Harimau Malaya Berisiko Lenyap Empat Tahun Dari Pentas Asia
Harimau Malaya Berisiko ‘Lenyap’ Empat Tahun Dari Pentas Asia
Harimau Malaya berisiko terlepas peluang beraksi di pentas Asia selama empat tahun jika pemotongan mata dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor Stadium Astro.
Itulah senario yang dibayangkan oleh bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj.
Ia susulan kesan jangka masa panjang berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.
Apatah lagi siri Kelayakan Piala Asia bakal berakhir tahun hadapan dengan aksi pusingan akhir pada 2027 di Arab Saudi. Sementara siri kelayakan seterusnya bagi Piala Asia 2031 hanya bakal bermula pada Januari 2029.
“Ia tidak bermakna FAM digantung, cuma tiada kelayakan Piala Asia untuk tiga tahun akan datang,
“Jika layak ke AFC 2027 jadi akan beraksi di Piala Asia 2027. Seterusnya akan bermula pada 2029. Piala Asia 2031, siri kelayakannya akan bermula pada 2029.
“Tetapi jika tidak layak ke Saudi Arabia maka kita tidak akan ada kejohanan untuk tahun 2026, 2027, 2028 dan 2029.
“Itu yang saya maksudkan empat tahun tanpa sebarang siri perlawanan Kelayakan Piala Asia. Saya tidak bercakap mengenai Sukan SEA atau lain-lain tetapi kejohanan terbesar di peringkat senior,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kini hanya menunggu keputusan akhir FIFA melibatkan dua kes di peringkat badan dunia iaitu di Jawatankuasa Disiplin dan Tribunal FIFA.
Tambahnya, rentetan kurangnya aksi di peringkat Asia selain pemotongan mata melibatkan ranking FIFA bakal membuatkan skuad negara berdepan kesulitan untuk merebut slot terbaik dalam Kelayakan Piala Asia 2031.
“Mungkin akan beraksi dengan pasukan di ranking lebih rendah seperti Nepal, Sri Lanka dan Bhutan begitu.
“Kerana jika tidak beraksi, ranking akan jatuh. Apabila ranking jatuh pasukan besar tidak mahu berlawan dengan anda. Mengapa pasukan di ranking ke-80 dunia mahu berdepan pasukan ke-145, apa faedahnya?” katanya lagi.
Sumber: Stadium Astro
BACA: Cristiano Ronaldo: Tiada Siapa Lebih Terkenal Daripada Saya
BACA: KBS Larang Atlet Bawah 15 Tahun Terlibat Sukan Tempur Tanpa Pelindung Keselamatan
The post Harimau Malaya Berisiko ‘Lenyap’ Empat Tahun Dari Pentas Asia appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/07/harimau-malaya-berisiko-lenyap-empat-tahun-dari-pentas-asia/