Hampir 10 Tahun
Sudah beberapa hari saya berada di Rumah NS, kembali ke sini selepas kira-kira 80 hari (kali terakhir kami berada di rumah ini pada 1 November 2023). Kami bertolak dari Rumah Perlis pada hari Sabtu 20 Januari sekitar pukul 7.30 pagi dan tiba di Salak Tinggi, Sepang sekitar pukul 2.30 petang. Tak dapat nak buat kiraan masa tiba di Rumah NS sebab sebelum tu kami ada urusan di beberapa tempat di Salak Tinggi dan Nilai. Tempoh masa perjalanan 7 jam yang meletihkan tapi tetap bersyukur kerana tiada kesesakan di mana-mana jalan dan selamat tanpa sebarang masalah
Hampir 3 bulan ditinggalkan, dedaun kering sudah berlonggok di depan pintu rumah. Kerosakan rumah juga bertambah, ada kebocoran baru di beberapa tempat. Sejak sebelum berpindah masuk, rumah ni memang dah bocor sana sini. Kerja baik pulih dah berpuluh kali dilakukan oleh pihak pemaju tapi sekejap je elok dan lepas tu bocor semula. Malah tahun demi tahun, makin bertambah tempat yang bocor. Bukan kami saja, rata-rata jiran pun alami masalah yang serupa.
Kesan bocor di bumbung ruang parkir kenderaan. Yang ni jadi selepas kami berpindah ke Pulau Pinang pada pertengahan tahun 2020
Hasil carian saya mendapati, masalah utama adalah disebabkan rekaan rumah menggunakan bumbung concrete slab. Permukaan rata konkrit yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan mengakibatkan kebocoran terjadi. Sebab itulah walau dah baiki, ia tak tahan lama dan terjadi lagi
Cara nak atasi masalah ini untuk jangka panjang, kami perlu pasang pelindung di atas concrete slab tadi. Pendek kata, kami perlu keluarkan kos buat awning di tingkat atas bagi melindungi bumbung ruang parkir. Pengajarannya, janganlah beli rumah yang menggunakan concrete slab sebagai bumbung ya. Kami dulu tak tahu, nampak cantik je tapi rupanya derita berpanjangan 😥
Beralih cerita indah pulak. Alhamdulillah pokok Orkid Harimau kekal hidup dan membesar dengan jayanya walaupun tanpa penjagaan. Asal pokoknya rendah je sehinggalah sekarang tinggi melebihi tembok rumah. Foto pokok ini pada tahun 2020 boleh lihat DI SINI. Cuma daunnya tak lebat cantik, yelah tak kerap baja dan cuma mengharap curahan hujan. Maafkan saya wahai pokok kesayangan! Sayang sebab induknya memang diambil dari hutan, bukan pokok Orkid Harimau kaedah tisu kultur
Selain rutin kerja-kerja pembersihan rumah, saya suka membelek ‘khazanah’ yang ada. Kadang belek foto lama, album setem dan juga buku-buku di rak
Foto di atas | buku Undang-undang Komersil Malaysia yang diguna pakai sewaktu menuntut di universiti. Subjek yang saya gemari dan bersungguh belajar. Penulis buku ini yang juga pensyarah saya, iaitu Prof. Dr. Shaik Mohd. Noor Alam seorang yang sangat saya kagumi kerana keupayaan beliau menyampaikan ilmu perundangan tanpa merujuk sebarang kertas! Jangan kata beliau rujuk skrin handphone ya, zaman dulu handphone belum canggih untuk simpan dokumen
HAMPIR 10 TAHUN | Pada 2 Februari 2024 akan datang, genap 10 tahun kami berpindah ke Rumah NS. Alhamdulillah sempat menetap secara ‘sepenuh masa’ selama lebih 6 tahun di sini
Dalam tempoh 10 tahun, buat pertama kalinya mesin basuh di rumah ini gagal berfungsi. Entah apa yang bermasalah, sebelum ini langsung tak ada tanda-tanda awal ia akan rosak. Terpaksalah saya membasuh pakaian cara tradisional, rendam - genyeh sikit - bilas - tos - jemur di luar. Tak sempat kering sebab petang hujan, saya sambung jemur dalam rumah pulak
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2024/01/hampir-10-tahun.html