Jadual Cadangan Waktu Perjalanan Plus Sempena Deepavali
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik akan melonjak sepanjang cuti perayaan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan bermula Jumaat, 21 Oktober hingga Rabu, 26 Oktober ini.
Oleh itu syarikat ini menasihatkan pelanggan lebuhraya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.
Manakala, pelanggan lebuhraya dari negeri-negeri tersebut yang bergerak pulang ke Lembah Klang bermula 24 Oktober hingga 26 Oktober pula disarankan supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.
Untuk perjalanan yang lebih selesa, PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan turut mengaktifkan Ujian Awam SmartLane di laluan Bukit Tambun-Plaza Tol Juru dan Sungai Petani Selatan-Hentian Sebelah Tikam Batu untuk mengurangkan kesesakan selain mengeluarkan arahan supaya tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik.
Jadual TTA Deepavali PLUS 2022
“Kami menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuhraya kami setiap hari semasa cuti perayaan Deepavali bermula 21 Oktober ini berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa.
Oleh yang demikian, PLUS mengeluarkan jadual TTA untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka di samping membantu kami mengagihkan trafik yang bergerak di pelbagai destinasi. Jadual TTA ini boleh juga boleh dirujuk di laman web www.plus.com.my serta saluran-saluran media sosial PLUS,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Apakah TTA (Travel Time Advisory)?
TTA (Travel Time Advisory) oleh PLUS ini bertujuan mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuhraya, terutamanya di lokasi kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan, seperti Deepavali.
Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.
Dengan mematuhi TTA, ia boleh memberikan kesan yang lebih baik kepada pengalaman perjalanan pelanggan lebuhraya.
Selain daripada itu, PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan di lebuhraya kendaliannya di antara 21 hingga 25 Oktober ini bagi memastikan tiada gangguan terhadap perjalanan orang ramai. Namun begitu, lorong mungkin terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal dilaksanakan secepat mungkin.
“Pada musim cuti perayaan ini juga, seramai 512 anggota PLUSRonda akan berada di lebuhraya untuk membuat rondaan dan membantu orang ramai. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 8% berbanding hari-hari biasa,” tambah Datuk Zakaria.
PLUS juga sedar keperluan untuk memastikan semua lorong dapat digunakan untuk melancarkan pergerakan trafik terutamanya di laluan-laluan yang kritikal.
“Oleh yang demikian, PLUS, LLM dan PDRM akan sekali lagi mengaktifkan Ujian Awam SmartLane (melibatkan pembukaan dan penggunaan lorong kecemasan kepada kenderaan) di laluan di antara Bukit Tambun (KM150.6) menghala ke Plaza Tol Juru (KM146.2) bermula jam 3 petang hingga 6 petang pada 21 Oktober untuk melancarkan pergerakan trafik ke Utara. Bagi perjalanan ke Selatan pada 26 Oktober, Ujian Awam SmartLane akan diaktifkan di antara Persimpangan Sungai Petani Selatan (KM107.6) hingga Hentian Sebelah Tikam Batu (KM113) bermula jam 2 petang hingga 6 petang.
Hasil daripada Ujian Awam SmartLane ini akan dibentangkan kepada pihak berkuasa untuk diadaptasikan di lokasi lain pada masa yang akan datang,” jelas Datuk Zakaria.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmarTAG atau RFID sebelum memasuki lebuh raya bagi mengelakkan sebarang kesulitan serta memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh.
Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pelanggan lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Sebagai alternatif, pelanggan boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Pelanggan juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map.
Selamat menyambut Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang meraikannya dan selamat memandu dengan cermat di musim perayaan ini!
Sumber: https://www.plus.com.my/
Baca juga:
Kalendar 2023: Cuti Umum & Cuti Sekolah MalaysiaJadual Tarikh Gaji Penjawat Awam 2022 Seluruh Malaysia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/tta-plus-cadangan-waktu-perjalanan-plus-deepavali/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=tta-plus-cadangan-waktu-perjalanan-plus-deepavali