Ibadah Puasa Dan Keistimewaan Bulan Ramadan


Sistem Guru Online
Sistem Guru Online - "SGO Web Pendidikan No.1 di Malaysia Rujukan Guru, Murid dan Ibu Bapa"
 

Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan ini merupakan perkongsian kami pada kali ini tentang ilmu keagamaan atau lebih spesifiknya ialah agama Islam.
Perkataan puasa dalam bahasa arab iaitu (صوم) bermaksud meninggalkan. Dari segi bahasa, puasa ialah suatu perbuatan yang menahan diri daripada melakukan sesuatu. Manakala dari segi istilah, ia merujuk kepada perlakuan yang dilakukan untuk menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sidik sehingga terbenam matahari (hendaklah dimulakan dengan niat terlebih dahulu).
Bukan itu sahaja, umat Islam yang berpuasa juga hendaklah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan tidak berfaedah seperti menipu, mengeluarkan kata-kata kesat atau sia-sia, bertengkar dan sering bergaduh. Hal ini demikian kerana, ibadah berpuasa merupakan suatu latihan untuk memupuk tahap kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur dalam diri. Sekiranya perkara-perkara ini dapat dicapai, amalan ibadah berpuasa akan dapat membantu menyuburkan sikap murni dalam diri umat Islam.
Berdasarkan terjemahan secara harfiah, perkataan Ramadan (رمضان) bermaksud panas terik. Manakala dalam agama Islam, Ramadan ini dirujuk sebagai bulan ke-9 dalam kalendar Islam dan dianggap suci bagi semua umat Islam. Hal ini demikian kerana pada bulan Ramadan, umat Islam akan berpeluang untuk menambah pelbagai ibadah dan memperbanyakkan amalan kepada Allah S.W.T seperti melakukan ibadah Solat Tarawih dan membayar Zakat Fitrah. Seperti bulan-bulan yang terdapat dalam kalendar Islam, bulan Ramadan mempunyai jumlah hari sebanyak 29 atau 30 hari.
Dalil Wajib Puasa di Bulan Ramadan Kitab Al-Quran Terdapat beberapa dalil yang mewajibkan orang Islam untuk berpuasa di bulan Ramadan. Antaranya ialah melalui:
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”
– (Surah Al-Baqarah: 183)
Rasulullah S.A.W juga telah menegaskan dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud: ” Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…….”
Berdasarkan dalil yang telah dinyatakan di atas, kita sebagai seorang umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan taat berpuasa di bulan Ramadan dan menuruti segala perintahNya agar sentiasa memperoleh keberkatan dalam hidup.
Rukun-Rukun Puasa
Ibadah puasa mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipatuhi oleh semua umat Islam. Hal ini demikian kerana, rukun puasa berfungsi untuk membantu umat Islam agar tidak tersasar daripada perkara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Berikut adalah 3 rukun puasa iaitu:
Orang yang Berpuasa Seseorang yang berpuasa itu mestilah seorang muslim, akil baligh, berakal waras, berkeupayaan dan bersih daripada haid dan nifas. Ibadah puasa adalah tidak sah bagi orang kafir kerana puasa merupakan suatu ibadah dan orang kafir tidak tergolong dalam ahli ibadah. Puasa tidak wajib dikenakan ke atas kanak-kanak yang belum akil baligh tetapi mereka hendaklah dididik untuk berpuasa sejak dari kecil lagi. Puasa juga tidak diwajibkan kepada golongan yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Perkara ini diberikan keringanan oleh agama Islam adalah bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan kepada umatnya yang sedang sakit. Namun begitu, mereka diwajibkan untuk menggantikan dengan secupak makanan bagi setiap hari puasa yang telah mereka ditinggalkan. Bagi golongan wanita yang datang haid atau