Gunung Silipat Dan Hamparan Awan Karpet
Gunung ini mempunyai jalur yang ringkas dan ringan, sesuai untuk kanak-kanak dan pencinta alam yang baru menjinakkan diri dengan aktivity mendaki. Hamparan awan karpet pasti menjadi penyuntik untuk pendaki ke puncaknya. Begitu juga saya yang ke sini kerana pesona awan karpet yang terkenal di puncak Silipat. Saya bersama 9 orang teman dan 4 orang anak mereka ke sini pada awal March 2019. Kami memandu dari Penang seawal jam 7:30 pagi dan sampai di sempadan Malaysia - Thailand di Betong pada jam 9:30 pagi. Setelah memakir kenderaan di tempat berbayar dan selamat, kami bersarapan di gerai antara Malaysia- Thailand sementara menunggu Guide dan kenderaan ke kaki gunung.
Setelah urusan memasuki negara Thailand selesai, kami meneruskan perjalanan dengan menaiki "truck" yang kami sewa sekitar 28 kilometer menuju ke kaki Gunung Silipat. Kami sekali lagi berkumpul di kedai makan di kaki Gunung Silipat. Di sini kami makan tengahari, berehat dan menunaikan solat. Terdapat sungai jernih di bawah gerai makan ini. Jam 15:00 petang, kami menaiki "powil" dari kedai makan ke starting point trekking sekitar 30 minit.
Dari starting point trekking ke tapak khemah berjarak sekitar dua kilometer dan kami berjalan kaki menyusuri jalur di dalam kebun getah ditemani dua orang Guide. Jalur sangat jelas namun terdapat beberapa simpang yang boleh mengelirukan jika kita ke sini tanpa ditemani juru pandu. Tambahan pula Gunung Silipat berdiri di dalam kawasan tanah kebun persendirian, pasti keizinan dan kebenaran dari pemilik kebun harus diutamakan.
Setelah hampir sejam trekking di dalam kebun getah, kami sampai di tapak khemah yang juga berada di dalam kebun getah. Berbagai warna dan saiz tenda telah didirikan menunggu ketibaan kami. Suasana sungguh ceria tetapi aman. Berpuluh pendaki telah tiba sebelum kami. Anak-anak teman saya kelihatan teruja melihat tenda dan keadaan tapak khemah di sini. Ada dua pengusaha khemah di tapak ini, sebuah gerai menjual air miniral, makanan ringan dan baju. Tandas juga terdapat di sini dengan bayaran 10 THB sekali masuk.
Setelah melepaskan lelah dan memilih khemah untuk bermalam, Guide mengajak kami ke puncak Silipat untuk menyaksikan matahari terbenam. Jarak dari tapak khemah ke puncak Silipat sekitar 15 minit trekking sahaja tetapi trek agak menegak. Kanak-kanak memerlukan bimbingan semasa mendaki ke puncak kerana di kiri dan kanan trek adalah jurang.
Anak-anak kawan saya sangat teruja bila sampai di puncak Silipat. Cuaca petang itu sungguh cerah. Mungkin ini merupakan satu kejayaan bagi anak-anak ini yang pertama kali mendaki gunung. Mereka melompat kegembiraan dan meninjau di setiap sudut di puncak itu. Kami juga merakam gambar bersama kumpulan.
Malam itu selesai makan kami cuma berehat dan berbual. Guide mengajak kami mendaki lagi ke puncak sekitar jam 2:30 pagi untuk melihat bintang. Menurut Guide, bintang akan kelihatan jelas malam ini kerana cuaca baik. Malam itu empat rakan saya ke puncak untuk menyaksikan ciptaan Maha Pencipta di langit, tetapi saya yang bermalas-malasan memilih untuk tidur di khemah.
Keesokan paginya selesai solat subuh saya dan teman-teman ke puncak Silipat sekali lagi. Kebiasaannya waktu pagi di puncak Silipat akan terdapat hamparan awan karpet. Saya berharap pagi ini juga seperti selalu, awan karpet akan terbentang jelas agar anak-anak teman saya dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan yang Maha Agung. Pagi itu memang tidak mengecewakan, kami sampai di puncak hampir jam 6:00 pagi waktu tempatan.
WOW!!! Pemandangan waktu itu, di puncak itu, pagi itu sungguh mempesonakan. Kami terpana menyaksikan butiran cahaya yang muncul untuk melengkapkan hari. Anak-anak teman saya melompat kegembiraan dan meminta saya merakam gambar mereka dengan berbagai aksi dan gaya sebagai kenangan. Kami merakam gambar dari berbagai sudut dan arah. Mereka bertanya kepada saya, adakah itu awan atau kabus. Mungkin mereka tidak terfikir akan berada setara tinggi awan pada masa ini. Hadiah pagi itu sungguh luar biasa bagi mereka.
Kami bersarapan di puncak Silipat. Guide membakar roti dan menyediakan air panas untuk minuman. Suasana di pagi itu seperti berada di warong kopi di atas awan. Kami sarapan sekadarnya, selebihnya ia lebih menyeronokkan bila melihat anak-anak ini menjamu selera dalam seusana yang tenang. Pada saya, menyaksikan pemandangan indah ini bisa mengenyangkan perut yang lapar.
Kami turun ke tapak khemah setelah puas bergambar dan setelah matahari kian tinggi. Sampai di tapak khemah kami minum sebentar sambil mengemas barang peribadi. Kami turun sekitar jam 9:30 pagi. Setelah trekking di kebun getah dan menaiki powil, kami sampai di gerai kaki Gunung Silipat sekitar jam 11:00 pagi. Truck sewa telah sedia menunggu dan saya meminta pemandunya membawa kami ke air terjun untuk mandi. Setiba di kawasan air terjun, kami tidak dapat mandi kerana air sungai ini keruh, menurut penduduk setempat, ada project sedang dilakukan di atas menyebabkan air terjun ini keruh. Pemandu truck mencadangkan kami mandi di sungai satu lagi dan kami pun bersetuju.
Anak-anak teman saya sangat gembira setibanya di sungai ini. Begitu juga kami yang dewasa, kami mandi sambil makan-makan di dalam sungai. Jarak air terjun dan sungai tempat mandi ini tidak begitu jauh, sekitar 20 minit memandu.
Selesai mandi manda, kami berangkat pulang dan singgah sebentar di Bandar Betong. Kami bercadang membeli pulut dan saya meminta pemandu truck membawa kami ke kedai untuk membeli sedikit barang makanan. Dia membawa kami ke stor gudang di Bandar Betong kerana barang di sini agak murah dari kedai biasa. Kami juga singgah sebentar di kedai menjual berbagai kacang dan makanan ringan.
Jam 16:00 petang kami sampai di sempadan dan urusan masuk semula ke Malaysia berjalan lancar. Kami kemudian menerusan perjalanan dengan memandu pulang sendiri. Saya mungkin akan membawa anak-anak ini ke tempat lain di masa akan datang untuk menyemai perasaan cintakan alam pada di masa akan datang. Terima kasih Allah.
Nota:
1- Gunng Silipat sesuai didaki sepanjang tahun.
2- Contact Gunung Silipat:
a) Zulkifli +66822656900
b) Hazim +6019 5002671
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2019/03/gunung-silipat-dan-hamparan-awan-karpet.html