Henti Eksport Sayur Stabilkan Dulu Bekalan Tempatan Utusan Malaysia 19 02 2023
PETALING JAYA: Kerajaan perlu menghentikan sementara eksport sayur bagi memastikan bekalan dalam negara stabil sekali gus dapat menstabilkan harganya yang tinggi ketika ini.
Bagi tujuan itu, kerajaan perlu merangka satu mekanisme untuk mengkoordinasikan kementerian dan agensi berkaitan industri tanaman sayuran dengan pengusaha ladang-ladang sayur, agar pengusaha ladang dapat mengimbangi pengeluaran sayuran yang dieksport dengan tanggungjawab memastikan bekalan sayuran dalam negara mencukupi.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mewujudkan ekosistem yang seimbang dan tidak terlalu menekan mana-mana pihak.
“Di pihak pengguna, bekalan sayur dan buah perlulah mencukupi bagi memastikan harganya terkawal. Sementara di pihak pengeluar seperti peladang juga, kita perlu memastikan mereka boleh bertahan untuk meneruskan operasi. Sebab jika operasi mereka terjejas, pengeluaran juga akan terjejas,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd.
Rahman Syed Abd. Rashid berkata, terdapat kira-kira 15 pengusaha ladang sayur-sayuran berskala besar yang mengeksport pelbagai jenis sayur terutama Singapura dan Hong Kong.
Beliau berkata, antara sayuran paling banyak dieksport adalah kubis, tomato, sayuran berdaun terutama pak choy serta lada benggala.
Dedahnya, hampir 30 peratus daripada keseluruhan hasil pengeluaran harian ladang-ladang ini, memang diperuntukkan ke Singapura.
“Saya tiada data tepat, tetapi secara kasarnya, setiap hari mereka mengeluarkan kira-kira 200 sehingga 300 tan metrik sayuran. Sebanyak 30 peratus daripada jumlah itu dieksport ke Singapura dan Hong Kong,” katanya.
Menurutnya, kegiatan eksport itu terpaksa dilakukan sekali pun bekalan sayuran dalam negara kurang, kerana ladang-ladang tersebut terikat dengan kontrak yang ditandatangani bersama pengimport dari luar negara.
Dalam pada itu, Syed Abd. Rahman berkata, terdapat pula segelintir pengimport sayur di Singapura yang mengeksport sayuran yang diterima daripada pembekal di Malaysia ke Asia Barat serta Hong Kong.
“Jenis sayuran yang paling banyak dieksport semula adalah sayuran jenis berdaun hijau. Mereka juga banyak mengimport sayur terutama cili api dari Thailand, dan kemudian mengeksportnya pula ke negara lain terutama Hong Kong,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
HENTI EKSPORT SAYUR, STABILKAN DULU BEKALAN TEMPATAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/henti-eksport-sayur-stabilkan-dulu-bekalan-tempatan/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2023/02/henti-eksport-sayur-stabilkan-dulu.html