Ingin Bercuti Dengan Smooth Di Korea Jom Baca Tips Berguna Sebelum Berseronok Di Sana
Korea Selatan merupakan salah satu negara yang sedang berkembang pesat. Banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi semasa bercuti di sana. Jadi tidak pelik kenapa ramai pelancong terutamanya dari Malaysia yang menjadikan Korea sebagai destinasi wajib dilawati kalau ingin bercuti ke luar negara.
ARTIKEL BERKAITAN
Rare Tapi Unik, 8 Lokasi Rahsia WAJIB Dikunjungi Di Seoul
Kali ini, KimchiDaily ada menyediakan tips penting untuk memudahkan korang apabila melancong ke Korea tanpa memerlukan tour guide.
Rancang tentatif perjalanan
Untuk yang pertama kali ke Korea, korang wajib buat tentatif perjalanan pergi dan balik. Ini akan memudahkan serta tidak akan memeningkan korang masa dah sampai di Korea. Korang kena rancang tempat-tempat yang bakal korang lawati. Buat perancangan secara terperinci, contohnya tarikh dan masa, tambang, serta pengangkutan untuk ke tempat lawatan.
Contoh:
Beli tiket (Penerbangan, Hotel, Tempat Lawatan)
Selepas dah selesai buat tentatif, barulah korang boleh beli tiket penerbangan. Sebelum beli tu pastikan korang bandingkan harga tiket dahulu. Kebiasaannya ramai yang akan beli di aplikasi AirAsia, tetapi kadang-kadang harga tiket di laman sesawang lain seperti ‘airpaz’ dan ‘traveloka’ lebih murah. Selain itu, semak harga tiket pada hari Selasa sebab pada hari itu syarikat penerbangan akan mengurangkan harga tiket. Senang cakap discount la.
Seterusnya, cari hotel atau tempat penginapan yang berdekatan dengan stesen subway. Kalau korang ada kawan yang pernah ke Korea, tanya pendapat mereka terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada korang kena scam. Nak lebih senang tengok ulasan di mana-mana laman sesawang berkaitan.
Akhir sekali, korang boleh beli tiket untuk tempat yang bakal korang lawati. Ada beberapa jenis aplikasi yang boleh dimuat turun untuk terus beli tiket tanpa perlu beratur di Korea nanti. Tiada masalah untuk korang beli di sana terus tetapi dengan cara ini, ia akan menjimatkan masa ketika korang berada di lokasi.
Muat turun aplikasi yang berguna
1. Klook (Tempat lawatan)
Aplikasi ini ada menyediakan servis untuk mendapatkan tiket tempat yang menarik di negara serba canggih itu. Sebagai contoh, kalau korang nak pergi muzium berbayar, boleh terus beli di aplikasi ini tanpa perlu bersusah payah beratur panjang di Korea nanti. Selain itu, ia juga ada menjual kad sim untuk korang pakai semasa berada di sana.
2. Subway Korea (Pengangkutan awam)
Aplikasi Subway Korea ini menawarkan servis panduan seperti peta laluan subway di negara itu. Korang boleh sahaja menaiki teksi tetapi kena pastikan teksi yang berwarna oren sebab teksi warna hitam harganya agak mahal sedikit. Untuk pengetahuan, sesetengah stesen subway di Korea tiada eskalator, jadi korang perlu sentiasa bersedia untuk mengangkat beg turun dan naik tangga yang agak curam.
3. Naver Maps (Peta)
Selain google maps, korang boleh pakai aplikasi Naver Maps. Dengan adanya aplikasi ini, korang boleh melancong dengan mudah dan tenang. Naver Maps menyediakan semua laluan perjalanan tidak kira untuk kenderaan seperti kereta mahupun untuk pejalan kaki di Korea. Ianya sangat berguna kepada pelancong yang memilih untuk berjalan kaki semasa bercuti. Jadi korang tidak perlu risau apabila sesat nanti.
4. Naver Papago
Aplikasi ini sangat berguna untuk berkomunikasi dengan warganegara Korea. Ia umpama orang tengah antara korang dan orang Korea kerana kebanyakan orang Korea tidak fasih berbahasa Inggeris. Aplikasi ini sangat senang untuk digunakan. Korang taip sahaja apa-apa ayat, kemudian ia akan terus menterjemahkan ayat tersebut. Korang boleh muat turun aplikasi ini di google store dan apple store secara percuma sahaja. Lepas ini senang la korang nak beli barang dekat Korea!
Makanan
Walaupun korang travel di negara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan menarik, tetapi korang perlu bawa makanan dari Malaysia seperti mi segera atau makanan segera seperti ‘Brahim’s’. Hal ini kerana, kebanyakan kedai makan yang halal di Korea akan ditutup sebelum tengah malam. Jadi untuk yang beragama Islam korang sangat digalakkan untuk membawa makanan kegemaran sendiri untuk makan sewaktu terdesak.
Bawa pakaian yang sesuai
Sebelum mengemas baju, korang kena mengenal pasti cuaca di sana terlebih dahulu. Bawa pakaian yang sesuai dengan cuaca di Korea selain membawa kasut yang selesa sebab korang akan banyak berjalan di sana.
Tukar duit
Walaupun kehidupan sekarang banyak menggunakan pembayaran atas talian, tetapi korang wajib sediakan sedikit wang tunai. Hal ini kerana, terdapat kedai-kedai kecil yang tidak menyediakan khidmat bayaran atas talian mahupun debit/kredit kad. Untuk dapatkan duit Korean Won, korang boleh tukar di mana-mana tempat pertukaran wang yang sah di Malaysia. Untuk masa sekarang, kadar mata wang Malaysia yang bernilai RM100 ditukarkan kepada duit Korea akan dapat sebanyak KRW29800.25.
Beli kad sim
Korang disyorkan beli kad sim untuk memudahkan aktiviti bersosial. Kad sim sangat berguna ketika melancong di negara orang berbanding jika menggunakan Wi-Fi . Bukan semua tempat yang dikunjungi ada capaian Wi-Fi yang kuat dan ada juga tempat tiada khidmat Wi-Fi percuma. Jadi sebaiknya korang beli kad sim yang boleh diakses ketika berada di Korea. Pembelian kad sim boleh didapati di lapangan terbang ataupun melalui aplikasi Klook yang ada menyediakan khidmat jualan kad sim serendah RM59.89 sahaja.
T-money subway
Untuk memudahkan perjalanan korang masa dekat Korea, belilah t-money untuk subway. T-money subway ini lebih kurang macam ‘Touch ‘n Go’ di Malaysia tetapi dikhaskan untuk pengangkutan awam sahaja. Ianya boleh didapati di mesin tiket yang berada di stesen subway sekitar bandar Seoul. Selain itu, ia juga dijual di kedai serbaneka seperti 7-Eleven atau CU Mart yang berharga RM16.65 sahaja. Dah beli kad, jangan lupa untuk tambah nilai kad tersebut.
Tips tambahan, korang jangan lupa untuk beli plag universal sebab plag di Korea lain dengan yang ada di Malaysia. Jadi untuk memudahkan korang cas segala peralatan elektronik, sangat berguna kalau korang beli plag ini.
Selamat bercuti semua!
Korang banyak topik ‘hot’ lain tentang dunia hiburan Korea yang nak dibincangkan? Kongsi lah ‘teh’ dengan kami di forum KimchiDaily
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/ingin-bercuti-dengan-smooth-di-korea-jom-baca-tips-berguna-sebelum-berseronok-di-sana/