Isu Kampung Sungai Baru Kerajaan Pn Tidak Berfungsi Secara Bersamakah
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menempelak tindakan
pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan tangan
dalam isu pengembalian tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.
“Mereka (dalam) kerajaan yang sama, sepatutnya perkara ini dibincangkan
dalam kabinet, lainlah nak beritahu bahawa kerajaan ketika itu semua jalan ikut
suka.
“Muhyiddin pun tak boleh lepas tangan nak kata dia tak terlibat,
sedangkan dia perdana menteri ketika itu apabila Annuar Musa (menteri Wilayah Persekutuan
ketika itu) gunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Saya nak nyatakan semua ahli-ahli parlimen PN, sama ada PAS atau
Bersatu tidak boleh lepas tangan kerana mereka berada di parlimen apabila saya
membantah tindakan Annuar di Dewan Rakyat dan sehingga ke tahap kena berhujah
dengan Shahidan dalam kamar khas berhubung isu Kampung Sungai Baru.
“Ahli parlimen (PN) yang berpuluh-puluh (orang) itu mendiamkan diri,”
katanya yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan dalam wawancara bersama
semalam di Shah Alam.
Muhyiddin telah menafikan penglibatan dalam isu Kampung Sungai Baru.
Ia susulan kenyataan timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
yang menyatakan pentadbiran PN wajar menjelaskan perkara ini.
Penduduk kampung tersebut telah mendakwa bahawa Menteri cabinet PN
memihak kepada pemaju dan bukannya pemilik tanah semasa rundingan pampasan.
Menelusuri isu ini Khalid berkata isu ini seolah-olah mati sewaktu
beliau menjadi Menteri Wilayah.
“Tetapi pada zaman saya menjadi menteri pada 2018, isu ini bagaikan
diam, seolah-olah mati sehinggalah pemilik-pemilik tanah Kampungg Sungai Baru
tertanya-tanya, jadi ke tidak projek ini? Saya pun langsung tidak tahu mengenai
apa yang ditawarkan oleh pemaju dan siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju.
“Tetapi selepas kerajaan PH 1.0 jatuh melalui proses ‘tebuk atap’
akhirnya Annuar menjadi menteri wilayah dan proses untuk melaksanakan
pembangunan di kampung sungai baru telah dirancakkan, sehingga ke tahap dia
(Annuar) menandatangani Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan pemaju
diberikan tanah itu walaupun ada lebih 100 pemilik kebanyakannya pemilik rumah
teres yang tidak bersetuju.
“Mereka tidak bersetuju kerana khuatir syarikat pemaju yang dikatakan
tidak mempunyai kekuatan kewangan dan ada kemungkinan projek itu akan
terbengkalai. Oleh kerana itu mereka tidak mahu, akhirnya mereka tidak akan
mendapat rumah yang dijanjikan dan mereka menuntut dibayar pampasan pada masa
ini, bukan nak dapat rumah gantian.
“Lebih kurang 100 pemilik menolak dan rumah-rumah mereka telah diambil
secara paksa dengan penggunaan akta pengambilan tanah,” jelasnya.
Pentadbiran Ismail
Sabri kekal dasar sama
Khalid menambah bahawa pentadbiran PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
menyaksikan pertukaran Menteri tetapi dasarnya kekal.
“Ketika itu penilaian yang diberi kepada mereka yang tidak bersetuju
dengan tawaran pemaju pada harga RM450 hingga RM500 kaki persegi, yang
dilakukan (penilaian) oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)
iaitu jabatan kerajaan.
“Ini amat mengelirukan, timbulkan persoalan kerana jabatan yang sama
pada masa saya menjadi menteri telah memberikan penilaian tanah di Kampung Baru
yang sah berstatus MAS (Malay Agricultural Settlement). Nilainya RM650 hingga
RM800 kaki persegi mengikut lapis kedudukan tanah.
“Tiba-tiba apabila dibuat penilaian untuk Kampung Sungai Baru,
penilaiannya jatuh merudum, sedangkan Kampung Sungai Baru pada ketika ia
dinilai dianggap bukan berstatus MAS.
“Isu status MAS atau tidak baru saja ditimbulkan tapi kalau ia bukan
tanah MAS pada ketika itu, sepatutnya jabatan yang sama memberikan penilaian
yang lebih tinggi sebaliknya memberikan penilaian yang lebih rendah. Perkara
ini saya telah nyatakan berkali-kali, benda yang sepatutnya diselidik,
disiasat, macam tidak dilakukan apa-apa,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/04/isu-kampung-sungai-baru-kerajaan-pn.html