Hadi Jangan Lupa Lee Kuan Yew Mampu Tulis Jawi
Abdul Hadi Awang 
      ULASAN | Semua ilmuan  Timur dan Barat secara ikhlas tanpa fanatik dan prejudis, mengakui  peranan Islam mencipta tamadun yang menjadi asas kepada kemajuan dunia  terkini
Namun, munculnya tanda-tanda kemusnahan tamadun sekarang  kerana mengambil manfaat daripada tamadun Islam secara tidak sempurna  dengan mengubah kepada konsep sekularisme yang menolak atau memisahkan  hubungan dengan agama, khususnya Islam itu sendiri.
Tamadun Islam berpandukan ilmu dan iman mengikut petunjuk wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW dalam permulaan surah Al Alaq:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
"Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku
"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
"Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
"Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
[Al Alaq: 1-5]
Ayat  ini menegaskan semua ilmu itu dengan nama Tuhan, perlunya membaca dan  alat tulis serta menuntut ilmu bersama hidayah (petunjuk Allah), bukan  akal sahaja.
Guna huruf Arab
Konsep  ilmu diluaskan kepada mencari dan menerima semua yang positif daripada  seluruh pelusuk dunia walaupun ke negeri China yang dikira paling jauh  pada zaman dahulu, dan menolak segala yang negatif sekalipun datang  daripada Makkah dan Arab.
Tamadun Islam juga tidak sama dengan  tamadun bangsa dan negeri lain yang tidak boleh dibanggakan dengan  warisan tamadun yang menjadi kunjungan pelancong hari ini, seperti  piramid Mesir, tembok besar China, kota-kota Rom dan Parsi, termasuk Taj  Mahal daripada orang Islam sendiri kerana dibangunkan dengan  memperhambakan rakyat yang dikorbankan dan harta negara yang dirompak  serta dicuri.
Islam mencipta tamadun ilmu yang bermanfaat kepada  manusia berlandaskan konsep Iman (akidah), Islam (syariat) dan Ihsan  (akhlak), berkebajikan dan adil terhadap semua, serta menunaikan hak  mereka tanpa melampau.
Maka tamadun Islam yang berasaskan ilmu itu telah mewujudkan konsep politik, ekonomi, sains dan teknologi yang saksama.
Politik  Islam ditunjukkan kepada seluruh dunia dengan melaksanakan konsep  berkebajikan yang menyeluruh dalam politik syura dan nasihat membina  yang diwajibkan kepada semua pemimpin dan rakyat. Hal ini lebih beradab  daripada demokrasi Barat.
Adapun sistem ekonomi Islam yang menjaga  hak individu, keluarga dan masyarakat, berbeza dengan semua ideologi  Timur dan Barat, sehinggalah berjaya mencipta kemajuan sains dan  teknologi serta segala alatnya dengan menjaga sempadan yang tidak  melampau sehingga memusnahkan manusia dan alam sekitar.
Islam mendahului beberapa abad revolusi industri di negara Barat yang banyak menumpang selepas mereka menjajah dunia Islam.
Tamadun  Islam pula mempengaruhi tulisan bahasa sesuatu bangsa yang menganut  Islam dengan menggunakan huruf Arab bahasa Al Quran, seperti bahasa  Turki, Parsi, Urdu, Swahili dan lain-lain.
Semua bangsa itu telah  bangkit bersama Islam dengan bahasa masing-masing, serta menubuhkan  negara yang bersejarah di tempat masing-masing tanpa menghilangkan  bangsa dan bahasanya yang tetap bersama Islam.
Tulisan Jawi  menggunakan huruf Arab dan huruf tambahan semua sebutan bahasa dunia,  sehingga terpaksa digabungkan oleh bahasa lain dengan dua huruf,  menunjukkan kesempurnaannya yang sangat hebat. 

Sehinggalah  huruf Jawi menjadi tulisan nusantara dalam pelbagai bahasa etnik, bukan  sahaja Melayu, termasuk Jawa, Acheh, Bugis, Tagalog dan Cham.
Perkembangan  ilmu di seluruh nusantara dengan tulisan jawi menjadikan Bahasa Melayu  sebagai bahasa ilmu dan bahasa perantaraan di rantau ini. Maka tidak  ragu-ragu lagi dengan adanya penemuan yang dicuri oleh Barat masih  tersimpan di negara-negara Inggeris, Belanda, dan Perancis. 
Bukan sahaja dalam ilmu agama dan sastera, bahkan termasuk ilmu perubatan dan lain-lain.
Bahkan  tawanan Melayu yang dipaksa belayar mengelilingi dunia oleh kapal  penjajah membawa ketinggian keilmuan ini dalam pelayaran, ketenteraan  dan sebagainya.
Tulisan Jawi mendekatkan penganut Islam dengan  pendidikan agama Islam dan bahasa Al-Quran, sehingga penduduk pelbagai  kaum di nusantara membaca Al-Quran dengan fasih seperti orang Arab.
Jangan  jadi Melayu yang lupa bahawa dokumen Perjanjian Pangkor yang malang dan  banyak surat rasmi kerajaan pada zaman penjajahan menggunakan tulisan  Jawi, sehingga kedai pajak gadai kepunyaan Cina juga dengan tulisan  Jawi.
Mendiang Lee Kuan Yew, pemimpin Singapura dan Dr Tan Seng Giaw (gambar),  mantan pemimpin DAP mampu menulis dengan tulisan Jawi, menunjukkan  tulisan jawi dirasmikan dalam amalan politik, ekonomi dan sosial. 
Maka  sedarlah bahawa penjajah melaksanakan agenda menghapuskan tulisan Jawi  dalam agenda penjajahan dan permusuhannya terhadap Islam dan  penganutnya. Tegasnya bahawa musuh tulisan juga adalah musuh Islam.
Segala usaha menghidupkan tulisan Jawi adalah mulia dan murni yang menunjukkan ada jiwa agama dan bangsanya.
Sangat  nyata golongan yang menentangnya adalah anak-anak penjajah atau  wakilnya yang masih berada di sini, walaupun penjajah Barat itu  dikatakan sudah pulang ke negara asal mereka.
Akhirnya,  menghidupkan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada usaha mengisi  kemerdekaan yang dicapai. Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy pernah  berpantun:
Di atas robohan Kota Melaka,
Papan di Jawa kita dirikan,
Di atas penjajahan di negara kita,
Jiwa merdeka kita tegakkan.
*ABDUL HADI AWANG ialah Presiden PAS dan MP Marang.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/hadi-jangan-lupa-lee-kuan-yew-mampu.html