Jangan Main Letak Harga Semua Tanah Di Kampung Baru Rm850
“Kenapa tanah Kampung Baru murah? Adakah sebab adanya status Melayu, jualannya murah? Yang uniknya, ada pihak yang beranggapan semua tanah di Kampung Baru ni, 850. Kita kena yakin Kampung Baru dapat dibangunkan dalam strata ke atas. Kalau kami generasi 850 puas hati dengan tawaran ini, kurang cerdiklah kami.”
Begitu hasrat yang terpendam dalam hati diucapkan dalam nada lembut tetapi tegas oleh Aktivis Belia Kampung Baru, Mohamad Shahril Saleh, merangkap Ketua Penerangan Gerakan 4B Kawasan Titiwangsa berhubung topik “Legasi anak Kampung Baru dipertahankan atau dilepaskan” yang dikupas dalam segmen bual pagi, Mornink Blues.
Sesi perbualan bersama Mohamad Shahril yang menjadi tetamu jemputan Mornink Blues yang dihoskan bersama Hasnurul Mohamed dan KhairulAnuar Yahya disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online pagi tadi.
Mohamad Shahril turut memberi pencerahan, kerajaan hari ini sepatutnya menyebut satu harga yang rasional berdasarkan landskap persekitaran Kampung Baru.
Sebagai contoh, kata Mohamad Shahril, harga tanah sekitar KLCC ialah antara RM2,000 sehingga RM3,000 sekaki persegi manakala harga yang dibuka di pasaran kawasan segitiga emas, RM1,500 ke atas.
“Jadi, kenapa tanah Kampung Baru ditawarkan murah? Pada hukumnya, biarlah harga ditetapkan oleh pasaran terbuka tetapi bagi kami, tradisi warisan tanah Kampung Baru harus dipertahankan,” ujarnya.
Menurut Mohamd Shahril lagi, Kampung Baru bersifat kendiri dan salah bagi pihak-pihak yang memberi hukum ideologi yang sama iaitu harga blanket 850.
Mornink Blues
“Kalau kami generasi ketiga ini menerima bulat-bulat RM850 yang dikatakan sebagai tawaran terbaik, saya yakin ia tidak berapa cantik.
“Tanah Kampung Baru ini tanah selantai, jadi dibangunkan dalam strata ke atas. Bangunkanlah. Silakan. Kami generasi muda pewaris tanah di sini tidak menolak pembangunan.
“Apa yang kami mahu ialah satu model yang boleh meyakinkan kami bahawa pegangan hak milik kami tidak berubah atau jatuh ke tangan orang lain. Kalau dibuat pembangunan strata ke atas, ambillah 60 peratus, bagi kami 40 peratus untuk kami warisi pula kepada generasi selepas kami kerana bagi kami, tradisi perlu dikekalkan dan dipertahankan,” katanya.
Mohamad Shahril yang mewakili generasi muda Kampung Baru berkata, mereka sangat bersetuju dengan pembangunan dan perlu ada perbincangan yang adil berhubung model pembangunan yang bagaimanakah yang mahu dibentuk di Kampung Baru kerana fikiran anak muda ini bukan bernoktah hari ini tetapi mencakupi masa akan datang.
“Tanah-tanah di Kampung Baru berusia 100 tahun dan kami generasi hari ini perlu fikir demi generasi 100 tahun akan datang. Maka itulah kami tidak mahu hak milik bertukar tangan.
“Kalau kami nak jual tanah yang kami warisi ini, tidak perlu ada Perbadanan Kampung Baru kerana kami boleh jual sendiri. Tetapi apabila adanya Perbadanan Kampung Baru yang ditubuhkan, perlulah adil dan bincang model pembangunan.
“Mengapa tanah warisan Kampung Baru yang mahu diambil atas nama pembangunan? Dalam jarak 100 meter, ada Pasar Chow Kit. Bangunkan kawasan itu, biar kami tengok model pembangunnya,” kata Mohamad Shahril.
Tegas Mohamad Shahril lagi, demi kelangsungan orang Melayu yang bersolidariti, perlu diakui bahawa Kampung Baru adalah model terawal bagi pemusatan Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang, pusat penjajaan pasar minggu dan pementasan kebudayaan di pasar minggu.
“Senang kata, Kampung Baru adalah model silang budaya, sosio budaya yang wujud sejak 100 tahun lalu dan penduduk terdahulu daripada kami hidup dalam suasana aman dan harmoni. Jadi, kekalkan warisan tanah milik kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/09/30/jangan-main-letak-harga-semua-tanah-di-kampung-baru-rm850/