Ia Satu Amaran Bukan Sekadar Takdir Ngo Beritahu Mb Kedah
Pekerja membersihkan Masjid Badlishah Pekan Yan yang dilanda banjir kilat, semalam. (Gambar Facebook Farhan Yusof)GEORGE TOWN: Satu kumpulan alam sekitar berkata aktiviti pembersihan tanah yang berterusan di beberapa kawasan Gunung Jerai punca kejadian banjir kilat di Singkir, Yan, Kedah, semalam yang menjejaskan lebih 700 kediaman.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang turut berkongsi gambar satelit menunjukkan penebangan pokok di kawasan Gunung Jerai yang dilihat menyumbang kepada kejadian itu.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, kejadian itu disebabkan kepala air dan hujan lebat, seterusnya menafikan dakwaan SAM.
Katanya, gambar Google Maps dikongsikan SAM itu juga adalah lama sekali gus tidak tepat.
Beliau turut merujuk satu hantaran di Facebook oleh seorang penduduk Yan yang juga mangsa banjir, yang mengatakan lokasi didakwa oleh SAM dan CAP telah dibersihkan itu sebagai tidak tepat.
Dalam beberapa hantaran pengguna Facebook Yusof Farhan berkata, kawasan yang dibersihkan bukan untuk pembalakan seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya bagi agro pelancongan. Beliau turut berkata Yan bakal menjadi pengeluar besar-besaran durian Musang King.
SAM minta MB jelaskan fenomena kepala air
Gambar Google Earth menunjukkan kawasan yang dibersihkan di Singkir, Yan, dan satu lagi di Hutan Lipur Rekreasi Tupah di Merbok.Presiden SAM Meenakshi Raman bagaimanapun menegaskan gambar dikongsikan pihaknya yang menunjukkan kawasan dibersihkan adalah baru, termasuk satu pada Mac diambil di Tupah. Gambar paling “lama” dikongsikan telah diambil di Singkir pada 2019, katanya.
Menurutnya, alasan “fenomena kepala air” diberikan untuk menjelaskan banjir berkenaan tidak berasaskan sains dan menggesa Sanusi memberikan penjelasan oleh pakar.
Katanya, kerajaan negeri tidak patut membenarkan aktiviti diteruskan di kawasan sensitif terutama memandangkan perubahan iklim yang mengakibatkan pelbagai perubahan terhadap cuaca.
“Kita perlu menghormati alam, mengenal pasti hadnya dan mengambil tindakan sewajarnya sebagai langkah mitigasi dan pencegahan dengan segera.
“Mudah saja mengatakan ia fenomena kepala air, tetapi lumpur, kayu-kayan dan sebagainya dari hutan kini berselerak di sekitar Singkir, Merbok serta Gurun.
“Tolonglah beritahu kami apa faktor penyumbang bagi kepala air itu dan lakukan siasatan bebas terhadap kejadian berkenaan.
“Ia satu amaran dan menteri besar mesti bertindak, bukan sekadar melihatnya sebagai takdir,” katanya.
Meenakshi berkata, kerja pembersihan hutan dilakukan oleh syarikat yang telah diberi izin oleh kerajaan negeri walaupun perkara itu dilarang dalam Rancangan Tempatan Yan.
Katanya, 15 tahun lalu, SAM dan penduduk Bukit Singkir, Yan, telah membantah projek kuari di kawasan Gunung Jerai, namun ia tetap dibenarkan walaupun jelas melanggar rancangan tempatan daerah itu.
Gambar dari udara menunjukkan Singkir, Yan, dengan kawasan seluas 24 hektar di Gunung Jerai yang dibersihkan.Semakan terhadap lokasi dinyatakan SAM di Google Earth menunjukkan lokasi berhampiran Singkir dan Hutan Lipur Rekreasi Tupah telah dibersihkan.
Sekurang-kurangnya 24 hektar tanah pada ketinggian 160m dilihat tiada pokok, dengan sejarah pengimejan menunjukkan hutan di situ tidak dibersihkan sehingga 2019.
Di Tupah, lokasi seluas 35 hektar yang telah dibersihkan kelihatan lebih besar berbanding pada 2013, berdasarkan sejarah pengimejan di Google Earth.
Laporan bencana hari ini mengatakan kawasan yang dinyatakan oleh SAM dan Yusof adalah antara yang turut terkesan akibat banjir kilat semalam, selain Yan, Merbok dan Gurun.
Setakat ini tiga orang terkorban di Yan manakala empat masih dilaporkan hilang.
Sekurang-kurangnya 1,000 kediaman dinaiki air setinggi 0.2m hingga 1.5m, kata pihak berkuasa.
Operasi pembersihan besar-besaran sedang dilaksanakan kerajaan negeri Kedah di Yan dan Kuala Muda hari ini selepas air surut. Kerajaan negeri turut mengisytiharkannya kawasan bencana. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/08/ia-satu-amaran-bukan-sekadar-takdir-ngo.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+