Halal Haram Makanan
Allah mengurniakan pelbagai nikmat makanan dan minuman kepada manusia. Hanya sedikit sahaja larangan berkaitan makanan yang ditetapkan agar dipatuhi. Peraturan itu untuk kebaikan umat Islam sendiri. Sesuatu yang dilarang adalah untuk mengelak kesan yang buruk akibatnya.
Ini jelas bertepatan dengan Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna dalam segenap hal bersangkutan kehidupan manusia. Ajaran Islam tidak terhad hanya kepada soal ibadah khusus yang perlu dipatuhi penganutnya. Sebaliknya Islam memberi garis panduan dalam segenap aspek kehidupan.
Setiap apa yang ditetapkan adalah jelas. Sabda Rasulullah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas.”
Soal halal dan haram makanan amat penting diketahui kerana dilakukan setiap hari. Orang Islam tidak boleh makan semua jenis makanan yang boleh dimakan oleh manusia. Hanya makanan yang memberi kebaikan dibenarkan dimakan.
Manakala makanan yang mendatangkan keburukan secara fizikal dan rohani adalah ditegah sama sekali, walaupun naluri manusia terdorong inginkannya. Individu yang lemah imannya mudah terdorong untuk melakukan perbuatan yang ditegah.
Sesungguhnya makanan bukan sekadar dapat memberi rasa kenyang dan zat pemakanan kepada badan, tetapi juga mempengaruhi dan membentuk sikap pemakannya. Sebab itu, amatlah penting bagi seseorang memastikan dirinya tidak mengambil sebarang unsur makanan yang diharamkan.
Secara asas, segala jenis makanan yang tidak membahayakan diri pemakannya, maka makanan itu halal dimakan. Kita dibenarkan memakan atau mencampurkan pelbagai jenis bahan untuk menghasilkan jenis makanan yang diingini.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim).
Kebersihan yang dijelaskan oleh Rasulullah bukan sekadar bersih secara fizikal, tetapi juga bersih cara memperolehnya. Islam menegah mendapatkan makanan dari hasil pendapatan secara haram seperti menipu, mencuri, hasil riba, rasuah dan penindasan.
Setiap orang perlu berusaha mencari pendapatan dari sumber yang halal. Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan Allah walaupun sedikit. Mencari keredaan Allah adalah lebih penting berbanding mendapat kemewahan secara yang salah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/02/vcb.html