Ibu Kandung Teman Lelaki Ditahan Dera Dua Kanak Kanak
    Oleh Nor Azizah Mokhtar  

 Dua kanak-kanak berusia dua tahun dan tiga tahun yang didakwa didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya. - Foto Ihsan Pembaca KUALA  LUMPUR: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana  dipercayai mendera dan mengabaikan penjagaan dua kanak-kanak perempuan   yang juga anak kandung wanita terbabit, hari ini.
Polis turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga penjaga kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan.
Difahamkan, dua kanak-kanak berusia dua tahun dan tiga tahun itu  ditemui dan diselamatkan oleh seorang lelaki tempatan yang juga seorang  aktivis kemasyarakatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed,  berkata lelaki terbabit menerima panggilan telefon daripada seorang  wanita tidak dikenali mengenai dua kanak-kanak terbabit, kira-kira jam 1  tengah hari tadi.
"Wanita itu memberitahu terdapat dua kanak-kanak perempuan sedang  bermain tanpa pengawasan di Jalan Samudera Utara 1, Taman Samudera, Batu  Cave, di sini.
"Lelaki itu kemudian pergi ke kawasan terbabit dan menjumpai dua  kanak-kanak perempuan dalam keadaan tidak terurus," katanya dalam  kenyataan, hari ini.
Katanya, lagi, pemeriksaan fizikal mendapati terdapat beberapa kesan  calar dan lebam di bahagian kedua-dua belah tangan, kaki, pipi dan dagu  dua kanak-kanak terbabit dan mereka kemudian dihantar ke Hospital  Selayang untuk pemeriksaan.
"Siasatan mendapati dua kanak-kanak berkenaan tinggal bersama ibu  kandung dan teman lelaki ibunya di sebuah rumah sewa di sebuah flat di  Taman Samudera.
"Susulan itu, tangkapan dibuat ke atas wanita itu serta teman  lelakinya, kedua-duanya berusia 22 tahun serta seorang lagi lelaki iaitu  penjaga mangsa berusia 35 tahun, kira-kira jam 9.30 malam tadi di  sekitar Taman Samudera," katanya.
Zainal Mohamed berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, semua suspek akan di bawa ke Mahkamah Selayang bagi  permohonan tahanan reman, esok dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen  31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan maksimum sepuluh tahun atau kedua-duanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/ibu-kandung-teman-lelaki-ditahan-dera.html