nifas maka hukumnya adalah tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid dan nifas. Jika haid dan nifas itu berlaku pada siang hari, maka terbatal puasanya pada hari tersebut. Sekiranya bersih daripada haid pada malam hari, wajib ke atasnya untuk berpuasa pada keesokan harinya meskipun belum sempat melakukan mandi wajib. Golongan wanita ini hendaklah menggantikan puasa tersebut mengikut bilangan hari yang telah mereka tinggalkan selepas bulan Ramadan. Orang yang bermusafir diharuskan untuk berbuka puasa sekiranya khuatir akan memudaratkan kesihatan diri. Namun begitu, musafir tersebut wajib menggantikan puasa yang telah ditinggalkan selepas bulan Ramadan. Sekiranya tidak mendatangkan sebarang mudarat, maka adalah lebih afdal untuk musafir tersebut terus berpuasa. Hukumnya harus untuk berbuka puasa bagi golongan yang sedang sakit, mengandung dan menyusukan anak sekiranya mereka bimbang akan mendatangkan kemudaratan kepada diri atau anaknya. Bagi golongan ini, mereka wajib menggantikannya semula selepas bulan Ramadan. Untuk golongan yang mempunyai sakit biasa, mereka tidak boleh meninggalkan ibadah puasa. Niat Puasa ramadan tidak akan sah tanpa niat. Niat perlu dilakukan di dalam hati dan bukannya dengan lisan di mana tidak disyaratkan ‘Talaffuz‘ (menyebut niat dengan lisan). Ketika sedang berniat puasa, adalah diwajibkan untuk menentukan jenis puasa seperti Ramadan bagi ibadah berpuasa di bulan Ramadan. Bagi puasa-puasa yang wajib, niat hendaklah dibuat pada malam hari iaitu selepas terbenam matahari hingga sebelum subuh. Dalam pendapat sahih Mazhab Shafie, adalah tidak sah niat yang serentak dengan ketibaan waktu fajar. Namun bagi puasa sunat, dibolehkan berniat pada waktu siang selagi sebelum tergelincir matahari (masuk waktu zuhur). Niat untuk berpuasa hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk setiap hari puasa yang dilakukan. Pendapat ini adalah berdasarkan daripada pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan paling sahih dari Imam Ahmad. Mengikut pendapat Imam Malik dan riwayat dari Imam Ahmad pula, hanya cukup sekali sehaja niat untuk satu bulan Ramadan dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama ramadan. Meninggalkan Perkara-Perkara yang Boleh Membatalkan Puasa Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja sama ada benda yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan temasuklah rokok. Ijmak Ulama telah memfatwakan bahawa puasa akan terbatal apabila seseorang itu makan dan minum. Suntikan melalui kemaluan atau dubur juga adalah membatalkan puasa. Manakala bagi suntikan melalui kulit, ulama dalam Mazhab Syafie mempunyai percanggahan pendapat. Menurut pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ia tidak membatalkan puasa. Namun begitu, perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti habuk jalan dan air liur adalah tidak membatalkan puasa. Puasa akan terbatal apabila seseorang itu menelan kahak yang keluar dari kepala atau dada dengan sengaja. Batal puasa juga boleh terjadi apabila memasukkan jari atau sebagainya ke dalam dubur atau faraj. Ibadah ini turut terbatal apabila memasukkan sesuatu ke dalam telinga secara sengaja. Jika kesemua perkara tadi dilakukan secara tidak sengaja, tersilap atau terlupa maka ia tidak akan membatalkan puasa. Muntah dengan sengaja (kerana memasukkan jari ke dalam mulut) adalah membatalkan puasa dan wajib diganti. Bagi muntah yang tidak sengaja atau menjadi kebiasaannya muntah maka itu tidak akan membatalkan puasa. Keluar darah haid dan nifas walaupun di penghujung waktu