Huraian Babak Kemuncak Filem Misteri Dilaila Spoiler Alert
Misteri Dilaila merupakan sebuah lagi karya Syafiq Yusof yang cuba untuk mencari sisi baru dalam dunia perfileman filem tempatan. Melalui Misteri Dilaila, Syafiq Yusof sebenarnya bukan sahaja menampilkan nafas baru filem seram thriller, tetapi cuna untuk mengejutkan penonton dari tidur dengan gimik promosinya.
Ketahuilah bahawa filem Misteri Dilaila mempunyai dua versi. Versi 1 dan Versi 2 mempunyai kekuatan yang berbeza.
Sebelum bacaan diteruskan, ambil maklum bahawa huraian ini mempunyai SPOILER MAJOR! Tidak digalakkan untuk teruskan bacaan jika korang masih belum tonton
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Versi 1 - ringkasnya, Jefry ialah orang jahat. Versi 2 - ringkasnya, Azman ialah orang jahat.
Admin hanya berkesempatan tonton versi 2! So, berikut ialah ulasan berkenaan Misteri Dilaila Versi 2
HURAIAN ENDING FILEM ‘MISTERI DILAILA’ VERSI 2
Di dalam versi 2, kita dapat tahu bahawa Sasqia Dahuri sebenarnya ialah perempuan yang bernama Farah. Farah sebenarnya berpakat dengan Imam (Nam Ron) dan juga adik kepada Dilaila yang sebenar untuk memerangkap Jefry dalam perancangan membolot harta Dilaila. Di akhir filem, kita dapati bahawa Imam akhirnya dibunuh oleh Farah manakala Jefry diikat di sebuah stor dengan sepucuk pistol.
Farah mahu Jefry dituduh membunuh dan perancangan mereka membolot harta Dilaila akan berjaya. Namun, Jefry berjaya melarikan diri daripada terperangkap. Apabila dia sampai ke rumah, dia dapati Inspektor Azman sedang bersama dengan beberapa orang dalam satu sesi urusan penyerahan harta. Dan kejutannya, Dilaila (Elizabeth Tan) yang selama ini hilang tiba-tiba ada di situ
Twist pun bermula. Di sini, dengan kehadiran seorang pegawai polis Bukit Fraser ke rumah Jefry, kita dapati bahawa Inspektor Azman bukanlah pegawai polis sebaliknya orang yang sama bersekongkol dengan Farah untuk membolot harta Dilaila. Azman membunuh Farid, adik Dilaila. Dan kini, Azman cuba membunuh kesemua orang
Farah mati! Kemudian, Azman pun berjaya dibunuh. Dan ketika akhir filem, Azman dikejutkan dengan hantu menyeramkan sebelum dia menembak. Dan tembakan itu rupanya terkena isterinya sendiri yang menyerupai hantu persebut. Namun, kita dikejutkan pula dengan kejutan bahawa Dilaila sudah lama mati dan yang ditembak tadi hanyalah hantu
SIAPA DILAILA
Dilaila ialah watak lakonan Elizabeth Tan. Dia menggemari pakaian berwarna merah, berketurunan Melayu- Cina dan merupakan isteri kepada Jefry. Daripada apa yang diucapkan oleh Jefry, rumah yang mereka inapi tersebut ialah hadiah daripada keluarga mentuanya kepada Jefry. Dilaila pula berketurunan orang kaya dan mempunyai banyak harta
Dalam filem ini, dapat diandaikan bahawa kekayaan Dilaila dan keluarganya membawa kepada komplot kumpulan gila yang mahukan harta. Perancangan Azman, Farah dan juga adik Dilaila sendiri berjaya membawa kepada penghujung yang gembira, namun akhirnya jatuh ke tanah. Dilaila akhirnya didedahkan sudah mati dan mayatnya baru dijumpai.
Sebab kematian tidak pula diketahui. Namun, secara teori, berkemungkinan pakatan Azman, Farah dan Farid ada di sebalik kematian Dilaila.
APA SEBENARNYA YANG BERLAKU DALAM FILEM ‘MISTERI DILAILA’ V2
Misteri Dilaila versi 2 memilih untuk memberikan ending filem yang lebih abstrak. Justeru, para penonton harus memikirkan balik setiap babak yang dipaparkan untuk menjawab beberapa misteri di dalam filem ini. Tidak ada jawapan yang betul betul konkrit sama ada melalui scene dan dialog. Korang perlu menyelesaikan misteri dengan otak korang. Otak bergerak, maka misteri selesai.
