Imam Tak Salah Dia Hanya Mahu Bersihkan Anak Saya Ibu Remaja Pertahan Tindakan Mandi Jenazah
Mengulas mengenai video anaknya tular di media sosial sejak Isnin lalu, ibu remaja itu yang dikenali sebagai Kak Jas berkata, tindakan menyebarkan rakaman berkenaan dipercayai dibuat individu dalam masjid yang tidak puas hati terhadap imam terbabit.PETALING JAYA: Selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah ‘dinasihat berundur’, ibu kepada remaja itu bagaimanapun tampil mempertahankan tindakan imam dikenali sebagai Ustaz Dahlan itu.
Ketika ditemui di kediamannya di Kuang, Selangor, beliau yang hanya mahu dikenali Kak Jas, berkata pihak berkuasa agama itu tidak seharusnya bertindak berkiblatkan kata-kata warganet dengan menjatuhkan hukum ‘memaksa’ imam berkenaan meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.
Tegasnya, JAIS seharusnya menjalankan siasatan terperinci, termasuk bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.
“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata warganet…ustaz kami tak buat salah. Malah saya bersyukur, beliau ‘membersihkan’ anak saya… beri semangat dan ‘roh’ baru kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.
“Ada orang kata imam berkenaan mendera anak saya… bukan, itu bukan satu penderaan tetapi kita cuba nak menginsafkan dia,” katanya kepada FMT.
Justeru, beliau menggesa JAIS mempertimbang semula keputusan menggugurkan imam berkenaan dengan melantiknya semula mengetuai qariah Masjid Islahiah, Kuang.
“Saya merayu dan sudah minta JAIS tarik balik arahan itu. Saya sedih dan menangis sebab anak saya, imam pula yang terpaksa tanggung akibatnya,” katanya.
Mengulas mengenai video anaknya tular di media sosial sejak Isnin lalu, beliau berkata, tindakan menyebarkan rakaman itu dipercayai dibuat individu dalam masjid berkenaan yang tidak puas hati terhadap imam berkenaan.
“Sebenarnya ada orang di dalam masjid itu sendiri mahu jatuhkan dia, iri hati dengan dia,” katanya enggan mengulas lebih lanjut.
Terdahulu, FMT melaporkan imam berkenaan sudah meletakkan jawatan selepas diminta berbuat demikian oleh pihak JAIS.
Perkara itu disahkan Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada FMT.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.
Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.
Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.
Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.
Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/01/imam-tak-salah-dia-hanya-mahu-bersihkan.html