Indahnya Saat Bongor Berbunga
KELESTARIAN
Bongor Putih dan Bongor Pink.KETERBATASAN kita untuk bergerak lantaran pandemik memberi peluang untuk kita menjadi lebih dekat dan mesra dengan alam. Takdir ini menjadikan kita juga lebih mengenali alam dan tersedar dari sebuah kelupaan.
Pandemik memberi banyak hikmah kalau kita menghayati dengan seluruh pancaindera. Ia menjadi kita terpaling kepada sesuatu yang mungkin sebelum ini kita terlupa atau buat-buat tidak perasaan dengannya, walhal ianya sangat hampir bahkan sebahagian daripada kita, yang menyumbangkan beberapa keistimewaan pula dalam melengkapkan hidup ini yang unik. Salah satu elemen yang dekat dengan kita dalam ruang "terpagar" ini, ialah pelbagai pokok buah-buahan dan bunga-bungaan yang berada di sekeliling kita yang semenangnya ditanam atau disediakan untuk kita semua. Selama ini kita tidak pedulikan kewujudannya.
Sederet Bongor di jalan masuk
ke kediaman saya.Justeru di kala pandemik ini ramai dari kalangan kita diam-diam menjadi pencinta alam secara senyap, tahu merawat alam sekitar serta menambahkan keindahan persekitaran dengan daya kreativiti masing-masing. Kita juga jadi rajin dan tahu untuk berbudi dengan alam dan menjaga kelestariannya.
Aksesori.
Sebenarnya sebahagian besar pohon buah-buahan dan bunga-bungaan ini ditanam oleh pihak berkuasa tempatan di taman-taman kediaman kita atau di sepanjang denai jalan oleh pihak pengurusan baik Bandaraya atau PBT sebagai pelengkap kepada kehidupan ini.
Ia adalah sebagai aksesori kehidupan kita. Pokok bunga dengan pelbagai jenis dan bervariasi itu mencantikkan keadaan serta menjadi terapi diri. Bau-bauan dan warnanya menyaman dan mententeramkan jiwa. Tetapi tidak banyak yang menyedari dan mengambil manfaat daripadanya.
Kewujudan pokok-pokok ini khasnya pokok bunga telah menjadi fenomena menyedarkan kita tentang kewujudan dan kelestariannya, salah satu khasnya kewujudan pokok Bongor yang mengeluarkan bunga yang cantik berseri dengan pelbagai warna menyentuh sukma.
Kecantikan dan keindahannya saat ia mengeluarkan bunga sampai disebut-sebut orang keadaanya sama dengan "hanami" musim Sakura di Jepun atau Korea.
Malahan bagi mereka yang merindui untuk bernaung dibawa "hanami" Sakura di Jepun tetapi tidak berkesempatan menjadikan kehadiran Bongor sebagai penggantinya, mengambil kesempatan untuk bersuafoto dengan bunga ini saat ia marak.
Saat Bongor pink berguguran
membentuk latar persis permaidaniPokok Bongor yang dipanggil Tekoma, tiba-tiba menjadi penyeri mata dan pendamai jiwa di kala pandemik ini. Seminggu dua lalu kita menyaksikan banyak gambar tentang Bongor dimasukan ke dalam media sosial. Semuanya menceritakan keteruja dan kekaguman masing-masing kepada bunga ini.
Memang, sewaktu pohon ini berbunga keseluruhan pohonnya diselubungi bunga, seolah-olah pohon ini langsung tidak ada berdaun dan ranting. Ia persis seperti bunga rekaan yang muncul dalam filem-filem klasik zaman dahulu atau bunga-bunga yang diabadikan di atas kanvas lukisan oleh pelukis tersohor.
Bongor atau nama saintifik Lagerstroemia Floribunda tergolong dalam Lythraeace atau disebut juga sebagai Tecoma stans, akan berbunga awal tahun sekitar Februari hingga April. Ia merupakan pohon berbanir yang boleh mencapai ketinggiannya hingga berpuluh meter dengan lilitan batang sepemuluk, bergantung kepada usianya. Batang dan dahannya liat. Pohon ini juga berusia lama
Bunganya berbagai warna, dengan tiga warna asas, biru, pink dan putih serta berbagai sais dan bentuk. Ada mengatakan ia berasal dari benua Amerika? Bagaimana pun tidak dapat dipastikan. Tetapi yang nyata kewujudannya di negara ini sudah lama diketahui. Ia sudah dikenali di ngeri-negeri khasnya di Pantai Timur dan Utara. Banyak tempat atau kampung dinamakan sempena dengan nama pohon ini, Bongor.
Kalau di Kelantan ada Pandang Bongor di Kota Bharu dan ada Lubuk Bongor di Jeli
Kalau di kampung saya, Gual Nibong, Rantau Panjang pohon ini dikenali dengan Bongor yang tumbuh subur di tepi payah dan di tebing sungai atau tasik. Gemula Chek saya (Haji Othman Yaakob) menjadikan pohon ini sebagai turus pagar. Ada sebuah kampung dikenali dengan Bongor, dimana dahulunya di sini dipenuhi dengan pohon Bongor. Tidak terperasaan pula saya semasa kecil akan keindahan pohon ini.
Ia bolehlah dianggap sebagai pohon hutan yang liar, kenapa ia dibawa ke kota sebagai pohon perhiasan kerana keuntikan dan keindahan bunganya. Majlis Perbandaran Alor Setar, Kedah menjadikan Bongor sebagai bunga rasmi majlis tempatan berkenaan
Diawal tahun pokok Bongor ini akan mengeluarkan bunga yang lebat merimbun. Di mana-mana kawasan yang ditanam secara berbaris atau sistematik, dijaga dengan elok menjadikan pemandangannya sungguh indah dan menarik.
Bunganya bertahan selama kira-kira dua minggu. Bunganya berbentuk jambak dan loncong dengan ragi yang lembut. Ia tidak mengeluarkan aroma tertentu. Kuntum-kuntum bunga akan gugur setiap masa apabila sudah ranum berselerakan di bawah. Kalau pohon ini ditanam di kawasan lapang semasa bunga keguguran menjadikan kawasan itu dipenuhi dengan bunga seolah-olah sebidang permaidani menarik
Keterangan: Di sini saya post beberapa keping gambar pohon Bongor yang dirakam secara rawak yang terdapat di sekitar kediaman saya dan ditaman permainan di Wangsa Melawati. Kerana menarik dan indahnya pemandangan saat Bongor berbunga, bunga-bunga yang gugur dibiarkan tanpa disapu atau dibersihkan. Ramai penggemar dan peminat bunga Bongor datang untuk merakam detik-detik dan saat indah ini sebagai kenangan. [wm.kl. 8:43 am 08/04/2021]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2021/04/indahnya-saat-bongor-berbunga.html