Berikut, ialah persoalan dan jawapannya:
Siapakah hantu yang menghantui Jefry?
Kita sering melihat hantu yang menghantui Jefry di dalam filem ini. Hantu ini sering datang dalam keadaan kelam dan lampu dipadamkan. Tiada penjelasan lanjut secara direct berkenaan hantu ini. Namun, petunjuk pertama boleh didapati pada awal filem dimana Dilaila menyebutkan tentang hantu yang mana menghuni rumah tersebut yang menyerupai Dilaila
Kelihatan seperti hantu tersebut bukan hanya sekadar mengganggu Jefry tetapi sebaliknya cuba untuk memberi petunjuk tentang kehilangan Dilaila. Hantu tersebut menjelma dalam raut wajah Dilaila dengan darah di kepala menggambarkan bahawa Dilaila sudah pun mati dan tidak diketemui mayatnya
Di dalam versi 2, hantu rumah yang mengganggu Jefry seakan-akan menjadikan keadaan Jefry bertambah buruk. Apatah lagi, hantu itu menjelma menjadi Dilaila sehinggakan Jefry tertembak Dilaila yang disangkakan masih hidup
Kenapa imam pengsan boleh hidup semula?
Ini pun menjadi antara perkara yang sedikit membingungkan. Kita melihat bahawa Farah meletakkan titisan racun di dalam air kopi. Tetapi, ketika Imam meminum air kopi, dia pengsan. Dan ketika Inspektor Azman datang, imam hilang dan tiba-tiba hidup semula. Bagaimanakah semua ini boleh berlaku
Sepanjang filem, tiada sebarang jawapan terhadap konspirasi ini. Namun, boleh ditafsirkan bahawa jika Imam minum minuman beracun dan pengsan, ada kebarangkalian Farah atau Farid mempunyai antidote untuk menyedarkan Imam semula. Satu lagi teori ialah cawan kopi yang diberikan oleh Jefry sebenarnya ditukarkan sebelum Farah berikan cawan itu kepada Jefry
Boleh jadi, Imam sudah tahu dan bersedia dengan perancangannya tersendiri apabila diminta tunggu oleh Jefry. Malah, kita sendiri sudah tahu bahawa kedatangan Imam ke rumah Jefry bukanlah atas sebab menghantar Dilaila, tetapi atas sebab yang tersembunyi.
Jika Dilaila mati, siapakah yang duduk di depan banker?
Ini juga yang menjadi perdebatan untuk penonton yang menonton versi 2. Jika Dilaila sudah mati, bagaimana Dilaila boleh berada di depan banker? Jawapannya mudah. Dilaila yang berada di depan banker itu hanyalah khayalan Jefry. Jika korang perhatikan, Dilaila sebenarnya tidak diberi perhatian langsung dalam babak pengakhiran filem ini.
Malah, Dilaila tidak mempunyai dialog dan karakter lain seolah-olah tidak berinteraksi langsung dengan Dilaila, sekaligus menguatkan teori bahawa Dilaila tidak berada di hadapan banker kecuali melalui imaginasi Jefry semata-mata. Malah, wajah Delaila yang pucat menguatkan teori bahawa Delaila bukanlah Delaila pada ketika perjumpaan itu.
Penamat Misteri Dilaila V2 ni macam pernah nampak kan?
