Gunung Berapi Krasheninnikov Meletus Buat Kali Pertama Sejak 600 Tahun
Gunung Berapi Krasheninnikov Meletus Buat Kali Pertama Sejak 600 Tahun
Sebuah gunung berapi di timur Rusia, Gunung Krasheninnikov, meletus buat pertama kali dalam tempoh kira-kira 600 tahun, mencetuskan letusan abu setinggi hampir 29,000 kaki ke udara.
Kejadian ini sekali gus turut mencetuskan amaran tsunami di seluruh kawasan Lautan Pasifik.
https://x.com/volcaholic1/status/1951799860551643259
Letusan ini berlaku semalam, hanya beberapa hari selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter melanda rantau tersebut, mengakibatkan amaran tsunami dikeluarkan di sekitar Lautan Pasifik.
Gunung Krasheninnikov terletak di Semenanjung Kamchatka, sebuah kawasan yang terkenal dengan aktiviti gunung berapinya.
Walaupun diklasifikasikan sebagai gunung berapi aktif, rekod menunjukkan ia tidak pernah meletus sejak lebih 600 tahun lalu, sebelum wujudnya sistem pemantauan moden.
Letusan Dahsyat, Awan Abu Capai 10 Kilometer
Pihak berkuasa penerbangan Rusia telah mengeluarkan amaran penerbangan kod merah kepada juruterbang susulan letusan tersebut yang boleh membahayakan penerbangan antarabangsa dan pesawat yang terbang rendah.
Ketinggian awan abu terkini dianggarkan mencecah sehingga 27,880 kaki, dan boleh mencapai setinggi 32,800 kaki pada bila-bila masa.
Menurut The Sun UK, terdapat rakaman video baharu menunjukkan ombak tsunami melanda kawasan daratan di Kepulauan Kuril yang terpencil, berdekatan kawasan gunung berapi.
Kelihatan seorang lelaki dan anjingnya lari menyelamatkan diri ketika amaran susulan dikeluarkan selepas satu lagi gempa bumi berukuran 7.0 menggegarkan wilayah timur Rusia.
Rakaman itu difahamkan berlaku di Pulau Shumshu, yang terletak berhampiran pantai selatan Semenanjung Kamchatka.
Peningkatan Suhu Drastik Dikesan
Ketua Rizab Semula Jadi Kronotsky, Vsevolod Yakovlev, berkata bahawa letusan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Kamchatka sememangnya kawasan dengan aktiviti gunung berapi yang tinggi.
“Melalui pemantauan satelit, kami telah beberapa kali mengesan tompok haba di kawasan Gunung Krasheninnikov. Ini menunjukkan peningkatan suhu bumi yang ketara berbanding kawasan sekitarnya,” katanya.
Difahamkan, letusan turut menyebabkan abu menyelubungi Rizab Semula Jadi Kronotsky, yang menempatkan berpuluh-puluh gunung berapi termasuk kawasan ikonik Lembah Geyser dan populasi beruang coklat terbesar di dunia.
Ahli Vulkanologi Rusia, Alexei Ozerov, menjelaskan bahawa rekahan telah terbuka dari puncak kawah dan campuran wap-gas sedang keluar dari rekahan tersebut.
“Abu tebal juga telah dikesan sampai ke Lembah Geyser, dan bau gas turut dirasai. Maka timbul persoalan sama ada kawasan itu perlu dikosongkan, terutama jika terdapat pelancong,” ujarnya lagi.
Belum Ada Ancaman Nyawa, Tapi Pemantauan Berterusan
Walaupun letusan berlaku dalam skala besar, pihak berkuasa Rusia menegaskan bahawa tiada ancaman segera terhadap manusia mahupun hidupan liar.
Namun begitu, pemantauan rapi sedang dilakukan berikutan letusan masih berterusan dan berpotensi memberi kesan terhadap penerbangan.
“Letusan eksplosif masih berlaku dan letusan abu boleh terjadi pada bila-bila masa,” kata kenyataan rasmi pasukan tindak balas bencana.
Pihak berkuasa turut menasihatkan semua pihak termasuk pelancong dan juruterbang agar berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.
BACA: Gempa Di Rusia Paling Kuat Sejak 1952
BACA: Gempa Bumi Kuat Di Rusia: Indonesia, Filipina Keluarkan Amaran Tsunami
BACA: Gempa Kuat Di Rusia, Amaran Tsunami Dikeluarkan Di Pantai Pasifik Jepun
Sumber: The Sun UK
The post Gunung Berapi Krasheninnikov Meletus Buat Kali Pertama Sejak 600 Tahun appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/03/gunung-berapi-krasheninnikov-meletus-buat-kali-pertama-sejak-600-tahun/