puasa juga dikira sebagai membatalkan puasa dan wajib diganti. Keluar mani dengan sengaja kerana bercumbuan atau memeluk isteri atau menggunakan tangan turut membatalkan puasa dan wajib diganti puasanya. Namun begitu, jika air mani keluar kerana mimpi atau berangan-angan tidak membatalkan puasa. Keluar air mazi juga tidak membatalkan puasa seseorang. Haram berjimak (bersetubuh) bagi orang yang berpuasa pada siang hari dan hukumnya membatalkan puasa tidak kira sama ada perlakuan tersebut dilakukan di faraj atau dubur, keluar air mani ataupun tidak. Liwat yang dilakukan pada lelaki, kanak-kanak atau binatang juga adalah membatalkan puasa. Suami dan isteri yang melakukan perbuatan jimak adalah wajib ke atas kedua-duanya menggantikan semula puasa mereka yang terbatal. Kaffarah (denda) hanya wajib ke atas lelaki (suami) dan tidak wajib ke atas perempuan. Kadar kaffarah ialah membebaskan seseorang hamba. Bagi yang tidak mempunyai hamba, maka ia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya tidak mampu, lelaki tersebut hendaklah memberikan makanan kepada 60 orang fakir miskin. Ulama bersepakat bahawa sesiapa yang murtad maka terbatal puasanya dan wajib qada’ hari yang dia murtad, sekiranya dia kembali memeluk Islam. Seseorang yang gila atau pengsan sepanjang hari dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal puasanya. Sesiapa yang menukarkan niat atau berniat buruk untuk berbuka puasa maka batal puasanya. Pendapat ini dipegang oleh Imam Syafie, Abu Thaur, Abu Hanifah dan pendapat yang paling jelas dalam Mazhab Hanbali. Niat Puasa Ramadan
Hukum niat berpuasa dengan menggunakan bahasa Arab adalah tidak wajib dan tidak sunat. Apa-apa bahasa juga boleh digunakan asalkan boleh difahami. Sungguhpun begitu, adalah lebih baik jika kita mengamalkan niat berpuasa dalam bahasa Arab untuk menunjukkan rasa cinta kepada bahasa Nabi Muhammad S.A.W. dan kitab Al-Quran yang agung. Berikut merupakan lafaz niat untuk berpuasa (lafazkan setiap waktu malam) di bulan ramadan:
Niat secara ringkas نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى Niat: Sahaja aku berpuasa Ramadan kerana Allah Taala. atau;
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى Niat: Sahaja aku berpuasa esok kerana Allah Taala.
Lafaz Niat yang Lengkap نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى Tranliterasi: Nawaitu Sauma Ghadin An Ada-i Fardi Ramadana Hazihis Sanati Lillahi Taala
Niat: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.
Waktu Berniat Puasa
Sesungguhnya, umat Islam disarankan untuk berniat puasa bermula dari waktu matahari terbenam (waktu sembahyang fardhu maghrib) sehinggalah sebelum tibanya waktu terbit fajar sidik (waktu subuh). Oleh yang demikian, niat untuk berpuasa boleh dilakukan pada man-mana bahagian daripada waktu tersebut meskipun semasa berbuka puasa.
Namun begitu, ada pendapat yang menggalakkan umat Islam untuk berniat puasa dengan sekali niat sahaja pada malam pertama Ramadan. Hal ini diperbolehkan kerana bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa untuk berniat pada malamnya. Kebanyakan umat Islam di Malaysia mengikut pendapat Imam Malik yang membolehkan seseorang itu berniat untuk berpuasa di bulan Ramadan selama sebulan sekaligus.
Keistimewaan Bulan Ramadan
Bulan Ramadan sememangnya bulan yang penuh dengan keberkatan. Hal ini dapat dibuktikan melalui sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.”
– (Hadis Riwayat At-Thabrani)
dan
