Hiking Tumunong Hallu Peak Scca Lahad Datu Sabah
Hiking Tumunong Hallu Peak, SCCA Lahad Datu Sabah | Assalamualaikum & Salam Sejahtera. Hi, korang! Alhamdulillah setelah hampir lima bulan Murni gantung kasut tak hiking, akhirnya 16/07/2022 Murni berpeluang pergi hiking di Silam Coast Conservation Area (SCCA) yang terletak di daerah Lahad Datu, Sabah
Hiking Tumunong Hallu Peak, SCCA Lahad Datu SabahAktiviti hiking ni merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang untuk dimasukkan dalam program wellness pejabat. Bila kami dimaklumkan ada aktivit hiking yang akan dibuat pada hujung minggu, Murnilah yang paling gumbira & teruja nak pergi almaklumlah lama tak hiking.
Simpang masuk SCCA
Kami berkumpul di PGA sebelum konvoi beramai-ramai menuju ke SCCA seawal jam 6:30 pagi. Setibanya di simpang masuk menuju ke SCCA, kami berhenti di bahu jalan menunggu kawan pejabat yang lambat. Kami tiba di SCCA dalam 7:30 pagi & proses pendaftaran di buat di kaunter pendaftaran
Banyak aktiviti yang korang boleh buat di SCCA ni, antaranya camping, hiking, trekking, kayaking & snorkeling. Aktiviti hiking kali ni kami hanya ambil jarak yang dekat saja iaitu 1KM menuju ke Tumunong Hallu Peak
Selesai urusan pendaftaran kami menuju ke pondok yang tersedia untuk sediakan sarapan. Masing-masing ada bawa makanan, kiranya kami buat potluck. Masa ni Murni buat karipap inti bihun, alhamdulillah laku keras karipapnya haha. Resipi karipap boleh baca di entri ni [+] Resipi Karipap Inti Bihun
Usai sarapan, sebelum aktiviti hiking bermula regangan otot dibuat bagi mengelakkan otot-otot & sendi terkejut haha. Renjer hutan yang bertugas pun siap bagi pengenalan serba sedikit mengenai SCCA & keselamatan semasa hiking.
Kami mulakan pendakian jam 8:30 pagi. Kalau diikutkan dalam 31 orang yang ikut serta termasuklah orang dewasa & kanak-kanak. Tapi ada di antara kami yang patah balik sebab penat. Murni teruskan juga biarpun pewai & bersyukur betul masa ni tak muntah hijau. Murni kalau hiking wajib betul di belakang jadi sweeper kunun, hakikatnya tak cukup stamina sebenarnya
Pelantar Tumunong Hallu Peak
Murni sampai di puncak dalam jam 9:15 pagi. Nikmat betul rasa di jiwa dapat melihat lukisan alam yang indah di atas puncak, hilang rasa penat buat seketika. Sayang sangat pelantar tempat yang Murni bergambar ni belum dibaiki lagi oleh pihak berwajib
Sejuk sangat mata memandang tumbuhan hijau, laut, awan yang terbentang luas.
Eh, sebelum turun tu wajib rakam momen bersama-sama keluarga besar hihi. Usai bergambar ada di antara kawan pejabat yang ambil keputusan untuk turun ke bawah menggunakan kenderaan 4x4 yang berbayar. Murni pula lebih memilih untuk hiking & kalau tak silap dalam 13 orang termasuk seorang renjer yang sama-sama turun ke bawah
Turun ke bawah bukan main laju, tapi tulah cuaca panas terik. Nasib baik Murni ada bawa payung siap-siap. Kalau tak confirmed merungut sepanjang jalan dengan muka masam mencuka haha. Kami sampai di pondok dalam jam 10:00 pagi. Rehat sekejap, kemudian sambung pula aktiviti wellness bersama-sama famili. Murni sempat rakam beberapa video pendek semasa hiking menuju ke Tumunong Hallu Peak untuk tatapan korang
Maklumat lanjut berkaitan SCCA korang boleh layari https://www.borneoforestheritage.org.my/scca/scca.htm
Entri kali ni Murni hanya fokus untuk berkongsi aktiviti hiking saja. Selesai semua aktiviti dalam jam 12:00 tengah hari kami pun beransur pulang ke rumah masing-masing. Terima kasih sudi baca entri Hiking Tumunong Hallu Peak SCCA Lahad Datu Sabah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.murnimohdyusof.com/2022/07/hiking-tumunong-hallu-peak-scca-lahad.html