Ketika berperang dengan kesakitan melahirkan Asmawi, suaminya pula sedang kritikal di dalam wad. Hari keempat Asmawi dilahirkan, suaminya pula meninggal dunia akibat barah usus. Bertimpa-timpa kedukaan ibu ini.
Dan pada 9 Mac 2008, Rozita diuji lagi bila Asmawi yang ditatang selama 11 tahun hilang tanpa jejak. Jika kakak-kakaknya masih ditemui mayat mereka, namun Asmawi ghaib begitu saja tanpa dapat dikesan. Tiada jejak, tiada nisan.
Puas Rozita mencari anak lelakinya itu bagai orang gila. Ke serata tempat dia pergi dari Perlis sampailah ke Johor untuk mencari Asmawi.
Apa saja yang disuruh, semua dilakukannya. Disuruh naik ke atas bukit, disuruh masuk ke dalam sungai, disuruh hanyutkan bunga, disuruh sangaikan tanah, disuruh siramkan air jampi, disuruh bukakan lampu dan pintu rumah, pokoknya apa saja yang dikatakan boleh kembalikan Asmawi, semua Rozita lakukan. Namun sampai ke hari ini, bayang anak lelakinya itu tidak pernah kelihatan.
Ke mana Asmawi pergi?
Ada yang kata dia diculik. Tapi tiada sebarang petanda yang menjerumus kepada kes jenayah. Semua siasatan menemui jalan buntu.
Dari sudut golongan perubatan alternatif yang ditemui Rozita, rata-rata mereka mengatakan Asmawi diambil masuk ke ‘alam’ lagi satu. Alam yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Orang alam sana suka sangat dengan Asmawi. Dikatakan Asmawi ditarik masuk ke sana di kawasan berbukit tidak jauh dari rumah Rozita. Orang-orang dahulu di situ sering mengatakan kawasan bukit itu ada ‘penghuni’.
Digambarkan juga kononnya Asmawi gembira berada di tempat tersebut. Tetapi nak bawa Asmawi kembali semula memang mustahil. Begitu kata mereka.
Bagi Rozita, naluri keibuannya yakin Asmawi masih hidup. Dia juga kerap mimpikan anak lelakinya itu. Asmawi muncul dalam mimpinya tersenyum riang. Dalam mimpi itu, Rozita cuba memegang dan menarik tangan anaknya itu, tetapi setiap kali itu juga pegangan itu akan terlepas dan Asmawi lenyap dari pandangan.
Rozita percaya, anaknya itu berada di satu tempat yang tidak mampu digapainya. Hati Rozita sudah luruh. Bagi Rozita, jika orang alam sana benar-benar sukakan Asmawi, tak mengapa. Jagalah dia baik-baik. Tapi satu harapan Rozita, moga suatu hati nanti ‘mereka’ izinkan Asmawi pulang bertemunya, walaupun hanya sebentar.
Jika Asmawi kembali hari ini, usianya sudah 23 tahun.
**Berat ujian yang Allah berikan kepada ibu cekal ini... kehilangan Asmawi meninggalkan parut mendalam tak terbayangkan bagi seorang wanita bergelar ibu, jangan pernah lupakan Asmawi, teruskan berdoa, setiap urusan Makhluk tak terlepas dari kekuasaan Allah-KM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.krissmerah.com/2020/06/jangan-pernah-lupakan-asmawi.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+krissmerah+(Kriss+Merah.com+(Blogger+Melayu))