Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1 2022
Berkesempatan menghadiri hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid (DKKM) di sekolah anak-anak mingu lepas.
Kalau ikut zaman aku menjadi pelajar, hari DKKM ni merupakan hari Ibu bapa hadir ke sekolah untuk menandatangani ‘report card’.
Hari yang paling ditakuti oleh aku termasuk kawan-kawan. Mana tidaknya, segala perihal dan perkembangan pelajar akan diterangkan oleh guru kelas kepada ibu bapa.
Semua aspek akan cikgu terangkan. Mata pelajaran yang lemah perlu diberi perhatian. Takutnya Tuhan je tahu. Kalau boleh hilangkan diri waktu tu mesti aku akan buat.
Selalunya dekat rumah arwah abah akan ingatkan semula apa cikgu pesan. Tidak la emak abah mengamuk, cuma beri nasihat ‘deep’.
Hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid Siri 1/2022
Pada tahun 2019 aku pernah kongsikan tentang Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah yang merupakan kali pertama sekolah Ikhwan buat.
Waktu tu Ikhwan darjah dua, sekarang Ikhwan dah darjah lima. Kiranya tahun 2022 adalah kali kedua murid dinilai mengikut sistem yang baru ni.
Tahun ni lebih meriah sebab aku datang ke sekolah untuk terima laporan untuk Ikhwan dan adik dia, Raudah.
Pra Sekolah pun ada ya. Aku dulu pergi tadika sebab nak makan dengan kawan-kawan je. Mewarna lepas tu balik rumah.
Bila menjadi ibu bapa, tugas tu beralih kepada kami pula. Tapi, apa yang berbeza ialah anak aku langsung tak cemas ya.
Sebaliknya aku yang berdebar nak dengar keputusan pencapaian pembelajaran anak-anak. Dasar anak-anak. Entah yakin dia agaknya.
Program DKKM tu sekejap je ambil masa, tapi yang lama tu disebabkan kena beratur ambil giliran. Jadi kalau nak siap awal kena datang tepat pada waktu yang sekolah tetapkan.
Kalau tahun sebelum ni program DKKM di buat di bilik darjah, tapi tahun ni sekolah ubah lokasi di dewan sekolah yang lebih luas kawasan dia.
Lebih teratur dan tidak mengganggu sesi penilaian murid-murid. Ibu bapa datang ke bilik darjah dan kemudian bawa anak-anak mengambil giliran di dewan.
Result Kemenjadian Kualiti Murid
Syukur result Ikhwan tidaklah mengecewakan. Alhamdulillah. Masih ada ruang untuk diperbaiki terutama subjek English dan juga subjek Sejarah.
Cikgu pesan dekat dia supaya menjadi contoh kepada adik-adik memandangkan dia anak sulung. Masalah Ikhwan ialah dia terlajak yakin boleh buat.
Puas hati sangat dengan cara cikgu menilai. Boleh aku simpulkan cikgu letak usaha dan tenaga demi murid-murid.
Dengan bilangan murid yang ramai, subjek berderet dan sistem penilaian yang agak rumit, semua cikgu wajar diberi tepukan sebab dah buat yang terbaik.
Waktu cikgu terangkan keputusan keseluruhan aku kurang faham awalnya. Ambil masa juga nak faham sistem pemarkahan sekarang.
Tapi kalau dibandingkan penerangan oleh pihak sekolah, waktu Ikhwan darjah dua tahun 2019, tahun ini lebih baik. Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah kali pertama aku hadiri.
Sistem pemarkahan sekolah untuk ujian Sumatif ada Gred Purata, jumlah markah dan purata markah. Lepas tu setiap murid juga dinilai oleh guru kelas melalui pelaporan pentaksiran bilik darjah.
Semua aspek diambil kira seperti kebolehan murid faham apa yang diajar, memberi maklum balas, memahami dan buat rumusan, menghasilkan idea baru dan macam-macam lagi.
Penilaian diberikan mengikut subjek. Aku sebagai ibu ni rasa nak pecah kepala baca setiap penilaian. Tak terbayang tekanan yang murid-murid sekarang kena lalui.
Pencapaian pula di berikan mengikut gred Tahap Penguasaan (TP). Kalau bagus pencapai murid akan diberi TP6 dan begitulah sebaliknya. Berbeza sungguh dengan sistem pendidikan dahulu.
Penilaian Perkembangan Murid PraSekolah Untuk Pra Sekolah pula, murid dinilai berdasarkan kemahiran murid-murid menguasai komponen yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Antara komponen yang dinilai ialah perkembangan fizikal dan penjagaan fizikal, kreativiti dan estetika, ketrampilan diri, subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sains & Matematik awal serta kemanusiaan.
Antara contoh tafsiran: murid boleh respons, mengecam abjad, boleh menghafal surah pendek, boleh lakukakan pergerakan lokomotor, menggunting dan banyak lagi.
Weh macam nak ambil UPSR aku rasa. lol.
Antara komen yang diterima dari cikgu Raudah ialah dia seorang murid yang matang, bercakap dengan murid tertentu dan bila perlu.
Mendengar arahan dengan baik dan cuma perlu diberi perhatian sebab Raudah sukakan cabaran dan nak menang.
Kena fahamkan dia bila gagal dan cara nak deal dengan perasaan kecewa tak dapat apa dia mahu.
Kesimpulan
Semoga hari Dialog Kemenjadian Kualiti Murid dapat membantu Ibu bapa supaya faham tentang tahap penguasaan anak-anak dan bantu anak-anak terus cemerlang dalam pelajaran.
Sebagai ibu bapa semestinya aku harapkan sistem pendidikan negara tidak menyusahkan anak-anak kita. Faham sangat bila timbul isu murid-murid rasa tak seronok belajar dan tak mahu ke sekolah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.rodiahamir.com/2022/10/hari-dialog-kemenjadian-kualiti-murid.html