Jangan Hilang Mata Lagi Kim Swee
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kekalahan 0-1 dalam aksi pertama Piala AFF Bawah 22 tahun (B-22) di tangan Kemboja menyaksikan pasukan negara B-22 menempuh laluan berliku untuk layak ke separuh akhir.
Meskipun dari awal lagi, pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee telah menjelaskan bahawa dia tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan itu, namun, tidak bermakna anak buahnya sekadar menjadi pelengkap tanpa memberi tentangan sengit.
Untuk aksi kedua menentang Indonesia, esok, pengendali berusia 49 tahun itu, akan melakukan rombakan terutama bahagian tengah yang kehilangan Danial Hakim Draman kerana dilayangkan kad merah dan R.Kogileswaran pula mengalami kecederaan.
Menurutnya, walaupun aksi menentang seteru utama di Asia Tenggara itu sering kali panas dengan pelbagai insiden sebelum ini, namun, beliau tidak memikirkan perkara tersebut, malah, sebaliknya hanya memberi tumpuan penuh dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Tentu akan ada rombakan kerana kita ada masalah bahagian tengah dan kali ini, Danial Hakim dan Kogi sudah tentu terkeluar daripada perlawanan kedua. Namun, masih lagi ada pemain yang mampu mengisi slot yang ditinggalkan.
“Saya percaya mereka mampu menjalankan tugas dengan baik dan kita tahu perlawanan kedua, harus mendapatkan mata tidak kira satu ataupun tiga untuk membuka peluang ke peringkat seterusnya.
“Seperti perlawanan biasa (tiada isu panas), bagi pasukan Malaysia kita hanya memikirkan ia satu perlawanan yang penting dan bukan fikir isu-isu yang lain. Indonesia bermain begitu baik ketika menentang Myanmar,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan menentang Kemboja di Stadium Nasional Phnom Penh, semalam.
Dalam aksi di depan 20,000 penyokong Kemboja itu, jaringan tunggal Sath Rosib pada minit ke-62 menerusi sepakan percuma sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat tuan rumah yang dijadualkan menentang Myanmar.
Mengulas perlawanan pertama, Kim Swee tetap memuji aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya yang disifatkan ‘lambat panas’ dan turut mengakui kad merah yang dilayangkan kepada Danial merentap corak permainan pasukannya.
“Kita tidak beraksi dengan baik. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Kemboja, mereka bermain baik dan menyukarkan kita. Pada perlawanan kedua kita harus bangkit bertenaga dan saya percaya pemain boleh melaksanakan tugas mereka,” tambahnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2019/02/jangan-hilang-mata-lagi-kim-swee/