Jangan Jadi Lembu Kenyang Batal Icerd Di Parlimen
Manzaidi Mohd Amin       

 Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu segera  memuktamadkan secara rasmi keputusan menolak ratifikasi Konvensyen  Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) mengikut  kehendak perundangan.
 Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka  Dr Ibrahim Ali berkata, keputusan itu perlu dikemukakan usulnya di  Parlimen yang sedang bersidang ketika ini supaya ICERD ditolak oleh  kerajaan secara rasmi dan direkodkan dalam hansard.
 Katanya, tindakan membawa usul di Parlimen akan menghilangkan  keraguan sepenuhnya oleh majoriti rakyat kerana masih ada pihak yang  membuat pelbagai spekulasi serta andaian bahawa keputusan kerajaan  menolak ICERD adalah strategi sementara untuk mengelak perhimpunan  rakyat pada 8 Disember ini.
 “Ada yang berpendapat tipu helah ini adalah suatu yang benar berdasarkan banyak pengalaman berlaku sebelum ini.
 “Antaranya bagaimana kerajaan berdolak-dalik terhadap janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam Manifesto PH.
 “Dakwaan rakyat bahawa kerajaan buat umpama ‘lembu bodoh atau lembu  kenyang’ sahaja. Sebab itu rakyat tidak yakin selagi sesuatu keputusan  jika tidak dibuat mengikut peraturan undang-undang atau prosedur operasi  standard (SOP) yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media  di sini, hari ini.
 Dr Ibrahim berkata, jika usul itu dibawa pada sesi Parlimen esok, Pas  dan UMNO yang menganjur perhimpunan 8 Disember ini perlu membatalkan  rancangan itu walaupun atas nama perhimpunan kesyukuran.
 Katanya, jika perhimpunan itu diteruskan bermakna Pas dan UMNO sengaja mengeksplotasi keuntungan politik.
 “Cukuplah menyusahkan rakyat dan bermain dengan sentimen emosi untuk  mencari laba politik atas penderitaan rakyat. Lebih baik fokus kepada  isu kos sara hidup rakyat yang semakin terhimpit dan menuntut janji dari  PH sebelum PRU 14.
 “Kegagalan menunai janji bukan sahaja berdusta dengan rakyat, tetapi  berdosa besar dengan Allah.
Dosanya azab api neraka,” ujarnya.
 Menurut Dr Ibrahim, isu dan masalah harian rakyat lebih penting  termasuk terus bertindak mendesak agar semua pemimpin sama ada dari  Barisan Nasional (BN) dan PH didakwa atas isu rasuah, penyalahgunaan  kuasa, bukan dibuat secara terpilih di satu pihak.
 Beliau berkata, ini baru dikatakan benar-benar jujur telus dan pasti mendapat keredaan Allah.
 “Secara umum marilah kita menolak mana-mana yang dianggap pemimpin,  tetapi hipokrit dan munafik tanpa mengira fahaman politik. Mustahil  rakyat masih tidak kenal yang mana hipokrit dan munafik.
 “Kalau katak macam saya orang kenal, mustahil rakyat tidak dapat  mengenali yang hipokrit dan munafik serta kebanjiran katak-katak begitu  banyak akibat cuaca buruk,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/jangan-jadi-lembu-kenyang-batal-icerd.html