Harga 4 Barangan Harian Turun Esok
Oleh Nur Izzati Mohamad
Azman memeriksa harga sayuran dijual di Pasaraya Mydin, hari ini. - NSTP/Danial Saad BUKIT MERTAJAM: Empat jenis barangan keperluan harian iaitu ayam segar, telur, sayur sawi dan kacang panjang dijangka mengalami penurunan harga bermula esok ( Sabtu ).
Ia selepas empat daripada 12 jenis barangan berkenaan berada di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata empat barangan itu terbabit dalam pelarasan semula harga sebagai langkah menstabilkan harga barangan, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barang keperluan pada harga munasabah.
"Mulai esok ada harga baharu untuk SHMKM di Semenanjung dengan mengambil kira situasi dan lokaliti.
"Empat jenis barangan akan mengalami pelarasan semula harga iaitu ayam daripada RM9.30 kepada RM9.10 dan penurunan harga telur, sawi serta kacang panjang sekitar 50 sen.
"Penurunan harga ini mengikut trend dan keadaan harga semasa, jadi kita turunkan harga serta pastikan ia tidak naik lagi dalam tempoh kawalan," katanya selepas program Walkabout Op Back To School dan SHMKM di Pasaraya Mydin, di sini, hari ini.
SHMKM sepatutnya berakhir hari ini, namun dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari ini.
Sementara itu, Azman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di 25,897 premis dalam tempoh pelaksanaan SHMKM bermula 7 Disember lalu hingga semalam.
"Daripada pemeriksaan dijalankan, terdapat 85 kesalahan dikesan membabitkan peniaga menjual melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga.
"Setakat ini, kami mengeluarkan kompaun berjumlah RM20,000 dan banyak kes lain masih menunggu siasatan.
"Bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2021 pada 23 Disember hingga 31 Disember, pematuhannya hampir 100 peratus daripada 7,178 premis diperiksa," katanya.
Azman berkata, pihaknya juga tidak menerima aduan kenaikan harga di tempat terbabit banjir seperti Selangor dan negeri Pantai Timur.
"Hanya ada beberapa kes terputus bekalan sementara berikutan masalah logistik di beberapa kawasan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, satu operasi khusus akan diadakan esok bagi memastikan isu bekalan barangan di negeri berkenaan dapat ditangani dengan baik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/harga-4-barangan-harian-turun-esok.html