Hukum Belajar Ilmu Agama Di Internet
Adakah apabila kita mendapat satu maklumat ilmu agama di dalam internet kita sudah boleh mengajar orang lain kerana saya lihat sekarang ramai yang bertindak seperti itu?
Hukum Belajar Ilmu Agama Di Internet
Credit Pic : SUMBER
Bagaimana hendak sesuaikan dengan hadis Nabi suruh sampaikan apa sahaja yang kita tahu kepada orang lain walau pun satu ayat?
Hukum Belajar Ilmu Agama Di Internet
JAWAPAN :
Perlu diketahui bahawa ilmu itu adalah dua bahagi yaitu imu yang benar dan ilmu yang batil.
Ada pun ilmu yang benar itu maka di mana sahaja ia didapati ia tetap benar manakala ilmu yang batil sekalipun berguru dengan talaqqi ia tetap batil apatah lagi jika hanya diambil dari internet.
Mengambil ilmu dari internet seperti yang banyak kedapatan pada media-media sosial tidaklah salah bahkan harus hukumnya dengan syarat hendaklah ilmu tersebut benar.
Contohnya kalau berkait dengan tauhid hendaklah pandangan yang diambilnya itu dari ulamak ahlu sunnah wal jamaah dan kalau berkait fiqah hendaklah dari pandangan fuqahak yang muktabar dan kalau berkait hukum membaca Quran hendaklah dari guru yang memang mahir dengan ilmu Quran.
Hadith yang tuan maksudkan itu ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aas r.a. katanya :
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال بلِّغوا عني ولو آية، وحدِّثوا عن بني إسرائيل ولا حرَج، ومَن كذب عليَّ متعمِّدًا فليتبوَّأْ مقعدَه من النارArtinya : “Sesungguhnya Nabi saw telah bersabda : Sampaikanlah kamu sekelian dari aku walau pun sepotong ayat dan ceritakanlah kisah dari Bani Israel tiada salahnya. Dan siapa yang sengaja berdusta atas aku maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka.” (Hadith Imam Bukhari)
Ramai orang terkeliru dengan maksud hadith suruh sampaikan ini yaitu disangkanya apa sahaja ilmu yang kita baca atau dengar boleh kita sampaikan kepada orang lain. Ini sebenarnya adalah satu kesalahan.
Maksud yang sebenarnya ialah barang siapa yang mendengar suatu ilmu yang mana ilmu itu benar dan yang mendengarnya itu faham maka hendaklah disampaikan pula kepada orang lain.
Maksud menyamapikan itu pula ada dua makna.
Pertama jika dia tidak faham maka hendaklah dia sampaikan kepada orang yang lebih tahu agar dia memahaminya.
Kedua jika dia telah faham maka dia boleh menyampaikan kepada orang yang belum tahu.
Dan menyampaikan dalam hadith itu maknanya ialah menyampaikan apa yang dia dengar sahaja bukan maknanya membuat andaian hukum atau memberi tafsiran dan seumpamanya seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakkan orang yang diluar dari batas kefahamannya.
Bila orang awam menjelaskan suatu hukum atau memberi tafsiran pasti akan menimbulkan fitnah dan mala petaka dan rosak sistem ilmu itu sendiri.
Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam kitabnya Fathul Baari Syarah Sahih Bukhari akan sebuah bab yang bab itu diberi nama :
باب مَنْ سَمِعَ شَيْئًا فَلَمْ يَفْهَمْهُ فَرَاجَعَ فِيهِ حَتَّى يَعْرِفَهُArtinya : Bab pada menyatakan siapa yang mendengar suatu ilmu dan dia tidak memahaminya maka hendaklah dia bertanya sehingga dia memahaminya.
Maksudnya jika hanya mendengar suatu ilmu belum lagi boleh disampaikan sembarangan tapi mestilah dia ulang-ulang mempelajarinya seperti bertanyakan para ulamak sehingga dia dapat memahaminya.
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut sebuah riwayat :
أَنَّ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ لَا تَسْمَعُ شَيْئًا لَا تَعْرِفُهُ إِلَّا رَاجَعَتْ فِيهِ حَتَّى تَعْرِفَهُ Artinya : “Sungguhnya Aisyah r.a. isteri Nabi saw adalah dia tidaklah mendengar sahaja apa yang disampaikan yang dia tidak memahaminya melainkan dia akan bertanyakan tentangnya sampailah dia memahaminya.”
KESIMPULAN
Ilmu yang ada pada bahan bacaan atau seumpamanya itu ada kalanya benar dan ada kalanya tidak benar. Dan ilmu yang benar itu adakalnya dapat difahami dan ada kalanya sebaliknya.
Tidak menjadi kesalahan mengambil ilmu yang benar itu dimana sahaja samada dengan berguru secara langsung atau membaca dari kitab atau dari media-media sosial.
Jika tidak memahami apa yang telah di dengar itu hendaklah cuba memahaminya terlebih dulu seperti bertanyakan guru dan orang yang mengetahuinya.
Setelah memahaminya maka bolehlah ia diamalkan dan sampaikanlah kepada orang yang belum mengetahuinya.
Jangan berfikir bahawa apabila seorang itu boleh membacanya atau mendengarnya berarti dia telah faham kerana jika beralasan bila boleh baca maka boleh faham nescaya tidak perlu lagi dibangunkan sekolah dan universiti sebab sudah memadai diberikan buku dan kitab kepada para pelajar dan semua akan menjadi pandai.
Buku berkenaan keduniaan pun perlukan guru apatah lagi kitab-kitab agama. Tidak akan memberi alasan seperti ini melainkan orang-orang yang dungu.
wallahua’lam
SUMBER - Ustaz Azhar Idrus
Baca Juga : Bolehkah Manusia Melihat Malaikat?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dakcaii.blogspot.com/2020/07/hukum-belajar-ilmu-agama-di-internet.html