Jangan Pandang Rendah Muhyiddin Ada Ramuan Jinakkan Umno Kata Bersatu Sarawak
                     FMT Reporters

Pengerusi  Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian yakin dengan kemampuan Muhyiddin  mendepani cabaran daripada Umno untuk mengekalkan kerajaan Perikatan  Nasional (PN).PETALING JAYA: Berpengalaman politik lebih 40 tahun menjadi senjata  bagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “menjinakkan” Umno, kata Pengerusi  Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian.
Katanya, Muhyiddin bukanlah seorang ahli politik yang senang dibuli,  selain beliau mempunyai kredibiliti menguruskan serangan bertali arus  Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“PM sendiri telah mengumumkan yang beliau tidak mahu mencampuri  urusan mahkamah, itu jelas dan saya sangat kagum dengan prinsip  pendiriannya. Maka, tindakan yang dipilih oleh PM bahawa biarlah  Parlimen menyelesaikan masalah politik ini melalui undi percaya pada  Sept depan adalah pilihan sangat tepat.
“Penyelesaian oleh Tan Sri Muhyiddin ini adalah sebagai seorang  ‘gentleman’ yang tidak mahu mengheret pihak lain terutama rakyat dalam  kemelut ini,” katanya kepada FMT.                                                                                                                                         

Jaziri Alkaf A Suffian.Ketika ditanya berkenaan sokongan Umno diperlukan pada  pilihan raya umum akan datang, Jaziri berkata, kematangan politik dan  politik khidmat demi rakyat perlu menjadi asas ketika ini dan pada masa  depan, bukan lagi hanya laungan retorik semata-mata.
“Saya sangat percaya pada ‘politics of service’ (politik khidmat) yang mana khidmat kita adalah untuk rakyat.
“Namun, saya berpandangan untuk PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) kita  perlu menang bersama. Ini kerana proses pemulihan semua sektor sama ada  ekonomi, sosial dan pendidikan perlu dilakukan secara bersama,” katanya.
Beliau turut menghargai dokongan Timbalan Perdana Menteri Ismail  Sabri dan Ahli Parlimen Umno yang tetap teguh bersama perdana menteri  walaupun mereka mungkin berhadapan tekanan daripada parti sendiri.
                                                                                                                                                                                                                       Katanya, peletakan jawatan Shamsul Anuar Nasarah sebagai  menteri tenaga dan sumber asli, disusuli Noraini Ahmad sebagai menteri  pengajian tinggi, disifatkan sebagai pilihan peribadi.
“Banyak agensi kerajaan, penjawat awam, pensyarah mahupun  pelajar terjejas akibat tindakan ini. Mereka melihat kepada kepimpinan  menteri membantu selesaikan atau meminimumkan kemelut dalam kementerian  akibat Covid-19 ini.
“Maka, jika menteri meninggalkan kementerian ia adalah satu  tindakan tidak bertanggungjawab yang akhirnya mampu menjejaskan Pelan  Pemulihan Negara (PPN) yang sudah dirancang,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/jangan-pandang-rendah-muhyiddin-ada.html