Hina Negaraku Jadi Longgok Sampah As Walau 8 500 Batu Jauhnya
Ribuan tan sampah plastik Amerika Syarikat dilonggok di Malaysia
KETIKA kerajaan Malaysia berusaha mengurangkan penggunaan bahan plastik, sampaikan ada kempen "hari bebas beg plastik," dan bayaran RM0.20 untuk sehelai beg plastik di pusat-pusat membeli-belah, rupa-rupanya sampah plastik dari negara lain yang beribu batu jauhnya dilonggok di negara ini.
Malaysia dilaporkan menjadi destinasi utama bahan buangan plastik dari Amerika Syarikat, yang telah mengimport lebih 192,000 tan metrik bahan buangan itu bagi tempoh 10 bulan dalam tahun 2018 — 132 peratus peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Los Angeles Times, melaporkan sebuah gudang kosong yang ditampal dengan pelekat "for rent," (untuk disewa) di Klang, menjadi tempat longgokan bahan-bahan sisa buangan plastik yang datangnya dari Carlifornia, 8,500 batu jauhnya dari Malaysia.
Penduduk tempatan dilaporkan sanggup melakukan proses kitar semula, memecahkan bahan-bahan plastik ini untuk mendapatkan upah kira-kira USD10 (RM40) sehari.
Sisa buangan plastik yang banyak seperti botol-botol lama, telefon, rangka laptop, dan bilah kipas dilonggok dalam gudang-gudang kosong dan lot-lot yang ditinggalkan di sekitar Klang dan Kuala Langat.
"Ia sudah menjadi tempat pelupusan sampah," kata Heng Kiah Chun, seorang aktivis alam sekitar Greenpeace.
Masalah yang dihadapi Malaysia, bukanlah kemasukan sisa buangan plastik-plastik yang bersih, yang boleh dihancurkan menjadi palet-palet sebelum dijual semula kepada kilang-kilang, terutama di China, bagi menghasilkan pakaian murah dan produk-produk sintetik lain.
Ia adalah bahan buangan gred rendah, seperti pembungkus makanan yang kotor, botol-botol berwarna, beg plastik penggunaan tunggal, yang ditolak oleh negara China, justeru memerlukan banyak kos bagi memprosesnya untuk dikitar semula.
Kebanyakkan sisa-sisa buangan ini berakhir di tempat pembuangan sampah atau dibakar secara terbuka dan melanggar undang-undang.
"Malaysia berhempas-pulas berdepan dengan sisa buangan domestik. Tak mampu menangani sisa buangan dari negara-negara lain," katanya.
Selama tiga dekad Amerika Syarikat dan negara-negara industri lain dilapor membuang sisa-sisa plastik ke luar negara, terutama China, disebabkan oleh tenaga buruh yang murah serta kilang-kilang rakus sanggup mengitar semula bahan-bahan buangan berkenaan untuk dijadikan barangan plastik yang baru.
Namun sejak 12 bulan lalu, negara China telah mengharamkan hampir semua jenis bahan buangan plastik dari luar atas kesedaran terhadap pencemaran yang merosakkan alam sekitar. Justeru banyak pengusaha yang mengalihkan bahan buangan ke negara-negara di Asia Tenggara. (babab.net)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hinakah negaraku Malaysia, sanggup jadi longgok sampah AS (Carlifornia), walaupun 8,500 batu jauhnya dari Malaysia.. Sila ambil perhatian wahai menteri PH..
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2019/01/hina-negaraku-jadi-longgok-sampah-as.html