Jika korang pernah menonton filem Karak (2011), sebenarnya korang akan rasakan yang ending filem ini seperti tribute kepada filem berkenaan. Tidak! Ianya sebenarnya ialah tribute dan satu olahan daripada kisah urban legend yang juga berlaku di Karak. Ceritanya adalah seperti berikut:
Sepasang suami isteri yang masih muda bersama bayi mereka sedang dalam perjalanan di Lebuhraya Karak. Ketika itu, waktu malam. Mereka memilih waktu malam untuk mengelak traffic jam dan panas matahari. Semasa si suami memandu dalam kesunyian lebuhraya Karak, tiba-tiba, kereta yang dipandunya menghadapi masalah dan enjin terus mati. Si suami terkejut kerana dia yakin dia ada periksa kereta tersebut sebelum memulakan perjalanan jauh untuk keselamatan keluarganya. Kemudian, mereka tiada pilihan lain kecuali berhenti di tepi jalan. Si suami keluar untuk periksa enjin kereta tersebut manakala si isteri bersama anak mereka menunggu di dalam kereta. Selepas beberapa minit, si suami kembali semula dan memberitahu yang dia tak jumpa apa-apa masalah dan cuba untuk menghidupkan kereta itu lagi. Tetapi, kereta tersebut masih tak nak hidup. Akhirnya, si suami terpaksa membuat keputusan yang sukar sama ada tunggu sahaja sampai kereta lain lalu atau cari pondok telefon berdekatan. Tidak ingin meninggalkan keluarganya, si suami mengambil keputusan untuk menunggu. Namun, setelah 20 minit, tiada satu kereta pun yang lalu di situ. Si suami tiada pilihan, dia nekad untuk cari pondok telefon berdekatan. Sebelum pergi, dia menasihati isterinya untuk mengunci pintu kereta lalu dengan berat hati pergi meninggalkan isteri dan anaknya. Si isteri hanya melihat suaminya berjalan pergi dengan kerisauan di minda. Dia berdoa agar seseorang akan ternampak kereta mereka yang rosak dan menawarkan bantuan lambat-laun nanti. Dia juga khuatir jika kemalangan terjadi di Lebuhraya Karak. Berjam-jam berlalu dan si isteri mula bertambah risau. Dia risau jika sesuatu terjadi kepada suaminya. Tiba-tiba, dia terlihat cahaya biru dan merah yang datang dari kereta peronda. Melalui cermin pandang belakang, dia nampak seorang anggota polis keluar dari kereta dan menuju ke kereta rosak tersebut. Mereka meminta si isteri untuk keluar dari kereta rosak tersebut secara senyap dan jangan pandang belakang. Si isteri keluar (bersama bayi) dan berjalan ke arah kereta polis dengan anggotanya. Bila dia sudah berada di jarak yang selamat, dia pun menoleh ke belakang dan terlihat kepala tanpa badan suaminya di atas kereta mereka. Sehingga hari ini, badan si suami masih belum ditemui. Dipercayai, sepanjang menunggu suaminya pulang ke kereta dari pondok telefon, terdapat beberapa bunyi dentuman datang dari atas bumbung kereta tersebut. Lihat bahagian yang di'bold'kan, bahagian itulah yang diadaptasi ke bahagian ending filem Misteri Dilaila.
Apa yang Jefry nampak sebelum filem tamat?
Kita diberikan ending seakan 'urban legend' Karak, namun, ianya ditamatkan dengan ending yang terbuka. Kita tidak dapat melihat apa yang Jefry nampak selepas dia diarahkan bergerak tanpa menoleh ke bawah. Ianya ialah teknik Syafiq untuk menimbulkan tanda tanya dan perbincangan di kalangan peminat filem.
Barang kali, pada pandangan peribadi, Jefry sememangnya nampak sesuatu yang begitu menakutkan dan mengerikan. Dan di masa ini, kita melihat bagaimana pentingnya watak hantu yang diceritakan oleh Dilaila pada awal filem. Hantu itu nampaknya bukan sekadar boleh menjelmakan diri menjadi Dilaila, tetapi boleh menjadi sesuatu yang lebih menakutkan. Bagaimana rupa menakutkan itu, ianya terserah kepada imaginasi korang.
KESIMPULAN
Misteri Dilaila versi 2 mempunyai ending yang agak abstrak. Penonton perlu perah otak sedikit untuk mencantumkan beberapa misteri di akhir filem ini. Tidak seperti versi pertama, versi kedua ini lebih kepada penamat yang memerlukan diskusi lanjut di kedai kopi selepas penontonan. Apapun, versi ini memang ada kekurangan, namun masih berjaya ditampung
Misteri Dilaila kini di pawagam! Rujuk tayangan versi berbeza Misteri Dilaila di link berikut: http://www.sukafilem.net/2019/02/senarai-pawagam-tayang-v1-dan-v2-filem.html
LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sukafilem.net/2019/02/huraian-babak-kemuncak-filem-misteri.html