 “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban, dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah. Barangsiapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barangsiapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya, dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.”
– (Hadis Riwayat Khuzaimah)
Berdasarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W., dapat dilihat bahawa baginda amat gembira dengan kedatangan bulan Ramadan. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadi seperti baginda Rasulullah dengan menyambut dan mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini.
Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang ada pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antaranya ialah:
Syahrun Azhim (Bulan yang agung) Perkataan Azhim digunakan untuk menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kemuliaan sesuatu. Sesuatu yang diagungkan Rasulullah SAW tentulah memiliki nilai yang jauh lebih besar dan sangat mulia dengan sesuatu yang diagungkan oleh manusia biasa. Antara sebab bulan Ramadan perlu diagungkan ialah Allah S.W.T. juga mengagungkan bulan ini. Firman Allah S.W.T:
“Demikianlah (perintah Allah SWT). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.”
– (QS Al-Hajj: 32)
Allah S.W.T mengagungkan bulan Ramadan kerana bulan ini merupakan bulan yang mewajibkan seluruh hambanya untuk berpuasa. Puasa merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang telah menetapkan dan mensucikan bulan ini dan kemudiannya memberikan segala kemurahan, kasih sayang, dan kemudahan bagi hamba-hamba yang ingin mendekatkan diri kepadaNya.
2. Syahrul Mubarak (Bulan Keberkatan)
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan manfaat. Detik demi detik di bulan Suci ini bagaikan rangkaian berlian yang sangat berharga bagi orang beriman kerana semua perbuatan kita ketika berpuasa menjadi ibadah berpahala yang mendapat balasan langsung dari Allah S.W.T. Segala amalan termasuklah amal baik sekecil mana sekalipun akan dilipatgandakan asalkan berlapang dada dan sentiasa ikhlas.
Keberkatan bulan Ramadhan secara kasar dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah SWT, 10 malam berikutnya diisi dengan pengampunan (maghfirah), manakala 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia dari api neraka. Keberkatan yang Allah SWT berikan ini akan dicapai sekiranya kita menggunakan waktu yang terhad untuk mendekatkan diri kepadaNya sebagaimana saranan Rasulullah SAW dalam sabdanya iaitu:
“Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku.” Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan,iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.”
– (HR Bukhari dan Muslim)
3. Syahru Nuzulil Qur’an (Bulan Quran Diturunkan)
Allah SWT mengistimewakan Ramadhan sekaligus menyediakan sasaran terbesar, iaitu menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup untuk hambanya. Firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeda di antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”
– (QS Al-Baqarah: 185)
Ayat Al-Quran di atas menjelaskan bahawa tujuan utama amalan pada bulan Ramadhan ialah untuk membentuk insan bertakwa yang menjadikan Kitabullah sebagai manhajul hayat (pedoman hidup). Dapat dikatakan bahawa Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan Al-Quran. Rasulullah S.A.W menerima wahyu pertama pada bulan Ramadan dan di setiap bulan Ramadan, Malaikat Jibril AS akan datang sehingga dua kali untuk menguji hafalan dan pemahaman Rasulullah SAW terhadap Al-Quran.
4. Syahrus Siyam
Firman Allah SWT: 
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
– (QS Al-Baqarah: 183)
Sejak awal hingga akhir bulan Ramadhan kita menegakkan satu daripada lima rukun Islam yang sangat penting, iaitu puasa. Kewajiban berpuasa di bulan Ramadan adalah penting sebagaimana kewajiban solat 5 waktu dalam sehari. Maka sebulan penuh seseorang Muslim itu mestilah menumpukan diri untuk beribadah sebagaimana dia mendirikan solat Subuh atau Maghrib yang memakan waktu beberapa minit sahaja.
Puasa Ramadhan dilakukan tiap hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari (Maghrib). Perkataan Siyam bermaksud menahan diri dari makan, minum dan berjimak serta dari segala maksiat di siang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Oleh itu untuk mencapai kesempurnaan puasa, selain menahan diri dari makan, minum dan jimak, kita juga perlu menahan diri dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan perkara-perkara makruh.
5. Syahrul Qiyam
Bulan Ramadan menggalakkan seluruh umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang yang soleh seperti menunaikan solat dan membaca Al-Quran. Di bulan Ramadan, setiap mukmin sangat dianjurkan untuk melakukan solat tarawih dan witir sebagai satu latihan agar dapat mengamalkan qiyamullail nanti di luar waktu bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
– (HR Muttafaqun ‘Alaih)
6. Syahrus Sabr (Bulan Sabar)
Bulan Ramadan sebenarnya melatih jiwa umat Islam untuk sentiasa bersabar, tidak mengeluh dan tahan uji di dalam keadaan lapar dan dahaga. Sabar adalah kekuatan jiwa dari segala bentuk kelemahan mental dan spiritual. Orang yang sabar akan bersama Allah S.W.T. Balasan bagi orang-orang yang sabar adalah syurga.
Sabar sememangnya akan lahir apabila kita melakukan kerja besar berisiko yang memerlukan pengorbanan seperti dakwah dan jihad fi sabilillah. Bulan Ramadan mampu melatih umat Islam beramal dalam berjamaah untuk meninggikan kalimah Allah S.W.T. Sabda Rasulullah SAW:
“Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman.”
– (HR Tirmidzi, Abu Na’im, dan Abu Mas’ud)
7. Syahrul Musawwah (Bulan Santunan)
Ramadan menjadi bulan santunan apabila orang-orang beriman sedar sepenuhnya bahawa puasa mendidik mereka untuk memiliki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut. Oleh sebab itu, kaum Muslimin dianjurkan supaya sentiasa bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan. Sifat memberi tanpa mengharapkan balasan harus ditanam di dalam setiap diri umat Islam.
“Nabi SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”
– (HR Bukhari dan Muslim)
Segala amal berkaitan dengan harta seperti zakat fitrah, zakat harta, sedekah, infak, wakaf, dan lain-lain sebaiknya dilakukan pada bulan yang mulia ini. Meskipun nilai yang diberikan itu sedikit, namun ia mempunyai nilai yang besar di sisi Allah S.W.T. Sesiapa yang memberi makan atau minum kepada orang yang berpuasa walaupun hanya seteguk air, mendapat pahala puasa seperti yang diperolehi oleh orang yang berpuasa.
8. Syahrul Yuzdaadu fiihi Rizqul Mu’min (Bulan Rezeki Untuk Orang2 Mukmin)
Bulan Ramadan merupakan rezeki bagi orang-orang beriman kerana pada waktu ini akan bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah SWT seluas-luasnya. Para pedagang akan beruntung, orang yang menjadi pekerja mendapat kelebihan pendapatan dan sebagainya. Namun rezeki terbesar adalah hidayah Allah SWT kemudian hikmah dan ilmu yang begitu mudah diperoleh di bulan yang mulia ini.
Akhir kata, diharapkan perkongsian mengenai Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Semoga ibadah puasa pada tahun ini akan menjadikan kita sebagai hambanya yang lebih bertaqwa dan beramal soleh. InsyaAllah.
 
Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan
Firdaus Johari


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://www.sistemguruonline.my/2021/04/ibadah-puasa-dan-keistimewaan-bulan-ramadan.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Selamat Menyambut Bulan Ramadan Dan Menunaikan Ibadah Puasa 2021 Masihi 1442 Hijrah

Selamat Menyambut Bulan Ramadan Dan Menunaikan Ibadah Puasa 2021 Masihi 1442 Hijrah

papar berkaitan - pada 14/4/2021 - jumlah : 575 hits
Assalamualaikum Alhamdulillah hari ini semua umat Islam di Malaysia khususnya sudah pun mula berpuasa di Bulan Ramadan yang mulia Bersyukur sangat apabila diberi peluang sekali lagi untuk bertemu dan juga menunaikan ibadah puasa pada tahun ...
Selamat Menyambut Ibadah Puasa Ramadan 2021

Selamat Menyambut Ibadah Puasa Ramadan 2021

papar berkaitan - pada 15/4/2021 - jumlah : 513 hits
Hi Teman Blogger Readers Saya Ucapakan Selamat Menyambut Bulan Puasa Ramadan 2021 semoga kita semua Selamat melaksankan Ibadah Puasa dengan penuh ke Imanan dan Takwa Selamat menyambut Ibadah Puasa Ramadan 2021
Bukber Dan Tarawih Diizinkan Ini Panduan Kemenag Soal Ibadah Di Bulan Ramadan 2021

Bukber Dan Tarawih Diizinkan Ini Panduan Kemenag Soal Ibadah Di Bulan Ramadan 2021

papar berkaitan - pada 5/4/2021 - jumlah : 304 hits
Umat Islam kecuali bagi yang sakit atau atas alasan syar i lainnya wajib menjalankan ibadah puasa Ramadan sesuai hukum syariah dan tata cara ibadah yang ditentukan agama
S Lasih Padang Asian Cuisine Menyajikan 100 Juadah Berbuka Puasa Sepanjang Bulan Ramadan Ini

S Lasih Padang Asian Cuisine Menyajikan 100 Juadah Berbuka Puasa Sepanjang Bulan Ramadan Ini

papar berkaitan - pada 3/4/2021 - jumlah : 767 hits
S lasih Padang Asian Cuisine Menyajikan 100 Juadah Berbuka Puasa Sepanjang Bulan Ramadan Ini Assalammualaikum semua Lagi beberapa hari kita akan memasuki bulan Ramadan dan berpuasa selama 30 hari Rindunya suasana di bulan Ramadan kan Sahur ...
Hukum Orang Yang Puasa Dan Solat Hanya Pada Bulan Ramadan

Hukum Orang Yang Puasa Dan Solat Hanya Pada Bulan Ramadan

papar berkaitan - pada 14/4/2021 - jumlah : 343 hits
Soalan Jika seseorang bercita cita untuk solat dan puasa hanya pada bulan Ramadan sementara setelah Ramadan berlalu dia meninggalkan solat apakah dia mendapat pahala puasanya Jawapan Solat adalah salah satu rukun Islam dan merupakan rukun t...
Niat Puasa Ramadhan Rumi Dan Jawi Di Bulan Mulia

Niat Puasa Ramadhan Rumi Dan Jawi Di Bulan Mulia

papar berkaitan - pada 12/4/2021 - jumlah : 679 hits
Niat Puasa Ramadhan Rumi Dan Jawi Di Bulan Mulia Untuk mendapatkan manfaat bersama admin ingin kongsikan Niat Puasa Ramadhan untuk anda Ada segelintir dari kita yang tidak boleh membaca dalam jawi Untuk itu admin kongsikan Ramadhan rumi Sam...
Bulan Puasa Malah Gendutan Cegah Overeating Dengan Memilih Menu Sahur Yang Tepat

Bulan Puasa Malah Gendutan Cegah Overeating Dengan Memilih Menu Sahur Yang Tepat

papar berkaitan - pada 12/4/2021 - jumlah : 187 hits
Hindari overeating saat berbuka puasa dengan memilih menu sahur yang menyediakan cukup energi untuk berpuasa seharian
Lansia Diimbau Jaga Tubuh Bugar Untuk Menerima Vaksin Covid Di Bulan Puasa

Lansia Diimbau Jaga Tubuh Bugar Untuk Menerima Vaksin Covid Di Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 12/4/2021 - jumlah : 312 hits
Menurut James menjaga tubuh tetap sehat dapat dilakukan antara lain dengan makan makanan bergizi untuk menjaga nutrisi tetap terpenuhi mengonsumsi vitamin tidak memiliki stres berlebihan dan beristirahat cukup
Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Hazama Hattan Black Hitam Manis Chord

Top Stock Traders In The World And Key Lessons From Their Success

Resipi Kuetiau Basah Seafood Yang Sedap Untuk Sarapan Atau Makan Malam

Tips Rumah Kekal Wangi

Senarai Kursus Tvet Institusi Tvet Di Malaysia

Pizza Parang Melaka Makanan Viral Yang Wajib Anda Cuba